Skip to content

Haji Hebah-hebahan

November 17, 2011

Kalau kita suka sembang-sembang dengan orang yang pernah pergi menunaikan rukun Islam ke lima, menunaikan fardhu haji kita akan berjumpa dengan kesah yang diistilahkan sebagai bayar tunai”. Konsep “bayar tunai” ialah apabila seseorang tersalah cakap atau celupar mulut ketika di Tanah Suci, Allah SWT akan terus tunjukkan bukti.

Sebagai contoh kalau seseorang jemaah haji kata dia tidak ada selera makan, maka memang benar, sepanjang dia berada di Mekah dia tidak ada selera makan. Begitu juga kesah seorang pensyarah saya yang menunaikan haji tahun 70’an dahulu. Mengikut cerita pensyarah itu, rakannya mengajak dia balik ke hotel, takut-takut kalau tak balik bersama, nanti sesat. Pensyarah saya kata, takkanlah sesat. Selepas ditinggalkan oleh rakannya, pensyarah itu memang sesat dalam Masjidil Haram. Dia hanya boleh keluar dari Masjidil Haram dan balik ke hotel selepas dia melakukan solat taubat dan hajat. Pengajarannya ialah jangan celupar mulut atau nak menunjuk-nunjuk, ketika menunaikan fardhu haji terutama kalau dalam Masjidil Haram dan hendaklah sentiasa beristighfar atau bertaubat.

Tersebutlah kesah, seorang pemimpin negara dan isterinya ke Tanah Suci baru-baru ini, sejak naik kapalterbang telah dihebohkan kepada seluruh negara melalui media komunikasi yang ada, (Surat Khabar, TV dan blog-blog pencacainya) terpampang gambar beliau dengan isterinya yang bertudung jambul, berjubah hitam. Kemudian sampai pula gambar membuat tawaf dipagari oleh polis Saudi 24 orang (hebat!! layanannya) dan setelah itu gambar di Janadriyah (ibu pejabat Tabung Haji). Menunjukkan pasangan ini buat haji tamatto’. Gambar siisteri nak bersalam dengan jemaah lelaki yang duduk dikatil klinik Janadriyah.

Tengah-tengah aku sedang menonton drama Haji Bakhil di TV3 malam Raya Haji, ada siaran langsung menunjukkan pemimpin itu sedang berwukuf di Arafah dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha.

Apakah motif siaran demi siaran ini, melainkan nak bagi tau seluruh umat Malaysia bahawa “Aku sedang membuat haji”. Hajat nak bagi tahu itu rupanya dibalas dengan satu perkara pelik. Wukuf ialah pada 9 Zulhijjah dan ikut kelender Masihinya ialah pada 5 November. Alih-alih pada 6 November bersamaan 10 Zulhijjah terdapat berita daripada pemimpin itu, “Alhamdulillah urusan haji kami sudah selesai,”  Berita ini diambil dari twitternya. Kemudiannya BERNAMA pula menyiarkan berita ini melalui laman berita pada pukul 7.29 pagi 7 November. Waktu ini bersamaan 4.29 pagi waktu Saudi Arabia (Beza waktu adalah 5 jam)

Kalau mengikut rukun dan wajib haji, amalan haji bagi pemimpin ini dan kumpulannya masih belum selesai lagi pada ketika itu. Masih ada DUA lagi rukun haji yang belum dibuat iaitu TAWAF HAJI dan SAIE HAJI. Kalau tak buat rukun, haji tak sah. Ketika itu juga ada lagi DUA wajib haji yang belum terlaksana iaitu MABIQ di Mina dan MELONTAR tiga-tiga Jumrah pada hari-hari tashriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) serta masih berpantang tiga perkara dalam ihram daripada 13 perkara. Kalau nak buat nafar awal bolehlah mabiq dan melontar setakat 12 Zulhijjah dan juga balik ke Mekah dari Mina dan melakukan Tawaf dan Saie Haji, barulah ibadat itu selesai. Tulah nak sangat HEBAH, terhebah benda yang salah…. Padan Muka…

Ayat “Alhamdulillah urusan haji kami sudah selesai,” ini membayangkan bahawa penulisnya tidak memahami rukun dan wajib haji. Bagi kita orang Malaysia yang menunaikan fardhu haji sangat tahu tentang rukun dan wajib haji ini kerana dikuliahkan selama lebih dari 35 jam melalui 17 siri kursus haji yang dibuat oleh Tabung Haji. Takkanlah rakyat Malaysia boleh faham tetapi pemimpinnya tak faham-faham. Apakah standard pemimpin kalau fardhu ain pun tak lulus. Baik jangan jadi pemimpin. Kalau aku, aku malulah!!! Ternyata bebal, tak pandai diajar…

Di sini perkara “bayar tunai” itu kena kepada sesiapa sahaja tak kira orang kecil atau orang besar. Keikhlasan melaksanakan haji itu penting agar ibadat itu hanya kepada Allah SWT sahaja bukan untuk mengaut sanjungan daripada manusia atau makhluk. Membuat haji adalah menjadi tetamu Allah SWT dan tidak sama dengan menjadi tetamu Raja Abdullah. Ingat semua yang membaca kalau nak ke Mekah buat Haji buatlah kerana Allah dan mencari keridhaan Nya sahaja bukan untuk dapatkan gelaran Haji atau Hajjah. Juga diingatkan sebelum menunaikan fardhu haji hendaklah seseorang itu mempunyai ilmu yang cukup berkaitan dengan ibadat Haji dan Umrah. Wallah wa’lam. TK.

Advertisements
No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: