Nasihat untuk Guru Cemerlang
Selamat Hari Raya, maaf zahir batin. Ini adalah ucapan piawai yang diungkap semenjak aku kecil lagi. Tujuan aku menulis kali ini adalah untuk menerangkan satu piawai yang sewajarnya dikuasai oleh setiap guru cemerlang agar gelaran guru cemerlang (GC) tidak menjadi bahan senda guru dikalangan para guru lain. Hidup sebagai GC mesti sentiasa melebihi piawai hidup bagi seorang guru biasa.
Setiap guru biasa mestilah mampu menguasai tiga perkara asas keguruan iaitu menguasai kurikulum, menguasai pedagogi dan menguasai pentaksiran. Disini saya guna perkataan menguasai bukan mengetahui atau memahami. Menguasai ertinya seseorang guru itu tahu, faham dan boleh mengaplikasi setiap bidang asas iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran. Guru mesti mempunyai maklumat yang cukup serta mempunyai kemahiran serta pengalaman dalam semua ketiga-tiga perkara asas di atas.
Berbalik kepada GC. Oleh kerana semua guru biasa menguasai tiga perkara asas keguruan di atas, sudah pastilah seorang GC mesti menguasai lebih dari itu. Sudah pastilah masyarakat guru akan memandang lekeh kepada seorang GC yang tidak menguasai pedagogi mata pelajaran kepakaran. Ini disebabkan GC akan diminta membantu guru lain untuk menunjuk cara pelaksanaan pedagogi mata pelajaran kepakarannya. Lazimnya ramai guru bertanya perkara yang berkait dengan pentaksiran sesuatu mata pelajaran. Bagaimana kalau GC tidak dapat menerangkan kaedah pentaksiran mata pelajaran kepakarannya. Bagaimana soalan dibina. Bagaimana cara menanda jawapan calon. Semua persoalan ini boleh menjadikan jawatan GC kepada seseorang itu bahan ketawa dan berbagai tohmaan akan sampai kepada GC berkenaan.
Oleh itu aku mencadangkan kepada semua GC dimana-mana peringkat, sama ada DG 32, DG 34, DG 44, DG 48, DG 52, DG 54 dan seterusnya hendaklah mahir dalam perkara-perkara berikut.
Pertama: Menguasai tiga perkara asas iaitu Pedagogi, Kurikulum dan Pentaksiran bagi mata pelajaran kepakarannya.
Kedua: Mendalami beberapa kaedah mengajar yang pernah dibuat kajian tindakan oleh GC itu agar dapat menunjukkan selok belok cara mengajar yang baik menggunakan kaedah pengajaran yang telah dibuat kajian tindakan itu.
Ketiga: Sentiasa mengemaskini maklumat kurikulum, terutama sukatan dan huraian sukatan pelajaran bagi mata pelajaran kepakaran. Supaya kalau timbul persoalan tentang perubahan kandungan mata pelajaran GC dapat memberikan penerangan. GC juga sewajarnya menguasai segala aspek yang berkaitan dengan kurikulum mata pelajarannya dan sentiasa peka tentang apa-apa perubahan yang berlaku.
Kempat: Berkemampuan untuk menerangkan perkara-perkara yang berkait tentang konstruk yang menjadi asas kepada pembinaan soalan peperiksaan, menguasai format soalan disemua peringkat peperiksaan, tahu bagaimana menanda jawapan calon mengikut kehendak Lembaga Peperiksaan. Tidak ketinggalan juga GC mesti tahu teknik menjawap soalan dan dapat disampaikan kepada guru-guru lain serta para calon yang bakal mengambil peperiksaan.
Kelima: GC sentiasa dari masa ke masa membuat Kajian Tindakan berkaitan dengan semua aspek yang berkaitan dengan mata pelajaran kepakarannya. Aspek-aspek yang dikira wajar dibuat kajian ialah berkaitan dengan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, pemahaman sesuatu konsep dalam mata pelajaran, kemahiran belajar yang diperlukan berkaitan dengan mata pelajaran.
Keenam: GC hendaklah sentiasa menanti peluang dan mencari ruang untuk berkongsi pengalaman dengan para guru sama ada guru senior atau guru-guru yang baru keluar dari IPT yang sangat memerlukan bimbingan. GC tidak boleh kedekut pengetahuan dan pengalaman.
Ketujuh: GC mesti pakar dalam kemahiran belajar dan kemahiran mengajar. Kemahiran belajar perlu diberikan kepada murid-murid. Kemahiran mengajar diguna paka semasa mengajar atau dikongsi dengan rakan-rakan guru.
Cadangan lain: GC hendaklah seboleh-bolehnya menjadi pemeriksa kertas peperiksaan kelolaan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Ini penting kerana peperiksaan merupakan aspek pentaksiran yang sangat diberi perhatian oleh masyarakat di Malaysia.
Saya kira cukup dahulu setakat ini. Diharapkan semua yang mendapat gelaran GC sentiasa sedar dan insaf bahawa jawatan GC bukan sesuatu yang glamour tetapi mendambakan ciri kepakaran yang disegani oleh semua guru. Sekian TK.
SEMUA PANDUAN TUAN TELAH SAYA CATAT DENGAN TULISAN TANGAN AGAR SETIAP BAIT KATA SAYA FAHAM, TERNYATA JELAS.TERUSKAN MENULIS TUAN AGAR GURU-GURU BARU SEPERTI SAYA DAPAT MENJADIKANNYA SEBAGAI SALAH SATU SUMBER KEKUATAN.
Salam….Boleh saya minta tips persediaan untuk di observe oleh nazir utk jwtn GC? Apa yang perlu saya sediakan?
Tq