Skip to content

PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN

Mei 8, 2017

Sesungguhnya, Ramadhan merupakan bulan jaminan kemenangan yang sudah pasti bagi setiap pejuang. Bukan menang berlawan, berperang atau bertaruh, tetapi lebih dari itu, kemenangan yang pasti di bulan Ramadhan adalah merupakan kemenangan terbesar buat mereka yang “menghidupkan” Ramadhan dengan sebenar-benarnya.

Kemenangan yang dimaksudkan di sini tidak lain tidak bukan ialah kemenangan ke atas syaitan, kemenangan ke atas nafsu syahwat, dan juga kemenangan ke atas sebarang kejahatan. Kerana itulah juga, kehadirannya disambut dengan perancangan yang teratur. Bukan rancangan mengatur menu makanan dan hidangan, bukan rancangan menempah pakaian hari raya yang akan menjelang, tetapi persediaan iman, persediaan doa dan persediaan ilmu.

Segala perancangan hendaklah dibuat dengan rapi, dan haruslah merangkumi pelbagai aspek. Perancangan ini amatlah penting kerana ianya akan digunapakai di sepanjang Ramadhan, bagi meraih keuntungan yang dijanjikan, iaitu “Taqwa”, teman setia seorang hamba dalam perjalanan menemui Tuhannya. Maksud firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.Baginda Rasulullah SAW ketika menyambut kehadiran bulan yang mulia ini ada bersabda (maksudnya): “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, selamat datang Ramadhan!” (Riwayat Al-Baihaqi).

Menceritakan tentang kegembiraan menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak, At-Tabrani meriwayatkan daripada Anas R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. sering berdoa sebelum ketibaan Ramadhan, bermula daripada masuknya bulan Rejab. Antara doa yang selalu diucapkan baginda ialah (maksudnya): “Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”.
Apabila mendekati bulan Ramadhan yang mulia, maka Rasululllah S.A.W kerap mengulang penghujung doa tersebut, “Allahumma Ballighna Ramadhan” (Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan). Maka tidak hairanlah jika kedengaran bergemanya di serata dunia doa orang-orang yang beriman, “Allahumma Balllighna Ramadhan”, mendoakan agar dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah SAW dididik dengan tema yang agung ini- “Allahumma Ballighna Ramadhan”. Kesannya, mereka menanti dan menyambut Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Dan kemudiannya, selama enam bulan selepas Ramadhan pula, mereka menangis kerana berlalunya Ramadhan sambil memperbanyakkan berdoa agar Allah SWT menerima semua amalan yang telah mereka kerjakan sepanjang Ramadhan. Ini bererti, benih ketaqwaan Ramadan bercambah dalam hati dan jiwa mereka. Sedangkan kita?? Bagaimanakah halnya dengan kita?

Jika kebiasaannya tetamu yang datang berkunjung ke rumah disambut dengan penuh gembira, malah persiapan lebih awal dibuat bagi menyambut ketibaannya, maka begitulah juga “layanan” dan sambutan yang perlu kita berikan kepada bulan Ramadhan. Kedatangan bulan mulia ini sebagai “tetamu” agung umat Islam turut membawa bersamanya keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat. Dengan kelebihan-kelebihan yang dimiliki bulan Ramadhan ini, maka wajarlah ianya dijadikan pendorong kepada kaum muslimin untuk menggandakan amal ibadat mereka, dan pastinya kegembiraan menyelubungi mereka yang benar-benar beriman.

Lalu bagaimanakah caranya kita harus menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Apakah yang perlu kita lakukan? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramadhan kali ini. Persediaan ini haruslah merangkumi setiap aspek, baik jasmani mahupun rohani, fizikal dan juga spiritual. Banyak persediaan yang boleh kita rancangkan dan lakukan, termasuklah:

IMAN:

  1. Bertaubat dengan taubat yang bersungguh-sungguh.
  2. Berazam meninggalkan segala maksiat.
  3. Sentiasa berdoa “Allahumma Ballighna Ramadhan”.
  4. Perbanyakkan puasa di bulan Syaaban.
  5. Membaca Al-Qur’an (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).
  6. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).
  7. Berzikir setiap masa.
  8. Membaca Al-Ma’thurat pagi dan petang.

ILMU:

  1. Mempelajari hukum-hukum dan perkara-perkara yang bersangkutan dengan ibadah puasa, agar ibadah puasa itu dapat dijalankan dengan betul dan diterima oleh Allah SWT.
  2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.
  3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.
  4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmum di bulan Ramadhan.

DAKWAH:

  1. Bersedia untuk memberi tazkirah atau ceramah tentang kelebihan bulan Ramadhan.
  2. Meluangkan masa menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.
  3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan bagi menyambut kedatangan Ramadhan.
  4. Menyediakan risalah atau majalah kecil untuk orang ramai tentang persediaan menyambut Ramadhan.

KEAZAMAN:

  1. Membuka dan memulakan amalan baru yang jauh lebih baik dari sebelumnya.
  2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.
  3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.
  4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya.
  5. Sentiasa berlapang dada.
  6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

JIHAD:

  1. Merealisasikan matlamat “bersungguh-sungguh melawan nafsu”.
  2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (pakaian, tidur).
  3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.
  4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.
  5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

“Allahumma Ballighna Ramadhan” merupakan doa dan harapan, menunjukkan betapa hamba-hamba yang soleh mengidam dan tamakkan limpahan Allah (Rahmat, Keampunan dan Pelepasan dari Neraka) dalam bulan ini. Para ulamak dan solihin terdahulu bersiap menunggu kedatangan Ramadhan bagi tujuan mengharapkan keampunan Allah pada sepanjang Ramadhan. Oleh itu, kita hendaklah menghargai bulan Ramadhan yang bakal tiba beberapa hari lagi ini dan tidak mensia-siakannya dengan membiarkannya berlalu tanpa dimanfaatkan. Semoga Ramadhan tahun ini lebih bermakna dari Ramadhan yang sebelumnya…   Wallah wa’lam.

Advertisements
No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: