Skip to content

Kursus Haji Perdana

September 27, 2010

Alhamdulillah… selesai sudah aku menjalani Kursus Haji Perdana peringkat Negeri Pahang pada 25 dan 26 September 2010. (Sabtu dan Ahad). Hanya buat masa kini aku belum mendapat surat mengenai tarikh penerbangan. Setakat ini penerbangan KT 1 hingga KT 16 sudah diketahui. Insya Allah beberapa hari lagi akan diketahuilah Jadual Penerbangan yang bakal aku lalui untuk menunaikan fardhu haji kali ini.

Semasa kursus aku sempat bertemu beberapa rakan lama. Pertamanya, rakan sekelas sewaktu sekolah rendah dahulu. (SK Relong). Kami bersekolah di SK Relong dari tahun 1960 – 1965. Dia budak Kg Bapong dan kini menetap sebagai peneroka Felda Sungai Koyan 3. Dulu semasa aku menjadi Penolong Kanan dan pemangku Pengetua SMK Sungai Koyan aku selalu berjumpa dengan beliau. Beliau ialah Abdullah Haji Maulud. Selamat menjalani ibadat haji saudara ku Abdullah.

Rakan kedua ialah En Razali Mat Omar, kawan sebilik ketika kami belajar di UPM. Tahun 1974 mempertemukan kami ketika itu sama-sama belajar mengambil Diploma Sains dengan Pendidikan. Dua tahun kami tinggal sebilik di Kolej Kediaman ke 4, Blok N bilik No 53. Selepas bergraduat 1977 kami mengajar di Pahang, dia di Temerloh dan aku di Lipis. Tahun 1983 kami sekali lagi belajar semula di UPM mengambil Ijazah Bacelor Sains (Kepujian) major Biologi. Kami juga menyewa sebuah rumah (no 1767) di Taman Seri Serdang bersama-sama tujuh rakan yang lain dari kursus yang sama (Aku, Razali Mat Omar, Razali Baharum, Ibrahim Embong, Azlan Nordin, Mohd Hj Deraman, Subki Ibrahim, Ramli Abd Samad,  dan Suhaimi Mohd Dahan). Kini beliau bertugas sebagai Pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland. Selepas bergraduat (1986) kami selalu bertemu kerana kami bertugas di negeri yang sama (Pahang)

Rakan ketiga ialah seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh. Aku biasa dengan beliau kerana dia pernah berkursus ETeMS dibawah kelolaan aku dan beliau juga selalu menjemput aku berceramah kepada guru-guru Sains di Temerloh. Beliau ialah Cik Aniza Baharuddin.

Rakan keempat ialah En Aminuddin, sudah bersara. Jawatan terakhir ialah Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang.  Aku kenal biasa dengan dia ketika kami sama-sama menjadi Pengetua di Pahang. Beliau bersara setahun lebih dahulu daripada aku.

Seterusnya aku berjumpa juga dengan dua orang bekas Kadhi Lipis iaitu Tuan Syed dan Ustaz Zakaria. Mereka juga menghadiri kursus yang sama. Tuan Syed sudah bersara kini tinggal di Kuantan manakala Ustaz Zakaria bertugas di Jabatan Agama Islam Pahang di Pekan. Walau pun ada wajah-wajah yang aku pernah familiar tetapi aku tak ingat namanya.

Dari Lipis, kami menaiki bas dari perkarangan Masjid Daerah Lipis. Dua bas disediakan untuk mengangkut seramai 65 peserta. Aku ditugaskan menjadi ketua bas pertama. Kami memang sudah kenal antara satu dengan lain kerana kami pernah berkursus haji bersiri (17 siri) dan kursus Haji intensif (2 hari). Bagi kursus haji bersiri aku menjadi pengerusinya. Aku bersama isteri aku dan kakak aku insya Allah akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Juga bersama ialah rakan sepermainan aku Ustaz Ab Rashid Mat yang kini menetap di Merapoh. Beliau akan pergi bersama dengan isterinya.

Dari Kampong Relong setakat yang aku tahu ialah tujuh orang. Cikgu Azmi Yunus dan isteri. En Rosli Husain dan isteri, aku dan isteri serta saudara Ab Razak Sood yang masih bujang.

Seramai 2037 orang menyertai kurus haji perdana ini yang terdiri daripada sebahagian besar bakal haji dari Pahang. Sudah tentulah pengalaman yang dilalui semasa kursus parktikal ini banyak membantu jemaah haji ketika melaksanakan ibadat haji sebenar nanti. Aku dapat bandingkan dengan pengalaman aku menunaikan fardhu haji tahun 1990 dahulu. (Tahun berlakunya tragedi Terowong Muasim)

Ketika persiapan haji tahun 1990 dahulu dibuat, hanya ada kursus yang tidak bersiri. Kursus pun mengikut adanya pengusaha pakej haji yang mencari bakal haji. Kalau tiada mereka maka tiadalah kursus. Walau bagaimana pun pihak Tabung Haji ada juga membuat satu dua ceramah asas serta mengumpulkan bakal-bakal haji dari daerah sambil membaca buku panduan haji yang memang dibekalkan oleh Tabung Haji. Ilmu yang ada tetapi tak mantap.

Kini semua bakal haji Malaysia perlu menjalani kursus sebelum berlepas ke Makkah. Seseorang bakal haji akan mengikut kursus haji bersiri mungkin dua atau tiga tahun. Bagi mereka yang terpilih akan mengikuti kursus haji intensif selama dua hari dan diakhiri dengan ujian bertulis. Bagi mereka yang tidak mendapat 40% dikehendaki menghadiri kursus khas. Bagi yang sudah terpilih (dipanggil Allah SWT ke tanah suci) akan mengikuti kursus haji perdana. Alhamdulillah, tak kiralah siapa kamu, hendaklah kamu melalui kursus haji ini bagi merasakan sedikit dari kesukaran bagi menghadapi saat dan detik di tiga tempat yang termasuk dalam rukun dan wajib haji, iaitu tawaf, saie dan melontar jumrah. Bagi aku kursus ini banyak manfaat kepada bakal-bakal haji nanti.

Ingatan dari Pengurus Tabung Haji Negeri Pahang, aku kira sangat baik kerana beliau memberikan ingatan kepada bakal haji tentang persiapan akhir yang wajar dibuat: Pertama, persiapan ilmu tentang ibadat haji. Indikator daripada ujian ketika kursus intensif bagi seluruh negeri Pahang mendapati 95% bakal haji Pahang mempunyai pengetahuan yang mencukupi bagi melaksanakan ibadat haji. 5% yang lain telah mengikuti kursus khas, dimana mereka ini kebanyakannya terdiri daripada yang tidak pandai tulis baca.

Kedua, kesihatan. Ini perkara yang sangat penting untuk mengerjakan haji. Untuk mengerjakan tawaf, umpamanya perlu punyai kekuatan berjalan sejauh lebih daripada tiga kilometer (pusingan besar) untuk menjayakan tujuh pusingan tawaf. Saie pula memerlukan hampir tiga kilometer untuk menyiapkan tujuh pusingan. Jarak antara bukit Safar dengan bukit Marwah ialah 420 meter. Manakala untuk melontar setiap orang perlu berjalan sejauh tiga setengah kilometer dari kemah Muasim ke Jamrah dan tiga setengah kilometer pula untuk balik. Oleh itu setiap hari perlu kekuatan berjalan sejauh tujuh kilometer, selama empat hari.

Ketiga, kesabaran. Semua para hujjah perlu memupuk rasa sabar sepanjang berada di tanah suci. Ini adalah akibat berada dalam himpunan manusia melebihi dua juta manusia dari seluruh pelusuk dunia. Sabar masalah lif dibangunan. Sabar masalah makanan yang bersifat asas sahaja. Oleh itu mesti besedia untuk ke sana dengan perasaan kesabaran yang tinggi. Inilah ujian yang paling besar. Ya Allah, kurniakanlah aku rasa sabar bagi menghadapi ujian di tanah suci nanti.

Insya Allah aku akan cuba merebut peluang yang dikurniakan oleh Allah untuk aku beribadat sepenuhnya dengan harapan aku dapat melaksanakan yang terbaik. Ya Allah kurniakan kepada aku kesedaran yang tinggi terhadap segala ujian yang bakal aku lalui.

Aku kira Tabung Haji Pahang telah berjaya menganjurkan satu kursus yang bermakna kepada semua bakal haji dari Pahang. Walau pun begitu ada dua perkara yang kalau diperbaiki akan menjadikan kursus seperti ini bertambah elok.

Pertama, untuk mengelakkan sampah bertaburan di sekitar Masjid Sultan Ahmad 1, sewajarnya pihak penganjur meletakkan plastik hitam di beberapa tempat terutama berhampiran tong sampah. Aku kira kesedaran sivik para peserta adalah tinggi tetapi ketiadaan plastik sampah menjadikan tempat sampah yang ada melimpah.

Kedua, model binaan Kaabah agak rendah. Oleh itu mereka yang membuat latihan tawaf dari jarak yang jauh tidak nampak sudut penting kerana ditutupi oleh para peserta yang membuat latihan tawaf pada jarak dekat model kaabah. Cara mengatasi masalah ini adalah sama ada tulis nama sudut-sudut itu di atas model Kaabah (sudut Hajar Aswad, Sudut Iraq, Sudut Syam, Sudut Yamani)  atau meletakkan model pancur emas di antara sudut Iraq dan sudut Syam. Ini memudahkan mereka yang melakukan latihan pada bulatan jauh untuk membuat istislam.

Aku kira cukup dahulu kiriman kali ini. TK

One Comment leave one →
  1. ERAKITA permalink
    September 29, 2010 10:59 pm

    assalamu’alaykum wbt.

    Tahniah atas artikel mengenai kursus perdana haji 1431H. Semoga segala ilmu yang dipelajari akan bermanfaat ketika di Tanah Suci kelak. Semoga kita dapat bertemu di Tanah Suci nanti sempena Haji tahun ini. InshaaAllah. Semoga kita mendapat Haji Mabrur. Ameen.

    Wassalam

    Semoga doa ERAKITA dimakbulkan, semoga dengan ilmu, kesihatan dan kesabaran kita dapat melakukan ibadat haji dengan sebaiknya…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: