Banjir – satu kenangan
Beberapa hari yang lalu, Bandar Kuantan dilanda banjir. Mengikut berita air melimpah sehingga padang MPK tenggelam. Bandar Kuantan lumpuh. Banjar kali ini lebih dahsyat daripada banjir tahun 1971. Aku yang tinggal jauh dari Kuantan tidak tahu cerita sebenar tentang banjir di Kuantan ini. Tetapi aku mengalami sendiri banjir tahun 1971 di Lipis.
Dipertengahan bulan Disember 1970 air naik sehingga padang Majlis Bandaran Lipis tenggelam dengan kedalaman melebihi 6 kaki. Kemudian air surut. Diakhir Disember 1970 hujan tidak berhenti selama tujuh hari tujuh malam. Sehari sebelum sekolah dibuka 1971 adalah merupakan kemuncak bah besar di Kuala Lipis.
Ketika peristiwa itu berlaku, aku masih ingat lagi, ia berlaku pada pagi Ahad dimana aku membawa beg untuk pulang ke asrama SMK Clifford dari rumah aku di Kampung Berang ke jalan raya di Bapong. Aku menunggu bas dari jam 8.00 pagi sehingga 10.00 pagi. Biasanya bas akan lalu satu jam sekali. Akhirnya aku mendapat tahu bahawa Kuala Lipis sudah banjir. Aku balik ke rumah dan mengambil basikal ayah aku. Aku pergi ke rumah beberapa orang kawan sebaya dan kami berbasikal ke Kuala Lipis.
Kami hanya boleh sampai sehingga ke Masjid Tempoyang. Di situ kami mendapati air sudah menyekat perjalanan kami untuk ke Bandar Lipis atau ke SMK Clifford. Setelah berihat beberapa ketika kami balik semula ke kampung kami.
Esoknya kami berbasikal ke Padang Tengku untuk melihat keadaan banjir di Padang Tengku. Tanah-tanah yang rendah di Padang Tengku seperti Kampung Perlak, Beralas dan Batu Nering sudah ditenggelami banjir. Penempatan banjir ialah di Sekolah Menengah Padang Tengku.
Pada ketika itu dua buah keterapi mel penumpang satu dari Gemas dan satu dari Tumpat, tersekat perjalanannya di stesyen keretapi Kuala Lipis. Keretapi Mel dari Tumpat membawa ramai pelajar sekolah dari Kelantan ke beberapa sekolah Asrama Penuh seperti Sekolah Tun Fatimah (JB), Sekolah Tuanku Kursiah (Seremban), Sekolah Alam Shah (Cheras), Sekolah Seri Putri (Kuala Lumpur), Sekolah Dato Razak (Tanjung Malim – belum pindah ke Seremban), STAR Ipoh dan MCKK (Kuala Kangsar). Bermalamlah mereka beberapa hari di stesyen keretapi Kuala Lipis.
Setelah banjir surut, aku ambil kesempatan ke Kuala Lipis dengan berkayuh basikal dengan beberapa orang rakan. Tempat pertama yang kami tuju ialah SMK Clifford. Aku saksikan sebahagian bangunan sekolah sudah hilang dibawa arus air. Bangunan kantin sekolah separuh hilang tenggelam di Lubuk Boding, Rumah guru entah kemana, asrama lama juga hilang (tapak dewan lama). Bangunan yang berdiri gagah ialah Blok E, Blok Pentadbiran, Asrama Putera (ketiga-tiga bangunan ini tenggelam bahagian bawah – ground floor)
Bangunan Lentang (2 blok – satu tingkat) dan Makmal masih ada. Aku orang pertama masuk ke perpustakaan di bangunan lentang. Bangunan Lentang kini sudah tiada, sudah diganti dengan banguan bertingkat tempat bilik guru masa kini. Aku saksikan semua almari buku tumbang kecuali satu. Aku hampiri almari yang tidak tumbang itu. Apa yang aku saksikan ialah pada rak yang teratas terdapat beberapa naskah al Quran dan terjemahan di situ. Aku fikir ini sesuatu yang hebat. Aku panggil beberapa orang rakan untuk menyaksikan. (masa itu mana ada kamera pada tangan aku)
Di Bandar Kuala Lipis, ramai orang memperkatakan bahawa Masjid Lama tidak tenggelam sedangkan Jalan Jelai tenggelam sehingga satu tingkat. Kesan air hanya setakat tandas Masjid Bandar Lipis sahaja. Ketika itu masjid itu masih diguna untuk solat jumaat. Masjid Sultan Mahmud Lipis hanya digunakan dalam tahun 1971. Bagi mereka yang menyaksikan kejadian itu semasa banjir 1971 mereka mengatakan bahawa air seperti menaiki bukit sepanjang Jalan Jelai dari Masjid Lama sehingga ke Market (Bangunan Perkim – masa kini)
Itu sedikit coretan pengalaman banjir di Lipis ketika umur aku sudah menjangkau 18 tahun. Sekian TK