Skip to content

Menyusup

Disember 16, 2010

Melalui kiriman ini saya nak cerita tentang ada orang menyusup menjadi ahli keluarga saya semasa menunaikan fardhu haji bebaru ini. Cerita menyusup menjadi ahli keluarga saya ini menyebabkan saya merasa amat terkilan terhadap mereka yang terlibat menyusupkan sepasang suami isteri ke dalam keluarga saya.

Untuk pengetahuan umum, setiap jemaah haji akan diberikan kod keluarga untuk mempastikan ahli keluarga akan sentiasa bersama, sama ada semasa di Makkah, di Arafah, di Mina atau di Madinah. Keluarga saya diberi kod keluarga (11050005). Setahu saya ahli keluarga saya yang sama-sama ke Makkah ialah saya, isteri saya dan seorang kakak saya. Itulah tiga orang ahli keluarga saya walau pun sebelum itu ada dua orang lagi yang mendaftar bersama saya iaitu seorang kakak dan seorang adik perempuan. Tetapi kedua-dua mereka tidak mendapat kelulusan untuk ke Makkah bersama-sama saya.

Tiga hari sebelum saya berlepas ke Makkah dengan penerbangan Saudia KT 57, anak sulung saya yang menjadi waris di Malaysia menerima panggilan telefon daripada pihak Tabung Haji (TH) untuk dapat mempastikan semua ahli keluarga saya bersedia untuk ke Makkah. Apa yang pelik ialah terdapat lima nama disebut oleh pegawai TH. Anak sulung saya mengatakan tiga nama yang disebut itu beliau kenal tetapi dua nama lagi dia tidak kenal. Ketika anak saya memaklumkan perkara itu saya tak syak apa-apa.

Ketika dalam penerbangan pada pagi 26 Oktober 2010 itu saya mula tertanya-tanya mengapa ada orang yang tidak berapa saya kenali ada bersama dengan keluarga saya. Apabila mendapat penempatan bilik B928 di Maktab 73, Janadryiah, orang yang duduk sebelah di dalam penerbangan juga duduk sebilik dengan saya. Begitu juga isteri kepada lelaki yang tinggal sebilik dengan saya juga duduk sebilik dengan isteri dan kakak saya.

Ketika ke Arafah pasangan ini tetap bersama dengan keluarga saya, di Mina pun begitu. Akhirnya timbul andian pasangan ini menyusup masuk ke dalam keluarga saya. Saya bersolat hajat memohon Allah SWT memberikan jawapan kepada persoalan ini. Saya memohon agar Allah SWT dapat memberi petunjuk sekiranya andaian saya betul akan terkeluarlah bukti demi bukti tetapi sekiranya andaian saya salah saya memohon agar Allah SWT lenyapkan ingatan itu dari minda saya.

Apakah ini satu persoalan besar?  Mungkin ada orang yang mengatakan ini masalah remeh tetapi bagai saya ini masalah besar. Saya kata besar kerana tersebar fitnah di Tanah Suci terhadap saya. Mereka yang menyusup ke dalam keluarga saya ini adalah sepasang warga emas (Suami berumur 79 tahun dan isterinya berumur 75 tahun). Mereka telah membuat haji tiga kali dan tahun 1431H ini adalah kali ke empat. Mereka juga telah membuat umrah sebanyak enam kali. Ketika di Malaysia, sang suami sihat walafiat. Apabila hari demi hari di Makkah beliau makin uzur terutama setelah jatuh tersungkur di Masjidil Haram, yang mengakibatkan muka beliau bengkak.

Setelah peristiwa itu seorang anak muda dari Perak telah membawa orang tua ini ke kelinik TH di Janadryiah. Selepas itu timbul cakap-cakap bahawa saya tidak pedulikan ahli keluarga saya walau pun sakit. Apatah lagi selepas kembali dari Mina sang suami masuk ke wad di Janadryiah kerana kekurangan air dalam badan. Satu perangai yang tak baik pada sang suami ialah dia tak dengar cakap orang. Sudah beberapa kali ahli bilik B928 meminta dia minum air banyak-banyak tetapi dia enggan. Akibatnya dia di masukkan ke wad untuk diberikan drip air sebanyak empat botol.

Apabila tiba di Madinah sang suami juga di masukkan ke wad selama tiga hari kerana lelah sedangkan di Malaysia katanya dia tak pernah lelah. Dia hanya sihat dua hari sebelum balik ke Malaysia. Isteri saya cuba menyelidik perkara ini melalui isteri pasangan ini. Apa yang didapati ialah si isteri marah-marah kepada isteri saya kerana tak boleh nak menumpang. Sedangkan katanya dia tak minta sesiapa pun tolong untuk mengemas barang suaminya ketika dia sakit. Katanya lagi, mentang-mentanglah mereka bodoh tak boleh menumpang deme orang yang pandai dan berbagai lagi alasan diberi. Persoalannya bukan boleh atau  tak boleh menumpang tetapi ialah tiada maklumat atau permakluman kepada saya sebagai ketua keluarga baik dari pihak yang hendak menumpang atau dari pihak TH.

Sampai di Malaysia saya dan isteri ke pejabat TH Lipis untuk mencari penjelasan lanjut. Alhamdulillah saya dapat bukti bahawa mereka menyusup melalui cara yang kurang sopan. Mereka mengambil nombor pasport kakak saya yang tinggal se kampung dengan mereka dan memasukkan nama kakak saya dalam senarai saudara ahli keluarga mereka dengan itu seluruh senarai yang saya kemukakan dahulu masuk sama sebagai ahli keluarga. Kerja ini dibuat oleh orang yang berkerja di TH. Menurut maklumat yang diberikan kepada kami pasangan suami isteri ini mempunyai anak saudara yang bekerja di TH di Kuala Lumpur.

Sesungguhnya saya tidak merelakan perkara ini berlaku. Saya harap pihak TH tidak buat lagi perkara begini kepada orang lain. Saya juga boleh buat andaian bahawa adik perempuan saya tak dapat pergi ke Makkah tahun ini kerana pasangan suami-isteri ini menyusup masuk ke dalam ahli keluarga saya. Walau pun pada peringkat awalnya adik saya sudah masuk dalam senarai menunggu malah dia telah menghantar pasport antarabangsanya kepada TH untuk dibuat visa haji. Akibat orang menyusup ke dalam keluarga saya secara licik maka adik saya tak dapat pergi menunaikan fardhu haji untuk kali pertama sedangkan orang yang sudah tiga kali pergi haji dapat pergi kali keempat. Sekian TK.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: