Rutin Orang Pencen
Sudah hampir dua tahun aku bersara. Kata orang mula-mula bersara termimpi-mimpi nak pergi kerja seperti biasa. Bagi aku sendiri, aku tak pernah begitu. Pagi aku akan membaca buku atau menelaah tafsir Quraan. Aku akan menelaah tafsir Quraan untuk membuat persediaan bagi membaca tafsir ayat-ayat Juz Amma di kampung kelahiran aku. Sekurang-kurangnya aku dapat membaca ayat Quraan, memahami maknanya, mengetahui hukum yang terbit dari ayat-ayat yang dibincangkan serta mendapat pengajaran dari ayat yang dibaca.
Bagi tujuan ini aku menggunakan Tafsir Al Azhar (Hamka), Tafsir karangan Ahmad Sonhaji Mohammad, Tafsir Al Munir oleh Wahbah al Zuhaily dan juga Tafsir Fi Zilal Al Quraan (Syaid Qutb). Walau bagaimana pun yang banyak aku baca ialah Tafsir Al Azhar (Hamka).
Seawal jam 8.00 pagi aku akan menebas. Sama ada menebas di persekitaran rumah atau menebas di kebun getah yang aku buat tanam semula. Orang pencen buat kerja lama sedikit dah letih. Aku pergi pukul 8.30 pagi ke kebun getah, pukul 11.00 pagi aku baliklah. Bila panas matahari dah tinggi, aku pun tak tahanlah…. balik!!! Satu perkara perlu diingat di sini, ayah aku dulu boleh usahakan kebun getah seluas itu dengan kudratnya sendiri, tanpa mengupah atau meminta bantu pada orang lain. Aku malu dalam hal itu!!! Aku harap cucu cicitnya dapat menginsafi akan hal ini…
Bila balik kerumah aku berehat, dan pergi keliling rumah, lihat tanaman yang aku tanam. Lihat anak ikan di dalam kolam dan beri makan anak-anak ikan itu. Pagi sebelum aku sarapan biasanya aku menyiram anak-anak pokok yang aku semai dalam polibag. Anak-anak pokok itu nanti akan ditanam sama ada disekeliling rumah atau dalam tanah yang akan dibersihkan nanti.
Seusai solat zohor, aku akan membaca buku semula atau kalau letih sangat, jawapnya tidurlah!!!, Kadang-kadang waktu ini digunakan untuk mengadap laptop sambil merayau ke alam maya (internet) atau membuat persediaan bagi mengajar di SMA Padang Tengku. Aku mengajar Sains Teras seminggu sekali (hari Selasa – Petang) dan Biologi dua kali seminggu (malam Rabu dan malam Jumaat)
Selepas solat Asar aku teruskan kerja-kerja ringan di sekitar rumah atau bantu apa-apa kerja dalam rumah. Lebih kurang 6.30 petang, rutin yang tak pernah lupa ialah memberi makan ikan dalam kolam yang ada berdekatan dengan rumah aku. Ini tak boleh miss!!! Malam pula adalah waktu yang sibuk bagi aku, lima malam aku ada komitmen. Satu malam untuk usrah (belajar, berdiskusi dan menjana fikiran). Dua malam mengajar Biologi. Satu malam mengajar tafsir. Satu malam memberi tazkirah berkaitan pendidikan. Berbaki dua malam lagi tu, itu waktu rehat di rumah melayan cucu kalau ada balik hujung minggu..
Tazkirah yang berkaitan pendidikan ini aku berikan kepada sekelompok pendengar yang meminatinya. Aku gunakan buku Pendidikan Kanak-Kanak Dalam Islam – karya Dr Abdullah Nanseh Ulwan. Sudah pastilah sebelum aku nak beri tazkirah ni aku terpaksa membaca dan memahami isi kandungan buku ini. Ia memerlukan masa yang agak lama untuk menelaah buku yang hebat ini. Aku rasa semua guru dan para pendidik kena membaca buku ini bagi panduan semasa berkerjaya sebagai pendidik.
Sebulan sekali aku diminta oleh Imam Masjid Kampung aku untuk menyampaikan tazkirah subuh pagi Ahad. Bahan yang nak disampaikan perlulah aku perolehi dari buku-buku yang ada dalam simpanan di rumah aku. Itu tak menjadi masalah kerana aku banyak koleksi buku-buku yang berkaitan dangan Islam.
Aku juga diminta menulis artikel pendek yang diedarkan di Masjid Kampung aku. Dulu setahun lebih aku menulis setiap Jumaat, kini ada dua anak muda yang juga turut menyumbang tulisan mereka. Oleh itu kami dapat bergilir-gilir menjalankan tugas menulis untuk bacaan penduduk kampung…
Selain itu, aku sebagai orang kampung, aku akan bersama-sama dalam melakukan aktiviti yang diadakan dikampung… Itu rutin anak kampung yang sudah bersara. Sebenarnya banyak kerja yang boleh dibuat. Bersara di kampung aku kira lebuh bermanfaat kalau dibandingkan dengan bersara di taman perumahan di bandar.
Berkaitan dengan pencen atau bersara ini, bermula Januari 2011 ini, ramailah rakan-rakan aku yang akan bersara bila mencapai umur 58 tahun. Aku bersara lebih awal sebab aku ambil bersara umur 56 tahun. Rakan karib aku yang menjadi Pengarah di Sarawak bersara pada 11 Februari yang lalu. Seorang sahabat (Pengetua) di Kepala Batas akan bersara bulan Mac ini. Seorang lagi (Pengetua) di Muar akan bersara bulan Jun nanti dan seorang Pengetua Kanan akan bersara bulan November. Bersara ertinya umur sudah tua!!! Maksudnya perjalanan hidup sudah menghampiri kematian. Setiap hari berlalu semakin dekat dengan garis penamat. Awas!! bekalan dah cukup ke belum???.
Sekian kiriman kali ini. TK
“Aku harap cucu cicitnya dapat menginsafi akan hal ini…” – memang insaf.. tak daya gak nak keje camtu..
Saya akan bersara 56 tahun pd.ogos 2014 .saya orang kampung dan akan berasara dikampung,cerita saudara menarik dan sebahagian aktivit memang sama yang akan saya lakukan, kecuali tuition dan tazkirah kerana saya tidak mempunyai kemampuan sedemikian.
wassalam. Mohd Jaini Hj.Puasa.
Selamat berjaya, dan bergabung juga dgn jemaah tabligh, krn ia juga diiktiraf syeikh sudaisi sejak 2005 lg