Skip to content

Perjalanan Haji 4

Disember 29, 2010

Setelah berlalu dua puluh hari selepas tiba dari Malaysia, pada 14 November 2010 bersamaan 8 Zulhijjah 1431H (Hari Tarwiyah), kami berangkat ke Arafah. Bas kami bertolak dari Janadryiah selepas solat asar dan sampai di Arafah waktu maghrib. Selepas solat zohor (aku solat zohor di Masjid al Haram) dan makan tengahari, kami mula bersiap dengan bag pakaian untuk lima hari, mandi sunat ihram, memakai pakaian ihram, bersolat sunat ihram dan menunggu panggilan dari petugas Tabung Haji untuk turun ke surau hotel. Di situ kami menunggu giliran untuk menaiki bas yang akan membawa kami ke Arafah.

Semua susun atur pergerakan untuk pergi ke Arafah dan Mina telah ditaklimatkan oleh pegawai TH dan Ustaz Pembimbing pada 12 November 2010. Sebanyak mana pakaian yang hendak dibawa, barang-barang penting yang hendak dibawa, bekalan makanan yang patut dibawa dan peringatan yang perlu berkaitan dengan ibadat wukuf di Arafah, mabiq di Mudzlifah, mabiq di Mina serta peraturan dan keperluan untuk melontar jamrah telah dimaklumkan kepada ahli jemaah.

Sebaik sahaja bas mula berjalan meninggalkan perkarangan hotel Janadryiah semua jemaah dikehendaki berniat ihram haji. Ini kerana miqat untuk ihram haji bagi mereka yang tinggal di Tanah Haram ialah di tempat tinggal mereka. Perjalanan sejauh 22 kilometer dari Makkah ke Arafah memakan masa yang agak lama, sekitar satu jam setengah. Walau bagaimana pun tidaklah terdapat gangguan trafik yang berat. Bas yang kami naiki terus membawa kami ke kemah Maktab 73 yang menenpatkan jemaah KT 58, KT 57 dan beberapa KT yang lain. Pegawai TH yang menjadi penunjuk jalan mengarahkan kami ke kemah yang telah ditetapkan dari awal lagi.

Aku sampai ke kemah yang menempatkan aku dan rakan-rakan yang lain ketika Imam memberi salam solat Maghrib. Oleh itu aku tak dapat berjemaah bersama mereka, sebaliknya beberapa orang rakan meminta aku menjadi imam solat maghrib dan isyak secara jamak tamam, seperti yang diarahkan oleh Ustaz Pembimbing. Aku akur dengan permintaan rakan-rakan. Kami bersolat di kemah yang masih kosong dimana penghuninya belum sampai dari Makkah. Setelah solat makan malam diedarkan. Setelah makan tiada aktiviti khusus bagi kami. Buatlah aktiviti sendiri dari waktu itu sampai ke subuh. Ketika itu kita belum wukuf lagi. Wukuf hanya bermula dari masa tergelincir matahari (masuk waktu zohor) 9 Zulhijjah 1431H – hari Isnin 15 November 2010 dan berakhir sebelum waktu subuh 10 Zulhijjah 1431H – pagi Selasa 16 November 2010. Waktu wukuf paling afdhal ialah berada di Arafah sebahagian siang dan sebahagian malam pada hari wukuf. Dari waktu zohor, asar dan maghrib, 9 dan 10 Zulhijjah.

Oleh kerana waktu itu masih dikira hari tarwiyah (8 Zulhijjah dan belum zohor hari 9 Zulhijjah) maka antara aktiviti yang aku buat selain dari tidur ialah, membaca Al Quraan, solat tahajud, solat tasbih, solat taubat, solat hajat serta solat witr. Ketika itu kami masih dalam ihram haji. Berada dalam ihram ertinya perlu menjaga 13 pantang larang yang ditetapkan. Selepas solat subuh dan makan pagi bolehlah pula solat isyrak dan solat dhuha. Aktiviti sampingan ialah beborak dikalangan para jemaah atau berjalan-jalan diluar kemah menunggu waktu wukuf.

Biasanya ramai orang bertanya tentang tandas dan bilik air. Alhamdulillah tidak menjadi masalah. Setiap jemaah pandai-pandailah mengatur masa ke bilik air, jangan pergi dekat waktu solat kerana waktu itu memang ramai orang memerlukan bilik air. Aturlah jadual sendiri, sama ada satu jam sebelum atau lima belas minit selepas  solat. Waktu itu tak ramai orang ke bilik air.

Bagi mereka yang mengikuti pakej haji, ketika ini mereka melakukan aktiviti yang diketuai oleh ustaz pembimbing dari pakej mereka. Mereka berzikir selepas solat maghrib dan isyak secara terbimbing. Aku dapat dengar aktiviti ini dari kemah aku kerana mereka menggunakan pembesar suara yang agak kuat. Dalam pukul dua pagi aku dengar lagi zikir mereka sehingga ke subuh, begitu juga selepas makan pagi. Nampaknya semua dibuat secara terbimbing. Jemaah haji muasasah pula tiada aktiviti begitu, sebaliknya buatlah secara sendiri sebagaimana diajar oleh ustaz pembimbing ketika taklimat pada 12 November 2010 di hotel dahulu. Aku lebih selesa buat aktiviti secara sendirian. Kalau aku letih aku boleh berhenti. Kalau aku mengantuk aku tidur, bila terjaga aku mulakan semula.

Pada peringkat awal selepas makan malam, aku pergi ke surau maktab, dihadapan kemah aku dengan membaca Quraan dan buat beberapa solat sunat. Malam itu aku ketemu dengan orang yang membaca Quraan secara berlagu dengan kuat di surau maktab. Agaknya dia berhajat nak buat begitu walaupun suara bacaannya boleh mengganggu orang lain. Ikut suka dialah. Dah hajat dia begitu. Bila aku mengantuk aku balik ke kemah dan tidur. Aku terjaga jam tiga pagi dan kebilik air, orang tak ramai, aku mandi dan bersiap sedia untuk Qiamulail. Aktiviti Qiamulail aku teruskan sehingga subuh (5.05 pagi). Selepas solat subuh dan makan pagi aku berihat sebentar dan membaca Quraan, solat isyrak dan solat dhuha. Setelah itu aku berihat semula ketika jam 10.00 pagi dan tidur sebentar sehingga 10.45 pagi. Aku bangun dan membuat persiapan itu memulakan wukuf apabila masuk waktu zohor sekitar 12.15 tengahari.

Sehingga kiriman selanjutnya, sekian TK.

One Comment leave one →
  1. Disember 30, 2010 11:11 am

    Nice sharing..TQ 🙂

    Saudara Fadli, insya Allah saya sedang menulis pengalaman saya untuk dibaca oleh bakal haji. Semoga mereka mendapat panduan yang lebih dan memperbaiki amalan haji dengan lebih baik.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: