Skip to content

Majlis Graduasi SMKPT 2013

Oktober 31, 2013

Pada 30 Oktober 2013 (rabu) berlangsung Majlis Gradusi ke 7 SMK Padang Tengku. Saya telah di anugerahkan Tokoh Kehormat Terbilang. Saya hadir ke majlis berkenaan bersama-sama isteri yang juga pernah berkhidat di SMKPT selama lebih dari tujuh tahun. Berikut adalah teks ucapan saya di Majlis Graduasi itu

DSC_1245

Bismillahhirrahmannirrahim

Assalamualaikum warahmatulllah hi wabarokatuh

Yang Berusaha Puan Nur Eliza, Pengerusi Majlis

Yang di hormati, Puan Rozita Kamaruddin, Pengetua SMK Padang Tengku

Tuan Haji Zulfakri bin Haji Ideris, Wakil PPD Lipis

En Badra Isa Abdul Halim, YDP PIBG SMK Padang Tengku

Guru-guru, staff sekolah,  tuan-tuan, puan-puan dan murid-murid sekelian.

Terlebih dahulu, saya mengucap syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, saya berpeluang hadir ke majlis yang gemilang ini.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, khususnya Pengetua kerana telah sudi menjemput saya ke majlis ini. Bagi saya ini adalah merupakan satu penghormatan besar bagi seorang yang telah bersara dan meninggalkan sekolah ini selama empat tahun dan saya amat-amat menghargai ingatan ini. Terima kasih sekali lagi.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak sekolah, Pengetua, guru-guru dan semua staf sokongan atas inisiatif mengadakan majlis graduasi ini. Saya yakin, ini akan memberi rangsangan kepada murid-murid untuk lebih gigih dalam mengejar kejayaan, apatah lagi dengan adanya tenaga pendidik yang berkelulusan dan penuh dedikasi serta komited dalam mendidik dan memajukan anak watan.

Perkhidmatan saya di SMKPT

Saya melapor diri di sekolah ini pada 1 Jun 1977 setelah menamatkan Diploma Sains dengan Pendidikan dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Setelah berkhidmat selama enam tahun, pada 28 Jun 1983 saya meninggalkan sekolah ini untuk menyambung pengajian saya di UPM membuat Ijazah Bacelor Sains (Kepujian). Saya kembali semula ke sekolah ini apabila mendapat Ijazah BSc (Kep) pada 6 Januari 1986 setelah meninggalkan sekolah ini selama dua tahun setengah.

Pada bulan April 1992 saya dan isteri saya ditukarkan secara misteri ke Bentong. Sehingga ke detik ini saya masih tidak tahu mengapa saya dan isteri ditukarkan ke Bentong pada tahun 1992 sedangkan sekolah ini ketika itu tidak cukup guru sains dan guru Bahasa Inggeris. Saya guru Sains Menegah Atas dan Isteri saya guru Bahasa Inggeris PMR.

Pada 16 Mei 2001 saya dikembalikan ke sekolah ini sebagai Guru Cemerlang Sains setelah menjadi Pengetua di SMK Setia Wangsa dan SMK Orang Kaya Haji. Tetapi oleh kerana ada dasar yang tidak bertulis di Kementerian Pelajaran Malaysia bahawa Guru Cemerlang mesti dihantar ke Sekolah Berasrama Penuh, maka saya ditukarkan ke SEMESTA Raub pada Jun 2003.

Setelah saya berkunjung ke Putrajaya sebanyak dua kali untuk menegur amalan KPM yang menganak-tirikan sekolah harian di luar bandar saya dipulangkan kembali ke sekolah harian dan JPN Pahang menghantar semula saya ke SMKPT pada bulan Jun 2006. Maka berkhidmatlah saya di sini sehingga saya bersara pada 2 Julai 2009 pada umur 56 tahun. Saya sempat berkhidmat disekolah ini selama 16 tahun keseluruhannya dibawah tadbiran 10 orang pengetua.

Suka juga saya mengingatkan kepada semua, terutamanya Puan Pengetua dan para guru yang dihormati, bahawa SMKPT ini ditubuhkan pada 4 Januari 1965. Pada 4 Januari 2015 nanti genaplah usianya 50 tahun. Sudah sewajarnya bermula satu persiapan menyambut Jublee Emas untuk SMKPT. Sambutan 50 tahun kewujudan SMKPT.

Sedikit Coretan

Sebenarnya kisah perkhidmatan saya di SMKPT ini bukan keseorangan. Isteri saya juga berkhidmat di sini dari tahun 1981 hingga 1983 sebelum bertukar ke Batu Anam Segamat Johor dan kembali ke sini semula dari Januari 1986 hingga 1992. Saya dan keluarga tinggal di Rumah Guru Sekolah ini dari tahun 1987 hingga 1992. Dalam jangka masa lima tahun itu sempat lahir tiga anak kami iaitu Nurul Izzah (1987), Nurul Aisyah (1988) dan Muhammad Ilman (1992). Itulah dekatnya hati dan perasaan saya dengan sekolah ini.

Disamping itu saya juga berkesempatan melihat dan terlibat dalam perkembangan Surau Ehsan SMKPT. Surau ini dibangunkan dengan sumbangan orang ramai dalam tahun 1977 ketika saya mula berkhidmat di sini, pengetuanya adalah Haji Zakaria Derani, ketika renovasi pertama dibuat zaman Tuan Haji Jusoh tahun 1987 saya ada di sini dan ketika renovasi kedua zaman Tuan Haji Kamaluddin Daud tahun 2004 saya juga ada disini. Saya fokus kepada Surau Ehsan kerana surau ini menjadi tempat untuk memupuk dan dan membina perkembangan kerohanian serta merawat emosi anak-anak pelajar.

Lima tahun saya menjadi warden asrama saya sempat menghatamkan dua kali buku Tanbihul Ghafilin karangan Abu Laits As Samarkandi yang dibaca sedikit demi sedikit selepas solat Maghrib dan Subuh dan kesannya cukup baik kepada pembentukan disiplin dan akhlak para pelajar. Disamping itu saya juga membaca buku Riadus Solihin karangan Imam Nawawi sebagai bahan bacaan tambahan.

Belajar sepanjang hayat

Apa yang saya buat di surau itu adalah untuk membiasakan diri anak-anak pelajar agar sentiasa tahu bahawa institusi pelajaran bukan di kelas sahaja tetapi terdapat juga di surau atau masjid. Kelas-kelas di sekolah akan ditinggalkan selepas tamat zaman persekolahan di tingkatan lima atau enam tetapi pengajian di surau dan masjid akan berterusan sepanjang hayat. Secara tak langsung kita mendidik sikap belajar sepanjang hayat untuk menepati kehendak hadis “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat”.

Kita dibekalkan dengan lima alat deria atau pancaindera, melalui alat deria; mata, telinga, hidung, lidah dan kulit kita memungut maklumat dari persekitaran, maklumat dari berbagai sumber alam maya dan cyber masakini. Maklumat ini akan diadun di otak oleh akal dan pengalaman untuk menjadi pengetahuan bagi suatu kefahaman. Pengetahuan dan kefahaman itu kalau mampu merubah tingkah laku atau behaviour maka ertinya sampailah makna sesuatu kedalam diri itulah ilmu menurut Imam Fakhraruddin Razi. Pengetahuan dan kefahaman itu dipandu pula oleh dhomir atau hati bersandarkan wahyu Allah SWT dan pimpinan Rasulullah SAW itulah ilmu. Ilmulah yang akan menjadi suluh hidup bagi kejayaan di dunia dan di akhirat. Ilmu Suluh Hidup adalah Motto SMKPT.

Oleh itu persekolahan sebagai asas, institusi agama sebagai pengembang bagai manusia mengenal pencipta dan bagi muslim sekiranya ingin belajar sepanjang hayat maka bugarkanlah proses pembelajaran dari sekolah sehingga ke institusi tak formal dan bukan formal dalam masyarakat sehingga menjadikan kita manusia yang berilmu serta berguna kepada diri kita, kepada keluarga, kepada masyarakat, negara, bangsa dan agama. Kepada para pelajar ingatlah bahawa belajar tidak tamat di sekolah sahaja dan kepada para hadirin semua sama-samalah kita meneruskan proses pembelajaran sepanjang hayat kita.

Akhir kalam saya susun kata kemaafan atas beribu kesilapan yang disengaja atau tidak disengajakan. Semoga perkenalan, persahabatan terus dikekalkan. Kepada adik-adik pendidik yang ku tinggalkan, tabahlah anda sekelian kerana kerja mendidik semakin banyak cabaran. Pengalaman, ilmu dan pengetahuan yang pernah saya kongsikan saya halakan dan gunakanlah untuk menyambung kata Rasul menjadikannya ilmu yang dimanfaatkan.

Kepada murid yang akan menghadapi peperiksaan, saya doakan kejayaan anda untuk memanjat tangga kebahagiaan di masa hadapan.

Terima Kasih diatas anugerah yang diberikan. Saya dan isteri memohon seribu kemaafan. Wabillah hi taufik wal hidayah wassalam mu alaiku wr wbt.

One Comment leave one →
  1. zahalina Mat Yasof @Ismail permalink
    November 26, 2013 6:37 pm

    Tahniah atas anugerah yang di terima, moga ini dapat mencetuskan semangat bekerja dengan ikhlas terhadap tugas yang mulia ini.

    Terima kasih diatas ucapan. Itulah penghargaan orang kepada kita. Sekolah Menengah Kebangsaan Orang Kaya Haji telah beri anugerah pada tahun 2012, PPD Lipis beri anugerah Tokoh Guru Lipis sempena hari guru 2013 dan diikuti oleh SMKPT. Terima Kasih kepada mereka yang mennghargai saya!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: