Lompat ke isi kandungan

Teman Anak Muda

Februari 6, 2011

Anak Muda boleh dikelaskan sebagai golongan yang berumur antara 20 tahun ke 40 tahun. Kiriman kali ini bersifat santai dan sedikit analitik. Santai kerana berkesah tentang benda yang anak muda bawa semasa berjalan dan analitik kerana melihatnya daripada persepktif sejarah dan perkara yang sudah berlaku.

Kita sorot teman anak muda Melayu sepanjang sejarah. Bermula dizaman toghie dimana gemilang sejarahnya. Anak muda yang bersifat pahlawan sentiasa bertemankan keris untuk mempertahan diri atau keris itu menjadi penguat semangat ketika berpergian atau musafir atau berdagang. Zaman anak muda membuat hartanah, menebang menebas hutan untuk penempatan dan pertanian, teman anak muda ialah beliong, kapak, parang dan cangkul serta tenaga empat kerat. Zaman anak muda hidup selesa, harta ibubapa boleh menyara hidup muda belia, teman mereka ialah sikat dipoket belakang seluar. Zaman kini, ketika teknologi komunikasi menjadi agenda kemodenan, teman anak muda adalah set telefon bimbit yang dibawa kemana pergi.

Menyorot zaman toghie yang gemilang sejarahnya, teman anak muda adalah keris tersarung kemas kecuali apabila diperlukan, bukan keris bogel yang terkeluar dari sarung. Keris yang tersarung itu bukan sekadar dibawa begitu sahaja tetapi anak muda mesti punyai ilmu persilatan yang hebat. Ilmu itu dipelajari dari guru-guru silat dari satu bangsal silat ke satu bangsal silat yang lain dengan guru silat yang berlainan. Tidak cukup ilmu persilatan dengan gerak tari fizikal sahaja tetapi tetap juga di bekali dengan ilmu-ilmu batin. Zaman itu kurikulum persilatan mendominasi pendidikan jasmani anak muda. Zaman itu juga kurikulum adab dan agama dibawa sekali dalam bangsal-bangsal persilatan walau pun mungkin ilmu-ilmu itu tersalut juga dengan khurafat, sihir dan ilmu-ilmu hitam yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Bertemankan keris dengan ilmu persilatan, anak muda zaman toghie itu berdagang, bermusafir dan menambah ilmu atau menjalankan perintah raja atau tok ketua. Perjalanannya bukan bersifat sia-sia tetapi ada mission yang perlu diusaha dan dikerja. Ada matlamat yang perlu dicapai. Tanpa kawan tetapi bertemankan keris yang sudah disepuh, dilimau mengikut ilmu pahlawan semasa.

Zaman anak muda membuat hartanah berkait pertanian. Teman anak muda bukan lagi keris yang tersisip dipinggang tetapi beliong alat menebang. Kayu ditebang untuk membersihkan hutan belantara bagi jadi ladang dan cerang bagi tujuan pertanian. Mereka menanam padi bukit, tanam juga durian dan lain-lain pokok yang mendatangkan hasil. Kayu yang ditebang ditarah menjadi papan, menjadi tiang, menjadi peran, menjadi gelegar untuk membuat rumah. Kayu ditarah dijadikan peralatan kehidupan seperti lesung, gandar indik, dulang, bekas air dan sebagainya.

Anak muda juga bertemankan cangkul, kapak dan parang sebagai peralatan membantu kehidupan. Zaman pertanian menjadi kerja utama masyarakat Melayu, alat-alat ini menjadi teman perjalanan. Tanpa teman ini bersama tandanya anak muda itu orang pemalas, malas berusaha untuk menyara hidup sendiri. Ilmu pertanian bukan didapatkan dari bilik kuliah tetapi terus melalui pengalaman yang dipraktikkan. Tunjuk ajar dari orang tua menjadi pedomen. Kelaziman masyarakat aggragia setempat menjadi ikutan. Tiada kurikulum yang khusus untuk diikuti.

Teman anak muda yang hidup sebagai pekebun kecil getah, sudah pasti teman mereka ialah pisau getah atau pisau toreh. Pisau khusus yang direka oleh HN Ridley. Pisau ini akan diasah setiap pagi sebelum menoreh getah. Penoreh getah ketika itu adalah anak muda tempatan yang berdisiplin. Getah hanya ditoreh kalau tidak hujan. Tapak torehan hanya satu sahaja bagi setiap pokok getah. Bukan seperti sekarang, apabila getah ditoreh oleh pendatang dari Indonesia, tapak torehannya mungkin tiga atau empat bagi setiap pokok. Alamatlah pokok getah itu akan cepat mati. Anak muda penoreh getah teman mereka ialah pisau torehan. Ilmu bagi penoreh getah ini ialah kemahiran yang diperolehi melalui pengalaman. Semakin lama seseorang menoreh semakin baik torehannya, semakin cepat tapak torehan pulih.

Dikalangan anak muda yang bersawah padi, teman mereka ialah cangkul dan tuai atau cangkul dan sabit. Cangkul diguna untuk menyediakan tapak tanaman padi di sawah bendang. Kalau di kawasan yang sawah bendangnya luas, anak muda bertemankan kerbau dan bajak serta pisau sabit dan tepas tempat memukul padi. Teman mereka tuai, piasu sabit, cangkul dan bajak serta kerbau. Kini semua sudah diambil alih oleh jentera…..

Anak muda zaman A GO GO, zaman A Mahmud, Zaman P Ramlie biasanya teman mereka ialah sikat dipoket belakang… Tiada yang spesial tentang hal ini, hanya teman ini sekadar untuk bergaya. Poket kosong (kecuali sikat), masuk angin keluar asap (merokok). Walau pun begitu, teman setia (sikat) tetap ada, setiap wujud waktu tersela maka sikat akan diangkat dan digerak menyusun rambut agar kelihatan segak dan bergaya. Tidak perlu kurikulum yang disusun untuk mereka, tiada kuliah yang perlu dihadapi, tiada ilmu yang mengangkat mertabat diri, hanya sekadar sikat tersepit dipoket belakang seluar yengkee.

Anak muda zaman teknologi maklumat…. Siapa teman setia mereka? Tentu telefon bimbit yang berbagai jenama. Kadang-kadang jari-jemari tidak henti memicit punat-punat huruf menghantar SMS. Ada yang canggih menghantar MMS, kini set telefon boleh mengakses internet atau membuat kiriman ke blog maya. Alat teknologi, ibarat pisau. Kalau penggunanya menggunakan untuk tujuan kebaikan maka alat teknologi itu akan baik dan hasilnya baik. Kalau penggunanya menggunakan untuk tujuan tak elok maka hasilnya buruk. Anak muda perlu kekuatan dalaman (IMAN dan TAKWA) untuk menjadikan temannya mendatangkan manfaat kepada dirinya dan masyarakat.

Mungkin ada lagi teman anak muda yang tidak disebut dalam kiriman ini, sekiranya ada yang tertinggal diharap dapat tambahan dari pembaca budiman. Tulisan sekadar mencetus ingatan kepada generasi anak muda yang ingin bicaranya diberikan perhatian. Sebab banyak idea-idea anak muda di alam sekolah kurang mendapat perhatian dari ibubapa, oleh itu menulis di blog menjadi antara kaedah untuk menghilang haus di otak bagi bicara… Sekian TK.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: