Bertatih dijalan Dakwah 2
Hidup di Asrama
Sepanjang pengajian di sekolah rendah, aku tinggal bersama ibu ayah di kampung kelahiran aku. Contoh tauladan yang ditunjukkan oleh ayah, ibu sertang abang kakak menjadi ikutan. Begitu juga perangai dan gelagat masyarakat keliling menjadi cerminan diri.
Apabila tamat sekolah rendah aku memasuki sekolah menengah dan tinggal di asrama. Di asrama terdapat sebuah surau 30 kaki X 30 kaki. Biasanya waktu maghrib ramai yang berjemaah. Masa itu (tahun 1966), mana ada lagi gerakan dakwah seperti sekarang. Tiada juga kursus dakwah. Hanya yang ada bimbingan seorang Ustaz yang datang sebulan sekali ke asrama.
Waktu magrib biasanya kami solat berjemaah, kalau senior yang jadi imam tiada, hampir semua ahli jemaah akan keluar dari surau kerana takut jadi imam. Hendak tak hendak di satu ketika, aku kuatkan diri menjadi imam solat maghrib itu. tetapi bila sampai bab wirid selepas solat aku buat wirid “Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan “Allah hu akbar” sahaja. Bila sampai masa berdoa aku bantai dalam bahasa melayu sahaja.
Menyedari keadaan itu bila aku balik kampung aku terpaksa menceritakan perkara itu kepada ayah aku dan kemudiannya aku belajar dari belaiu kaedah yang betul membaca doa dan membawa tahlil.
Tahun kedua aku tinggal diasrama, aku dah biasa jadi imam solat maghrib dan isyak, untuk jadi imam solat Subuh aku tak berani lagi sebab ada doa qunut. Apatah lagi waktu subuh sememangnya tiada yang turun ke suaru untuk bersolat.
Berlalulah begitu kehidupan aku di asrama dari tahun Remove Class hingga ke tingkatan lima. Ada satu masalah yang aku kira cukup membelenggu aku ketika itu. Aku boleh baca Al Quran, tetapi makna apa yang dibaca tak tahu. Cari rujukan baik dalam tulisan rumi atau tulisan jawi pun tak ada. Di Perpustakaan di rak buku-buku melayu hanya ada novel dan beberapa buku. Hanya satu almari sahaja buku melayu, Buku terjemahan al Quran tiada. Daif sungguh masa itu.
Kalau aku nak cari makna apa-apa yang berkaitan agama aku terpaksa balik ke rumah di kampung bertanyakan ayah hal berkenaan. Ayah tetap membantu. Itulah peranan ayah dalam menyediakan aku sebagai anak yang peka kepada perkembangan Islam dalam diri.
Sekian TK