Skip to content

TABUNG HAJI –WANG ‘KERINGAT’ DAN ‘AIR MATA’

Mei 9, 2015

Tulisan ini saya petik dari blog Abu Hassan Adam. Satu tulisan yang menundang kesedaran bagi mereka yang mahu sedar tentang kerakusan pihak tertentu mengguna wang tabungan orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.

            Semalam 7 Mei 2015, aku terbaca berita bersumberkan Astro Awani menayatakan, ‘Baru-baru ini, laman blog The Benchmark serta beberapa blog lain telah memuat naik beberapa dokumen yang memaparkan Tabung Haji telah membeli dua plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM772 juta, menggunakan wang pendeposit yang disimpan dalam syarikat berkenaan dan bukannya wang kerajaan. Blog itu juga mendakwa ‘orang dalam’ Tabung Haji mengesahkan bahawa satu perjanjian ‘fast track’ telah dibuat di mana ia mendapat kelulusan menteri dalam masa kurang dua minggu dan wang pembelian perlu dibayar kepada 1MDB secara penuh”Astro Awani 7 Mei 2015

            Dalam sumber berita yang sama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Seri Azeez Rahim telah menafikan penjualan tersebut sebagaimana yang dilaporkan oleh Astro Awani,semalam, Azeez menerusi akaun Twitternya telah pun menafikan dakwaan tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan mereka secepat mungkin’

            Dan ekoran daripada itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah menerusi kenyataan hari ini mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di TRX.
Namun, Johan dalam kenyataannya menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam beberapa blog. (Astro Awani 7 Mei 2015)

            Dan akhirnya Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terpaksa meminta maaf di atas penafian beliau terhadap pendedahan berhubung pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur itu.”Ya, maaf di atas kesilapan komunikasi. Tidak benar mengenai RM722 juta untuk membeli dua bidang… itu yang saya nafikan,” kata Abdul Azeez menerusi laman mikro Twitternya. (Astro Awani 7 Mei 2015)

            Salah seorang menteri kabinet DS Najib mengatakan pula bahawa pembelian sebidang tanah IMDB oleh Tabung Haji bukannya ‘bailout’ tetapai sebenarnya ‘investment’. Aku tak faham kedua-dua konsep ini. “Bailout’ pun aku tak faham dan ‘investment’ juga aku tak faham. Dan tidak pun aku berhasrat untuk membincangkan kedua-dua konsep ini.

            Rata-rata orang Melayu menyimpan di Tabung Haji, terutama orang Melayu di kampung-kampung. Yang aku musykilkan ialah mengapa diambil duit Tabung Haji untuk ‘tanaman modal’ membeli tanah milik IMDB. Aku tidaklah sejahil mana sehingga menentang tanaman modal yang dibuat oleh Tabung Haji. Aku tahu juga yang Tabung Haji menjalankan perniagaan untuk memberikan pulangan kepada penyimpan-penyimpannya. Aku difahamkan bahawa Tabung Haji terpaksa membayar harga yang berpuluh kali  ganda untuk mendapatka tanah IMDB itu. Difahamkan bahawa harga asal tanah berkenaan adalah disekitar RM 70 tiap-tiap satu kaki persegi dan dijualkan kepada Tabung Haji dengan harga RM 2779.(Maaf, sekiranya aku tersilap menyatakan angka-angka berkenaan).

            Aku mungkin setuju dengan pandangan rakyat miskin di Malaysia kini yang rata-rata mempersoalkan tentang kewajaran Tabung Haji membeli lot tanah IMDB yang begitu mahal sekali. Amat menyedihkan apabila melihatkan perbandingan angka ini. Nampak sangat pihak pemerintah mementingkan IMDB berbanding dengan Tabung Haji yang ‘dihidupkan’ oleh orang kampung yang miskin, yang bercita-cita menggunakan Tabung Haji sebagai tempat menabung dengan penuh harapan akan dapat menunaikan Haji pada suatu ketika nanti. Sepatutnya Tabung Hajilah yang diberikan keutamaan membeli hartanah dengan harga yang diberikan kepada IMDB itu. Mengapakah pihak-pihak tertentu yang menguruskan urusan jual beli ini langsung tidak ‘berhati perut’ sehingga sanggup membutakan hati dan langsung tidak memandang akan kesusahan yang dideritai oleh orang kampung yang menabung dalam Tabung Haji ini.

Dan tentunya Prof Diraja Ungku Aziz menitiskan air mata mengenangkan hal bagaimana pengurusan Tabung Haji kini sudah tidak ada langsung perasaan belas terhadap derita orang kampung yang merupakan penyimpan taat dalam Tabung Haji. Bukan salah Tabung Haji terlibat dalam perniagaan bersesuaian denga perkembangan masa dan zaman yang kita lalui, tetapi keterlibatan dalam perniagaan yang meragukan (seperti IMDB ) tentulah merunsingkan juga ramai penyimpan Tabung Haji kini sebagaimana yang sentiasa dipersoalkan oleh Tun Mahathir.

            Masih terbayang dimataku bagaimana ibu bapa di kampung berjimat dan sentiasa berusaha menambahkan pendapatan demi untuk menyimpan di Tabung Haji yang matlamat akhirnya untuk menunaikan Haji ke Makkah. Kebanyakan ibu bapa miskin di kampung tidak membelanjakan wang bulanan yang diberikan oleh anak-anak mereka yang makan gaji di bandar, tetapi sebaliknya mereka menyimpan dan terus menyimpan di Tabung Haji sehingga berjaya mereka menunaikan haji ke Makkah.

Kini masih ramai lagi orang kampung aku yang menyimpan secara berdiikit-dikit di Tabung Haji. Dengan lebihan yang tidak seberapa hasil daripada penjualan buah-buahan, mereka simpan wang mereka di Tabung Haji. Hasil daripada penjualan hasil ternakan seperti ayam, kambing atau kerbau, mereka simpan wang mereka di Tabung Haji.

Apakah pihak pengurusan Tabung Haji tidak langsung terkenangkan nasib dan derita orang kampung yang mengalirkan keringat dan air mata untuk menyimpan di Tabung Haji yang matlamat akhirnya ia itu menunaikan haji. Apakah pihak kerajaan juga sama bersekongkol dan ‘mengiakan’ tindakan pihak pengurusan Tabung Haji yang bersikap sedemikian. Apakah pada pandangan pihak kerajaan bahawa rakyat luar bandar yang menyimpan dalam Tabung Haji itu hanya berguna apabila waktu datangnya pilihan raya sahaja.

Apakah begitu?…..

abuhassanadam

8 Mei 2015

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: