SELAMAT DATANG KE MADRASAH RAMADHAN
Alhamdulillah, bersyukur kita kerana masih dipanjangkan umur, untuk dipertemukan lagi dengan Ramadhan kali ini. Semoga kita sama-sama dapat manfaatkan bulan mulia penuh barkah ini dengan mempertingkatkan amalan supaya lebih dekat kepada Pencipta kita, Allah SWT.
Tujuh atau Lapan hari lagi kita akan berpuasa. Bagi yang biasa melakukan puasa sunat, mungkin tiada masalah untuk menghadapi bulan Ramadhan ini. Tapi bagaimana pula dengan mereka yang sebaliknya? Bagi mereka yang jarang sekali menunaikan ibadah puasa sunat, mungkin mereka akan merasa sedikit kepayahan dalam berjuang melaksanakan puasa wajib Ramadhan.
Jadi apa pula ubat yang dapat memberi suntikan semangat kepada kita supaya dapat menjalani puasa dan ibadat Ramadhan ini dengan penuh kecergasan, agar tidak kehabisan tenaga, tidak patah semangat di tengah perjalanan dan juga tidak tersungkur di tengah musim atau di penghujungnya.
Marilah sama-sama kita hayati perkara-perkara berikut yang mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk mendapatkan suntikan semangat dalam melaksanakan kewajipan berpuasa ini dengan jayanya bagi meraih TAKWA:
(1) Ikhlas dalam menjalani ibadat puasa kerana Allah SWT.
Ikhlas merupakan kunci penerimaan semua ibadat dan taufik Ilahi. Segala ibadah yang dilakukan ikhlas kerana Allah SWT pastinya akan diberikan ganjaran setimpalnya dari Allah SWT. Dengan wujudnya rasa ikhlas kerana Allah SWT semata-mata, insha Allah segala amal ibadah kita akan dipermudahkan-Nya. Firman Allah yg bermaksud: “Pada hal mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya…” ( Al-Bayyinah: 5)
(2) Menyedari hakikat betapa banyaknya pahala yang menunggu buat orang-orang yang berpuasa, antaranya:
- Di Hari Qiamat nanti, ianya dapat memberi syafaat kepada orang yang berpuasa supaya dapat masuk ke Syurga.
- Adanya satu pintu di Syurga yang dinamakan Ar-Ryan, yang mana hanya orang yang berpuasa sahaja yang dibenarkan masuk ke Syurga melalui pintu itu.
- Puasa Ramadhan menghapuskan semua dosa sebelumnya.
- Di bulan Ramadhan, semua pintu Syurga dibuka, dan semua pintu neraka ditutup.
- Doa orang yang berpuasa tidak ditolak oleh Allah SWT.
- Para Bidadari berdoa untuk mendapat para suami dikalangan orang yang berpuasa.
(3) Mengetahui keberkatan bulan Ramadhan, antaranya:
- Dapat merasai kekuatan iman bagi mereka yang berpuasa.
- Dapat merasa kekuatan jasmani walaupun tidak makan dan tidak minum sepanjang hari.
- Dapat merasa keuntungan masa (sehari beramal dalam bulan Ramadhan rasanya tidak tertampung oleh amal seminggu dalam bulan yang lain).
- Keberkatan bulan Ramadhan, kerana bulan yang telah diturunkan padanya Al-Qur’an.
(4) Mengetahui kelebihan bulan Ramadhan, antaranya:
- Di sisi Allah SWT, bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum dari bau kasturi.
- Malaikat beristighfar untuk orang yang berpuasa.
- Allah menghiasi Syurga-Nya setiap hari dalam bulan Ramadhan.
- Malam Al-Qadar yang pahala dan berkat ibadat padanya melebihi seribu bulan.
- Pengampunan Allah SWT kepada orang yang berpuasa di malam terakhir Ramadhan.
(5) Mengetahui usaha para sahabat dan para solihin terdahulu dalam melakukan ketaatan di sepanjang Ramadhan.
- Mereka mengetahui kelebihan bulan Ramadhan dan berusaha dengan penuh daya menghidupkan malam-malamnya dengan melaksanakan solat sunat tarawih, solat sunat witir, dan membaca serta bertadarus Al-Qur’an.
- Rasulullah SAW bersama para sahabat berpuasa dan berperang dalam bulan Ramadhan, iaitu Perang Badar dan Perang Pembukaan Makkah.
- Para sahabat seperti Hamzah Abd Mutalib, Abdullah bin Abi ‘Atik serta Khalid Al Walid mengetuai peperangan dizaman Rasulullah SAW.
(6) Mengetahui Ramadhan merupakan bulan menguji kesabaran.
Dalam menjalani ibadah puasa, kita dikehendaki menahan diri daripada makan, minum, serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Ini bermakna kita diuji dengan tahap kesabaran supaya dapat menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang kebiasaanya kita lakukan. Sangat beruntunglah mereka yang berjaya dalam ujian itu.
Itulah Ramadhan, bulan yang menjanjikan kelebihan dan keberkatan, bulan yang menjanjikan pahala yang berlipatganda, bulan yang menjanjikan keampunan perbuatan dosa dan kesalahan sebelumnya. Itulah madrasah Ramadan yang akan membukan pintunya. Institusi pendidikan Rabbani yang menjanjikan kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Setiap muslim yang mukallaf diwajibkan memasukinya. Setiap orang yang telah terdidik di madrasah Ramadan ini terjamin kehidupan di dunia dan akhirat.
Graduan-graduan yang lulus dari madrasah Ramadhan akan menjadi:
(a) Insan yang bertaqwa, kemuncak iman seorang hamba kepada penciptanya,pemangkin diri yang menujahnya kearah mencintai kebaikan dan menjauhkan diri dari kejahatan.
(b) Insan yang penyabar, insan yang sudah teruji daya ketahanan dirinya, tidak akan mudah terdorong oleh pujukan syaitan, tidak akan mudah terdorong oleh nafsu serakahnya.
(c) Insan yang punya semangat jihad yang tinggi, mampu menerima tanggungjawab dan amanah membangunkan agama dan ummat.
(d) Insan yang insaf, terpanggil dengan kesusahan orang lain, merasa prihatin dengan jeritan fakir miskin lantas tangan kanannya menghulurkan bantuan tanpa disedari oleh tangan kirinya.
(e) Insan yang bersih hatinya dari melintasi fantasi durjana. Bersih anggotanya dari kerja-kerja berdosa dan sia-sia. Tunduk matanya dari memandang perkara-perkara haram yang terlarang. Kelu lidahnya dari menutur perkataan buruk dan terkutuk. Tuli telinganya dari mendengar siulan dan dendangan irama neraka. Kaku kakinya dari melangkah ke dunia durjana dan pendek tangannya dari meraih perkara yang bukan haknya.
Jadi, gunakanlah segala kesempatan di sepanjang Ramadhan ini untuk membina jati diri, keazaman yang murni dan ketaqwaan yang hakiki. Semoga Ramadhan tahun ini memberikan kita sejuta erti dalam mencari keredhaan Allah SWT, meluruskan jalan ke taman Syurga yang abadi, memperkasakan lagi sifat kehambaan kita kepada Ilahi. Wallah wa’lam
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK