Bertemu semula selepas 48 tahun
Bismillah hir rohma nir rahim, Assalam mu alaiku wr wbt
Pada 10 Ogos 2013 bersamaan 3 Syawal 1434 H, kami bertemu semula. Ketika bertemu umur sudah mencecah 60 tahun kerana kami lahir dalam tahun 1953. Sempena persiapan Jublee Intan Sekolah Relong, kami membuat persediaan untuk mencari rakan sekelas yang masuk ke SK Relong pada tahun 1960 dan keluar dari darjah enam tahun 1965. Gambar berikut adalah bukti pertemuan kami.
Bukan mudah untuk mengumpul 19 orang dari 24 orang yang masih hidup. Saya dan saudara Abd Hamed merancang pertemuan ini dan dengan mengambil kesempatan membuat pertemuan pada hari Raya Ketiga (3 Syawal) di perkarangan rumah Saudara Abd Hamed, di Kampung Sungai Batu, Relong.
Walau pun ramai diantara yang hadir itu tinggal di Relong, tetapi ada juga yang tak dapat hadir. Ada seorang daripada yang tak hadir itu meminta saya menganjurkan perjumpaan kelas kami apabila umur mencecah 60 tahun. Permintaan itu dibuat tahun lalu (2012). Saya beritahu dia, insya Allah kita buat tahun hadapan. Tetapi bila dibuat dia pula tak datang. Dia tak datang kami tak tahu sebabnya.
Empat dari yang tak hadir tinggal diluar Kampung Relong. Ada seorang itu kami cari nombor telefon tetapi tak dapat. Berkali-kali saya kerumah adeknya di Bapong, tetapi setiap kali saya pergi rumah berkunci. Ini dibuat selepas kami gagal menemui beliau di tempat kerjanya. Seorang yang tinggal di Kuantan kata dia akan datang tetapi sehingga tamat majlis dia tak sampai. Seorang tinggal di Felda Tersang, kami pergi ke rumah beliau menghantar jemputan tapi dia berhalangan pada hari pertemuan. Seorang tinggal di Jengka 5 juga kami hubungi melalui penggilan telefon juga tak dapat datang.
Kawan sekelas kami semuanya 28 orang, Empat sudah meninggal dunia, tinggal 24 orang, dua dari yang lelaki masih bujang terang tang-tang. Ramai yang sudah bercucu dan ada yang belum bermenantu.
Antara usaha untuk mempertemukan kami ialah kami pergi menghantar jemputan dari rumah ke rumah. Untuk yang tinggal di Relong kami menugaskan saudara Salleh Ludin untuk menghantar surat dari rumah ke rumah. Untuk yang tinggal jauh Saudara Hamed, saya dan Salleh pergi menghantar surat dari Ladang Selborne (Lampang), ke Felda Sungai Koyan (Haji Abdullah Maulud), ke Felda Tersang (Saudari Khadijah Awang Chik), ke Raub (Saudara Baharuddin Shafie) ke Felda Lembah Kelau (Saudari Siti Rahmah Yusof) ke Benta (Saudara Halimi Mohd Noor) dan seusai solat Zohor di Masjid Benta kami ke SK Jerangsang kononnya mencari Saudara Abu Hassan Md Zin tetapi tak berjumpa. Tapi tak apalah missi berjaya, dapat bertemu lima dari enam yang ingin dicari.
Walau bagaimana pun semua perbelanjaan pertemuan ini dari makan minum, cenderahati dan persiapan dibuat oleh Saudara Hamed dan keluarga. Melalui tulisan ini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau dan keluarga atas sumbangan bagi menjayakan pertemuan itu. Agaknya kalau ada sambutan tahun akan datang boleh buat sekali lagi.
Sekian, TK