Skip to content

Perjalanan Haji 5

Disember 31, 2010

Pagi 9 Zulhijjah 1431H, kami masih dalam pakaian ihram haji di Arafah. Seusai solat subuh kami mendengar kuliah subuh oleh Ustaz Pembimbing bagi Maktab 73. Setelah itu sarapan pagi dan aku melakukan solat dhuha. Kemudian aku melelapkan mata merihatkan badan untuk satu jam. Bangun dari lelap itu aku mandi seadanya dan bersiap menunggu waktu zohor.

Selepas azan zohor dikumandangkan, Ustaz Pembimbing menyampaikan khutbah wukuf dan diikuti dengan solat zohor berjemaah yang dijamak tamam dengan solat asar. Kemudian Ustaz Pembimbing mengetuai zikir yang khusus untuk hari Arafah serta membacakan doa yang aku kira sangat memberi kesan kepada semua ahli jemaah yang ada di Maktab 73 itu.

Usai majlis itu kami membuat aktiviti sendiri, mengulangi zikir dan doa yang ada dalam buku yang dibekalkan kepada kami. Beberapa orang antara kami membuat aktiviti ini di tanah lapang seperti yang dibuat oleh Rasulullah SAW ketika haji wada’. Menjelang petang kami diminta bersiap untuk bergerak ke Muzdalifah. Mengikut aturannya kami dari KT57 akan bergerak sepuluh minit sebelum maghrib. Walau bagaimana pun aku menaiki bas selepas menunaikan solat jamak maghrib dan isyak tamam. Dengan demikian aku dapatlah melakukan wukuf aku diwaktu afdhal iaitu sebahagian siang dan sebahagian malam. Aku sampai ke Muzdalifah kira-kira setengah jam kemudian, walaupun jarak antara kemah kami di Arafah dengan tempat kami berihat di Muzdalifah sekitar tujuh kilometer sahaja.

Sistem mengangkut jemaah haji masa kini agak baik berbanding dengan 20 tahun yang lalu. Aku masih ingat lagi bahawa aku berada dalam bas sepanjang malam. Kami bertolak dari Arafah selepas solat isyak dan hanya tiba di Mina pagi esok dan bas tidak berhenti untuk memberi kami peluang mengutip batu di Muzdalifah. Jarak dari Arafah ke Mina sekitar 15 kilometer sahaja.

Di Muzdalifah kami dikumpulkan mengikut KT. Setelah membentang tikar masing-masing dan meninggalkan bag dan barang-barang peribadi maka bermulalah aktiviti sendiri, sama ada mencari anak batu sebanyak tujuh biji atau tujuh puluh biji yang bakal digunakan untuk melontar jamrah di Mina nanti atau melakukan solat-solat sunat dan membaca zikir dan doa tertentu. Di sini aktiviti ibadat adalah sendiri-sendiri. Ada juga yang tidur setelah penat sepanjang hari dan sebahagian malam duduk berdoa dan berzikir. Semenjak sampai hingga ke jam 12.00 malam para jemaah Malaysia semakin ramai berkumpul disatu kawasan yang dikhaskan kepada jemaah Malaysia. Kawasan berpagar itu semakin lama semakin padat dengan manusia yang antara aktiviti pentingnya mengutip batu-batu kecil. Bilik air yang disediakan agak terhad tetapi agak selesa, cukup untuk jemaah Malaysia menggunakannya. Sekali sekala ada juga jemaah dari negara lain yang cuba nak gunakan bilik air itu tetapi tidak dibenarkan masuk ke kawasan berpagar bagi jemaah Malaysia itu.

Selepas 12.30 malam bas mula mengangkut jemaah dari Muzdalifah ke Mina. Aku naik bas sekitar 1.15 pagi dan sampai di Mina (kemah bagi Maktab 73 – di Muasim) sekitar jam 2.15 pagi. Setelah meletakkan bag dan barangan peribadi, bersihkan diri, aku mengajak isteri untuk pergi melontar Jamrah Aqabah atau Jumrah Kubra untuk melayakkan aku bertahlul. Sememangnya dalam peraturan haji para jemaah boleh mula melontar Jumrah Al Kubra atau melakukan tawaf Ifadhah bermula selepas tengah malam 10 Zulhijjah. Jam 3.00 pagi kami mula berjalan dari Maktab 73 melalui Jalan 612 sehingga ke muka terowong muasim, yang jaraknya sekitar satu kilometer. Dari muka terowong muasim ke jumrah sekitar 2.0 kilometer. Dari Jumrah Sughra ke Jumrah Kubra sekitar 700 meter.

Sekitar pukul 4.15 minit aku sampai ke Jumrah Al Kubra dan melakukan lontaran sebanyak tujuh bijik anak batu. Setelah itu kami bergunting rambut menandakan sudah bertahlul, ertinya sudah melepasi patang larang ihram haji (10 sahaja). Kemudian kami berjalan semula balik ke kemah di Muasim melalui terowong sejauh 3.7 km. Sesampai di kemah Maktab 73, aku melakukan solat subuh berjemaah dengan satu kumpulan jemaah yang baru sampai dari Muzdalifah. Bagi orang di Malaysia, 10 Zulhijjah ialah Hari Raya Kurban, bagi kami di Mina hari ini adalah hari kami berihat setelah selesai menjalani wukuf di Arafah dan bermabiq di Muzdalifah.

Terdapat juga rakan-rakan yang terus ke Makkah untuk melakukan tawaf dan sa’ie dengan berjalan kaki kerana kenderaan hendak ke sana sangat sukar diperolehi. Insya Allah tahun-tahun akan datang perkara ini akan menjadi mudah apabila perkhidmatan Keretapi dari Arafah ke Makkah siap. Untuk tahun ini perkhidmatan itu hanya dari Arafah ke Mina sahaja. Rail untuk ke Makkah masih belum siap lagi. Lagi pun, untuk tahun ini hanya orang Arab dan Baharin sahaja dibenar untuk menggunakannya walau pun yang mengoperasi keretapi itu adalah pegawai-pegawai KTMB dari Malaysia, seramai 80 orang.

Ada juga terdapat jemaah Malaysia yang keliru dengan waktu melontar jumrah Al Kubra pada 10 Zulhijjah ini. Semasa aku melintasi Maktab 79, seorang sahabat dari Pahang bertanya aku datang dari mana. Aku kata balik dari melontar Jumrah Al Kubra dan sudah bertahllul. Dia kata mana boleh buat begitu sebab masa belum sampai lagi, selepas solat subuh baru boleh. Aku kata untuk 10 Zulhijjah boleh bermula jam 12.00 malam tapi bagi hari-hari lain (11, 12 dan 13 Zulhijjah) mesti bermula selepas solat subuh hari berkenaan. Aku pun rasa gelabah juga sebab yang menyapa aku tadi ialah seorang Ustaz yang ada Ijazah Pengajian Islam. Walau bagaimana pun seusai solat subuh aku terus mencari seorang sahabat (Ustaz) yang merupakan Pengetua di salah sebuah Sekolah Agama Menengah di Selangor untuk bertanya hal itu. Ustaz Pengetua itu terus menunjukkan buku Panduan Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah yang dibekalkan oleh Tabung Haji dengan merujuk ke mukasurat 93. Di bawah PERINGATAN nombor 2. Tiga amalan untuk menghasilkan tahllul (Melontar Jumrah Kubra, Melakukan Tawaf Rukun (Ifadhah) dan Sa’ie serta bercukur atau bergunting) boleh dilakukan setelah berlalu separuh malam 10 Zulhijjah. Untuk mendapat tahllul hanya lakukan mana-mana dua dari tiga amalan di atas. Oleh itu was-was yang menimpa aku selesai. Terima kasih kepada Ustaz Pengetua.

Apa yang penting ialah setiap bakal haji perlu mempunyai ilmu yang baik atau semasa melakukan haji cuba cari orang yang boleh dirujuk secara segera. Walau bagaimana pun TH tetap menyediakan ustaz yang boleh dirujuk. Oleh itu sebelum menunaikan fardhu haji banyaklah membaca buku yang berkaitan, menghadiri kursus-kursus haji yang ada sama ada yang bersiri dari TH atau yang dibuat oleh orang-orang persendirian.

Sekian dahulu untuk kiriman ini. Kiriman selanjutnya menceritakan pengalaman mendiami Mina (Muassim) untuk bermabiq dan melontar jumrah pada hari-hari Tashriq dan perjalanan balik ke Makkah. TK

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: