Lompat ke isi kandungan

Bertatih Dijalan Dakwah 9

Oktober 23, 2014

Pada 1 Jun 1977, bersama-sama Zahari Haji Uda, aku pergi melapor diri di SMK Padang Tengku, sebagai guru. Aku melapor awal dari tarikh yang disebut dalam surat (6 Jun 1977) kerana Guru Besar (Pengetua) meminta aku datang segera. Kerana SMK Padang Tengku perlukan seorang guru Sains bagi membantu murid-murid menghadapi SPM tahun 1978. Pada masa itu SMK Padang Tengku sedang membina sebuah Surau yang agak besar dan hanya dua buah sekolah di Pahang yang berusaha membuat surau besar iaitu SMK Padang Tengku dan SMK Mengkarak.

Adanya Surau Besar yang boleh menampung seluruh murid asrama menunjukkan bahawa pengurus sekolah serious dalam usaha dakwah kepada murid-muridnya. Ia jua menuntut komitmen daripada para guru untuk membantu usaha dakwah ini. Tak kiralah sama ada dia guru Pendidikan Islam atau guru biasa. Aku sendiri sudah bersedia untuk membantu GB dalam hal ini dengan pengalaman yang diceduk di kampus UPM Serdang dahulu. Bangunan surau dah ada tetapi pengisiannya bagaimana?

Apabila surau siap dan boleh diguna, aku ke sekolah sebelum subuh. Aku menaiki motosikal dari rumah aku di Kampung Berang ke sekolah sejauh (7 km). Setiap pagi, kalau tiada Imam surau atau Ustaz aku bertindak jadi Imam solat dan biasanya aku akan memberi tazkirah pendek (15 minit) untuk bekalan rohani para penghuni asrama. Tajuk-tajuk yang aku gunakan aku ambil dari dua buah buku yang bernah aku gunakan di kampus UPM dahulu, iaitu kitab Tanbihul Ghafilin dan Riadus Solehin. Inilah usaha pertama aku melebarkan pelaksanaan dakwah ditempat kerja.

Bagi menambah ilmu berkaitan al Quran khususnya bidang tajwid, aku bersama-sama Zahari Uda, belajar di Surau Bukit Berangan berguru kepada Ustaz Muhammad Mandak. Kehadiran aku dan Zahari menjadi bahan contoh kepada pemuda Kampung Relong ketika itu. Pernah Ustaz Muhammad menyebut kepada anak-anak muda Relong ketika itu agar mencontohi kami. Katanya “Kalau dua orang ini yang dah lulus Universiti, masih mahu belajar agama bagaimana kamu yang tak ada apa-apa kelulusan, apakah kamu tak nak belajar agama.” Ini namanya bertatih dalam dakwah lisan nul hal (perbuatan)

Di Surau Bukit Berangan, aku dan Zahari bukan sekadar belajar tajwid / al Quran tetapi kami belajar juga berdikir Maulud. Kehadiran kami di surau itu mengundang beberapa orang lain untuk turut serta belajar tajwid dan berdikir Maulud. Antaranya Cikgu Musa Hassan, Ustaz Mohd Noor Nong, Abang Mat dan lain-lain.

Tuan Guru Besar (Pengetua) mengajak aku dan Zahari berbincang tentang bagaimana nak galakkan pelajar perempuan menutup aurat, sekurang-kurangnya diwaktu persekolahan. Akhirnya aku diminta membuat penerangan kepada murid perempuan berkaitan kewajipan menutup aurat berdasarkan pendapat Mazahab Syafie. Kami berkonsi usaha mencari dana untuk membeli mini telekung. Setiap bulan kami menginfak RM50.00 seorang untuk membeli mini telekung yang akan diberikan kepada pelajar perempuan yang hendak memakainya diwaktu sekolah. Bagi murid Sekolah Menengah Padang Tengku cukup sekadar mereka memakai mini telekung dan seragam sekolah (Kain, Baju Kurung dan Stokin), mereka sudah menutup aurat. Oleh itu kempen memakai mini telekung di sekolah sudah menyamai kempen menutup aurat.

Bagi menyemarakkan lagi perjalanan dan kefahaman tentang Islam, Tuan GB bersama-sama dua orang pembantu makmal (Osman Nong Chik – Zul dan Mat Sains) dan beberapa orang pelajar lelaki telah dibawa ke Sungai Pencala (Arqam) untuk mendalami beberapa kefahaman dakwah. Sekembalinya mereka dari situ, perkembangan dakwah di SMKPT agak meriah. Aku pula ditugaskan untuk mengajar beberapa nasyid. Oleh kerana aku tidak mahir dalam bidang ini, aku meminta adik perempuan ku (seorang Ustazah) melatih anak-anak murid ku dalam bidang ini.

Selain itu, aku juga diminta menyusun latihan untuk penghuni asrama lelaki agar boleh melaungkan azan dengan betul. Aku tak ada ilmu dan kemahiran dalam bidang itu. Oleh itu aku meminta Ustaz Mohd Nor Nong, yang mengajar al Quran dan Fardhu Ain di asrama mengajar azan itu.  Nampaknya kerja aku lebih kepada mengatur dan menyusun kerja-kerja dakwah di dalam lingkunan sekolah.

Bersama-sama dengan GB dan rakan-rakan guru yang lain aku bertatih dijalan dakwah di persekitaran SMK Padang Tengku.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: