Bicara Buku
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana aku dan dua sahabat aku yang sudah bersara serta tinggal di kampung yang sama dapat mengadakan satu majlis yang bermanfaat setiap minggu. Majlis Bicara Buku diadakan setiap malam Rabu (Selasa malam Rabu) selepas solat Maghrib hingga Solat Isyak. Majlis ini diadakan di Masjid Kg Relong.
Setakat ini sudah siap lima buah buku dibicarakan. Pembicaranya setakat ini ialah empat orang. Tuan Haji Zahari, pembicara pertama. Aku pembicara kedua saudara Hamid Akob ketiga. Aku menjadi pembicara ke empat dan Ust Zulquarnain pembicara yang kelima. Kami bertiga (Haji Zahari, Aku dan Hamid) bertindak sebagai penyelaras majlis ini. Kami mengalu-alukan penyertaan dari orang lain.
Penggunaan Projektor LCD nampaknya menarik perhatian audien. Setiap malam Rabu aku bertindak sebagai juruteknik projektor LCD. Tak apalah demi kepuasan audien yang hadir, agar lebih ramai yang tertarik.
Satu kekesalan yang dirasakan sebagai pengelola ialah kehadiran anak-anak muda yang agak tidak ramai sedangkan merekalah yang sepatutnya terlibat secara aktif dalam pencarian ilmu secara bukan formal ini. Mungkin kerjasama dengan persatuan belia setempat dapat mengatasi masalah ini. Aku kira majlis ini boleh dijadikan program mereka juga, sebagai menambah senarai program yang disertai oleh para belia.
Walau bagaimana pun terdapat satu perkara lucu berlaku. Ada pihak tertentu mengatakan bahawa majlis bicara buku ini akan berhenti apabila buku yang ada habis dibicarakan. Haji Zahari menempelak kembali dengan mengatakan, sehingga kami mati pun buku-buku yang ada dalam simpanan kami belum sempat dibicarakan. Setahun baru 52 buah buku yang sempat dibicarakan. Sedangkan simpanan buku di rumah Saudara Hamid sahaja ada 4000 buah, rumah aku ada lebih dari 2000 buah di Perpustakaan Desa Kg Relong, dekat Masjid Kg Relong ada 8000 buah. Harap yang buat lawak itu fikirkanlah….
Antara tujuan Majlis Bicara Buku dianjurkan adalah untuk menggalakkan khalayak umum suka membaca buku. Selain itu mengajak masyarakat sekampung tidak jumud dengan pemikiran yang tidak ada rujukan. Sekurang-kurangnya kalau ramai baca buku maka cakap-cakap biasa akan sentiasa merujuk kepada sumber yang baik. Ketiga agama Islam menghendaki umatnya rajin membaca, oleh itu hendaklah kita menjadi manusia yang rajin membaca dan majlis ini menggalakkan khalayak suka membaca.
Aku mendapat maklumat dari Harakah (Bil 1690 terbitan 14 – 17 Novenber 2011 – Fikrah muka surat F10) bahawa Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam juga mengadakan majlis seperti ini . Majlis dinamakan Kuliah Buku. Diadakan setiap pagi Sabtu, selepas solat Subuh.
Alhamdulillah, nampaknya Masjid Kg Relong sudah setaraf dalam hal penyebaran ilmu dengan Masjid Negeri Selangor. Semoga kreativiti ini mendatangkan impak pembangunan ilmu dikalangan penduduk Kampung Relong. Sekian kiriman kali ini. TK
Tahniah..semuga usaha yang murni ini…mendapat mandat yang sewajar…sebab saya juga sukakan buku..selak kalau ada buku baru..spjg cuti pjg ini saya telah habiskan 3-5 buah buku akademik dan non akedemik..satu kepuasan…
Assalamualaikom,
Saya sangat teruja membaca catatan aktiviti Tuan dan rakan-rakan. Saya dan rakan-rakan sedang menggiatkan usaha meningkatkan kecintaan masyarakat kepada buku melalui program Bedah Buku yang kami mulakan di Masjid Shah Alam. Justeru itu, saya secara peribadi sangat seronok mendapat tahu program ini dijalankan juga di tempat lain.
Awal bulan Disember 2011, saya baharu sahaja membedah buku saya Khutbah Rasulullah di Masjid Shah Alam. Seperti biasa, jemaah masjid ini tidak pernah mengecewakan. Kehadiran mereka menggalakkan, malah penyertaan mereka sangat menakjubkan.
Insyallah saya akan membedah 3 buah buku saya pada 31 Disember ini di Masjid Jamek dan Masjid asy-Syakirin. Selain saya, 5 orang penulis hebat akan turun pandang membedah karya masing-masing.
Saya dengan rendah hati memohon mengadakan bedah buku-buku saya di tempat Tuan.
Rohidzir Rais
rohidzir.rais@gmail.com