Skip to content

Relong Kampung Jariah

November 4, 2012

Kampung Relong ialah sebuah kampung di Mukim Telang, Kuala Lipis, Pahang. Jariah pula adalah perkataan dari Bahasa Arab yang bermaksud satu amalan baik yang memberi manfaat kepada pelakunya dari dunia sehingga akhirat.

Saya gabungkan dua perkara ini untuk menceritakan tentang amalan tradisi turun temurun penduduk Kampung Relong dalam melaksanakan sedekah jariah untuk kegunaan dan kemajuan masyarakat setempat. Pengkisahan ini berkait dengan beberapa bangunan istimewa yang ada di Kampung Relong.

Tujuan penulisan ini untuk mengingatkan kepada semua anak Relong baik yang menetap di Relong atau mereka yang keluar mencari rezeki di tempat lain bahawa Kampung Relong mempunyai kaedah tersendiri mendidik penduduknya menghayati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya, melainkan ada tiga perkara (yang tidak terputus); iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya dan anak yang solih yang sentiasa mendoakan ibu bapanya”. (Hadis riwayat Muslim).

Sebuah bangunan yang hampir keseluruhan dibuat dari campuran simen, batu dan pasir, sehingga atapnya ialah juga adalah konkrit yang kini merupakan bangunan yang menempatkan Perpustakaan Desa adalah terbina dari hasil jariah orang Relong. Bangunan ini asalnya adalah Masjid Kampung Relong, dimulakan pembinaannya tahun 1952 dan dirasmikan pada tahun 1963. Sebelas tahun waktu pembinaannya. Batu diambil dari batu kapur yang terdapat disekitar Kg Relong, yang dibakar dititik dan diangkut ke tapak pembinaan. Pasir diambil dari sungai yang berhampiran diangkut sedikit demi sedikit. Simen dibeli dari Kuala Lipis dan dipikul melalui jalan kaki (ketika itu jalan raya belum ada). Sebahagian besar perbelanjaan pembinaan masjid ini adalah daripada jariah orang kampung.

Setelah Kampung Relong mendapat bangunan masjid baru tahun 1985, bangunan simen ini dijadikan stor. Akhir tahun 1999 bangunan ini diubah suai untuk dijadikan dewan. Pengubah suaian dilakukan kepada bahagian tingkap dan pintu sahaja, struktur lain tidak berubah. Belanja membuat pengubah suaian adalah dari jariah orang kampung. Kutipan lebih daripada RM 14,000.00 diperolehi hasil jualan wakaf.

Surau Bukit Berangan diubah suai kali terakhir tahun 2008. Semua kos membuat ubah suai Surau ini adalah hasil jariah anak-anak Ayah Haji Tuan dan juga penduduk Kampung Relong. Ada maklumat mengatakan kutipan derma wakaf yang terkumpul hampir mencecah RM 40,000.00.

Semasa Kampung Relong berketuakan Tuan Haji Abd Samad Ismail, satu projek pembinaan ruang dapur masjid dibuat. Semua kos pembinaan adalah hasil kutipan daripada penduduk setempat dan para dermawan yang lain.

Bangunan tambahan masjid dibahagian belakang juga dibuat menggunakan kos dari sedekah jariah masyarakat setempat. Oleh kerana galaknya penduduk memberi sedekah jariah, maka terdapat individu yang ketinggalan daripada mendapat peluang memberikan jariahnya.

Ketika mimbar masjid hendak dibuat baru (tahun 2002M), seorang penderma memberi derma yang mencukupi tetapi penduduk kampung terus mengambil peluang memberi jariah mereka. Lain pula cerita ketika membeli sejadah panjang tempat sujud di Masjid. Sehelai sejadah itu harganya RM 500.00. Masjid memerlukan 12 helai (RM 6000.00) Tawaran dibuat diwaktu pagi ketika menyambut Mauludur Rasul. Waktu tengah hari sudah cukup kutipan yang diperlukan. Itulah hebatnya orang Relong mengambil peluang berjariah.

Terbaru ialah pembinaan Asrama Maahad Tahfiz bersebelahan Surau Bukit Berangan juga menggunakan wang sumbangan masyarakat Relong dan saudara maranya. Bangunan yang menelan kos sebanyak RM 280,000.00 dijangka siap pada bulan Disember 2012 ini.

Selain itu terdapat juga individu yang mewakafkan tanahnya untuk kegunaan masjid, iaitu tapak tempat letak kereta masjid masa kini. Insya Allah dalam masa terdekat satu lagi projek pembangunan yang memerlukan penduduk Kampung Relong dan saudara maranya berusaha mencari dana bagi membina satu bangunan yang sangat penting.

Sudah tentu sikap dan tabiat suka memberi sedekah jariah ini telah ditanam oleh datuk nenek kita semenjak Kampung Relong dibuka lebih 200 tahun yang lalu. Sudah pasti masjid kegunaan orang Relong semenjak dari awal tahun 1800 M dahulu dibuat secara gotong royong yang merupakan jariah dari segi sumbangan tenaga kudrat yang ada. Mengikut maklumat terdapat empat masjid dibina sebelum terbinanya masjid Simen yang kini menjadi Perpustakaan Desa Relong.

Oleh itu adalah penting menyematkan semangat berjariah ini kepada generasi muda masa kini agar mereka sentiasa peka bahawa amalan berjariah itu merupakan penanaman saham untuk negeri akhirat nanti. Semoga amalan berjariah secara berterusan di Kampung Relong ini akan menjadikan amalan itu amalan yang diwarisi turun temurun. Sekian TK.

Advertisements
One Comment leave one →
  1. Hjh Ann permalink
    November 5, 2012 7:54 am

    Saya memang kagum dengan sikap berdikari dan initiatif penduduk-penduduk Kampung Relong. Tahniah dan syabas kepada semua. Kampung ini dan penduduknya patut dijadikan kampung contoh. Teruskan usaha murni ini.

    Terima kasih kak, memang kami telah dididik semenjak kecil lagi tentang perkara ini, yang menjadi masalah ialah bagaimana sikap ini hendak kami turunkan kepada generasi yang berikutnya… Insya Allah kami tetap mendidiknya…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: