Remaja di Kampung Al Quran
Kiriman ini merupakan kiriman terakhir bagi tahun 2014, juga merupakan kiriman yang membicarakan tentang kampung Al Quran yang sedang diusahakan di Kampung Relong. Insya Allah konsep Kampung Al Quran sedang dirangka bagi memudahkan penduduk kampung mengusahakannya.
Secara umumnya remaja ialah mereka yang berada dalam tempoh usia selepas akil baligh hingga sebelum dewasa. Jangkaan umur antara 13 tahun sehingga 20 tahun. Menurut Islam, di peringkat inilah mereka diberikan tanggungjawab sebagai seorang yang melaksanakan suruhan agama dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Islam. Ini juga bererti remaja itu ialah mereka yang sedang belajar dari tingkatan satu sehingga ke tahun ke dua IPT.
Remaja hari ini adalah pewaris umat yang akan melaksanakan ajaran agama yang sempurna. Para remaja perlu sedar bahawa mereka wajib menyediakan diri bagi manggalas tanggungjawab sebagai pemimpin umat. Persediaan yang diperlukan adalah dalam memahami arahan al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Asas untuk bersedia ialah mendalami aqidah, ibadah dan akhlak. Untuk mendalami tiga bidang utama ini adalah melalui pembelajaran dan penghayatan ilmu. Oleh itu carilah ilmu.
Menghadiri sesuatu majlis ilmu itu adalah ibarat kita berada di taman syurga. Ada dua taman syurga di dunia ini seperti yang disahkan oleh hadis-hadis berikut:
“Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyakkanlah berzikir” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan taman-taman syurga itu?’ Baginda menjawab, “Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu).” (Riwayat Tarmizi)
“Diantara rumah dan mimbar ku adalah taman dari taman-taman syurga” (Riwayat Tirmizi)
Oleh itu Remaja di Kampung Al Quran wajarlah berusaha untuk datang ke salah satu dari dua taman syurga ini, sama ada menghadiri mana-mana majlis ilmu di merata tempat di atas muka bumi ini yang bernama masjid dan surau atau berziarah ke Raudah di Masjid Nabawi di Madinah. Tetapi yang termudah untuk ke syurga ialah menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan surau di kampung kita.
Kita berhasrat untuk melahirkan generasi yang mencontohi Generasi Qur’ani zaman Rasulullah SAW. Mereka para remaja Generasi Qur’ani bukanlah orang terbelakang yang hanya bergelemut dengan Al Quran dan keagamaan serta mengabaikan pencapaian pengetahuan umum. Namun sesungguhnya mereka bukan saja diagungkan berdasarkan keutamaan yang telah Allah tetapkan malah Allah memberikan beberapa kelebihan lainnya yang begitu banyak dalam hal kemampuan berfikir, bersosial, berkarya dalam kepelbagaian bidang ilmu pengetahuan, yang sesuai dengan bakat dan kemampuannya.
Untuk menjadi seperti remaja zaman Generasi Qurani, remaja kini hendaklah terbiasa membaca Al Quran dan mengisi setiap hari-harinya dengan perkara kebaikan. Mereka hendaklah membiasakan diri untuk menjadikan Al Quran sebagai sahabat akrab dalam kehidupan hariannya dengan membaca, memahami serta mengamalkan segara saranan dan tegahan yang terkandung dalam Al Quran itu.
Kualiti seseorang sangat ditentukan oleh dua hal, iaitu siapa temannya dan apa bahan bacaannya. Kalau pergaulannya dengan orang biasa-biasa saja, maka cara berfikirnya biasa-biasa. Tapi kalau pergaulannya adalah lingkungan yang hebat, maka dia menjadi hebat. Oleh itu, persoalannya adalah bagaimana agar kita menjadi remaja yang hebat? Maka sejak kecil sudah dilatih untuk bergaul dengan zat yang Maha Hebat iaitu Allah SWT melalui interaksi dengan kalam Nya iaitu Al Quran.
Lalu bagaimana dengan pengaruh bacaan? Jika bacaannya bahan-bahan tingkat bawah, maka orang itu tidak akan boleh melebihi dari bacaan itu. Begitu juga kalau bacaannya berkualiti tinggi maka orang itu juga akan berfikiran dengan kualiti itu. Oleh itu remaja di Kampung Al Quran disaran untuk membaca huraian dari kalam Allah (membaca tafsir Al Quran), hadis-hadis Rasulullah SAW bersama huraiannya dan juga buku-buku karangan para Ulamak yang muktabar.
Menjadi remaja digital di era Generasi Teknologi Maklumat yang berakhlak Qur’ani adalah satu kemestian! Sebagai remaja berakhlak Qur’ani yang cerdas tidak mungkin untuk menghindari dunia digital bahkan sangat perlu menguasainya dengan tujuan-tujuan yang jelas, bermanfaat seperti ia akan meluaskan sayap dakwah, membangkitkan kesedaran terhadap Al Quran dan agama melalui media-media massa terkini serta menguasai cara penyebaran media Islamik untuk perkembangan akhlak remaja generasi penerus peradaban zaman ini dengan mencetak umat berakhlak dan menghayati ajaran Al Qur’an. Ternyata generasi yang diredhai Allah itu, adalah mereka yang giat dan bersemangat membaca Al Quran bahkan mereka mempunyai jadual tersendiri serta meluangkan waktu khusus untuk membaca dan memahami Al Quran. Kampung Al Quran memerlukan remaja seumpama ini.
Bagi mereka yang buta huruf dalam mengenal Al Quran, anda tidak perlu berasa malu sekiranya baru hendak mula belajar. Gelaran lidah keras sememangnya berlaku. Ini diakui, bahawa mereka yang berada di tahap ini amat sukar untuk diajar berbanding kanak-kanak. Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna pintu untuk mempelajari Al Quran sudah ditutup. Cukuplah mengajar mereka berdasarkan kemampuan mereka tanpa dipaksa dan perbanyakkan latihan belajar membaca Al Quran. Lagi pun mereka dalam kumpulan ini dijanjikan oleh Rasulullah SAW mendapat dua pahala seperti yang dinyatakan dalam Hadis berikut:
Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W.: “Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mempelajari lagu ketika membaca Al Quran bukanlah satu kewajipan. Tetapi ianya tetap merupakan salah satu alternatif yang boleh dipilih oleh kita. Lagu ini merupakan pelengkap kepada proses pembelajaran membaca Al Quran secara bertajwid. Jika anak-anak mencapai umur sembilan tahun, lihatlah bakat yang ada pada mereka. Jika ada yang bersuara merdu bolehlah mengasah bakat dan pertajamkan kemahiran membaca Al Quran secara bertajwid dan berlagu. Semoga dengan kesungguhan kita membentuk remaja yang mencintai Al Quran maka akan terzahirlah sebuah Kampung Al Quran yang disinari sakinah dan simbahan rahmah Allah SWT dalam jangka waktu terdekat. Wallah wa’lam.