Skip to content

Perjalanan Haji 1

Disember 19, 2010

Aku mendaftar untuk mengerjakan haji pada tahun 2001. Semasa mendaftar untuk diriku dan isteri, aku meletakkan musim haji tahun 1430H atau tahun 2009M sebagai tahun aku hendak melakukan kerja haji. Aku letak tahun 2009 itu kerana pada tahun itu aku akan bersara wajib pada umur 56 tahun. Aku bersara bulan Julai dan musim haji pula bulan November. Walau bagaimana pun aku ditawarkan sebagai calon menunggu bagi tahun 2009. Semasa aku menjawab surat tawaran itu, aku menolak tawaran calon menunggu sebaliknya aku  meletakkan tahun 2010 (1431H) sebagai tahun pilihan untuk aku melakukan ibadat haji. Alhamdulillah awal tahun 2010M, sebelum kursus haji bersiri dijalankan aku dan isteri sudah mendapat tawaran untuk ke Makkah. Aku terima tawaran itu dan aku mengikuti kursus haji bersiri (17 siri), walau pun ada tiga siri aku tak hadir kerana masa itu aku keluar negara (bulan Mei 2010). Tahun 2009 juga aku telah mengikuti kursus bersiri itu. Oleh itu kepada yang ingin menunaikan fardhu haji atau murid sekolah menengah bolehlah mendaftar sebagai peserta kursus haji untuk menambahkan pengetahuan.

Semasa berkursus itu aku dilantik menjadi pengerusi peserta sekali gus menjadi pengerusi ceramah. Semasa aku tiada aku minta seorang sahabat mengambil alih tugas itu. Dengan demikian perjalanan kursus menjadi lancar. Bagi mereka yang terpilih untuk ke Makkah perlu pula mengikuti kursus Intensif selama dua hari dan diakhir kursus di adakan ujian. Ujian berupa 25 soalan objektif. Markah lulus ialah betul 10 daripada 25 soalan itu. Bagi orang yang boleh menulis dan membaca tidak menghadapi masalah untuk menjawab soalan asas tentang ibadat haji itu, tetapi bagi mereka yang tak boleh menulis dan membaca sesuatu yang sukar mereka hadapi. Untuk golongan ini diadakan pula kursus khas dimana mereka akan diberi kursus dan bersoal jawab secara lisan tentang pengetahuan mereka berkaitan ibadat haji. Kedua-dua kursus ini (Kursus intensif dan kursus khas) bertujuan untuk mempastikan bakal haji dari Malaysia mempunyai pengetahuan asas yang cukup untuk mengerjakan haji.

Seterusnya semua bakal haji terpilih ini dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil suntikan imunisasi yang diperlukan terutama imunisasi yang diperlukan diperingkat antarabangsa. Setelah itu semua yang terpilih ini dikehendaki mengikuti kursus haji perdana peringkat negeri. Bagi Negeri Pahang, kursus haji perdana di adakan di Masjid Sultan Ahmad 1 di Kuantan selama dua hari satu malam. Pada peringkat ini kursus menekankan aspek praktikal bagi perlakuan untuk tawaf, sa’ie dan melontar jamrah disamping melakukan qiam mu lail. Semua pengalaman dan juga pengetahuan yang diperolehi dari semua kursus yang dilalui adalah sangat berguna bagi para jemaah haji apabila melaksanakan ibadat haji di Makkah nanti.

Bila aku buat perbandingan bagi persiapan pengetahuan antara pemergian ke Makkah tahun 1990 dahulu dengan tahun 2010 ini, aku dapati persiapan pengetahuan masa kini adalah lebih mantap, malah kini ada buku khas sebagai rujukan semasa ceramah disamping buku yang diberi oleh Tabung Haji (TH) semasa mendaftar sebagai bakal haji.

Saya sarankan kepada bakal haji agar membaca buku-buku yang diberikan oleh TH kepada kita dan bertanya para penceramah perkara yang kita tidak faham semasa kursus bersiri atau kursus-kursus yang lain. Kefahaman yang mantap sangat diperlukan untuk mempastikan amalan yang kita buat di Makkah nanti betul mengikut garis syariat dan bukan ikutan atau agak-agak sahaja. Ingat, persiapan pengetahuan adalah sesuatu yang amat penting bagi meningkatkan darjat amalan kita semasa di Tanah Suci nanti. Sekian TK.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: