Lompat ke isi kandungan

Bukit Peninjau di Relong

September 17, 2020

Pembukaan: Pantuan

Gua Bama nampak berbalam

Bukit Peninjau serawan jala

Macam mana hati tak sayang

Melihat adik menjeling manja.

Bukit Peninjau merupakan titik tertinggi di Kampung Relong, yang merupakan satu banjaran yang menjadi sempadan antara Kampung Relong dan Kampung Gua, juga sempadan Mukim antara Mukim Telang dan Mukim Gua.

Seperti yang kita lihat sepanjang perjalanan mendaki tadi kita bertemu dengan kebun sawit dan juga getah. Dua-dua komoditi ini merupakan sumber ekonomi penduduk kampung kita. Sudah pasti di celah-celah sawit dan getah itu ditanam juga dengan pokok buah buahan seperti durian dll.

Sebelum Merdeka (1957), bukit Peninjau merupakan laluan utama bagi penduduk Relong untuk keluar ke tempat lain. Laluan yang dimaksudkan ialah dari Ulu Relong (dekat kubur) mendaki Bukit Peninjau dan turun ke Kg Belukar seterusnya ke Sungai Damar, Kg Gua dan ke Pekan Sahari Padang Tengku. Saya pernah menggunakan laluan ini ketika balik dari Kg Keledek. Menaiki keretapi di Bukit Betong ke Padang Tengku, singgah di Pekan Sahari Padang Tengku, berjalan kaki ke Kg Gua seterusnya ke Sungai Damar dan Kg Belukar dan mendaki Bukit Peninjau untuk turun ke Ulu Relong.

Satu lagi jalan keluar ialah melalui Bukit Batu Pengali di Kuala Sungai Teris, mengambil boat atau perahu menghilir sungai Telang ke Sungai Jelai. Di Sungai Jelai kalau mudik boleh ke Bukit Betong dan Kuala Medang, kalau menghilir boleh ke Padang Tengku atau Kuala Lipis. Saya pernah menggunakan laluan ini semasa pergi ke Kg Keledek untuk majlis perkahwinan kekanda saya Cikgu Mohamad Ludin Said. Kami berjalan kaki dari Ulu Relong ke Bukit Batu Pengali, menaiki boat melalui Kuala Teris, Kuala Telang menyusur mudik Sungai Jelai ke Bukit Betong dan berjalan kaki ke Kg Keledek.

Bagi penduduk Kg Bapong dan sekitar, mereka boleh menggunakan jalan Bapong Berembang ke kg Balik Gua. Oleh itu bolehlah dikatakan bukit peninjau menjadi laluan utama bagi penduduk Kg Relong untuk membawa hasil pertanian ke pekan sahari Padang Tengku.

Sejarah laluan ini.

Sebelum merdeka ada sekali Almarhum Sultan Abu Bakar datang melawat kampung Relong dan baginda berjalan kaki mengikuti laluan dari Padang Tengku ke Kg Gua, ke Sungai Damar, Kg Belukar dan mendaki Bukit Peninjau dan turun ke Ulu Relong seterusnya ke Kg Relong.

Semasa komunis mengganas di kawasan ini, seorang bapa saudara saya iaitu adik kepada emak saya (Akob bin Hj Chu) telah dibunuh oleh pengganas komunis di laluan bukit peninjau ini. Ingat komunis sentiasa cuba untuk mengambil Tanah Melayu ini dengan kekerasan dan diwaktu mereka kalah komunis berusaha mendapat Tanah Melayu ini secara penerokaan haram.

Laluan ini tidak diguna lagi apabila terbina jalan dari Cheneras ke Relong seterusnya ke Padang Tengku. Jalan dibina oleh RIDA (Rural and Industrial Development Authority) selepas merdeka. Laluan Cheneras, Relong, Padang Tengku adalah laluan track sahaja. Hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda yang ketika itu dari jenama Land Rover. Jalan ini dirintis oleh sekumpulan anak muda yang di ketuai oleh Chu Daud bin Mat Amin.

Tahun 1961 laluan kedua pula di buat dengan membesarkan laluan pertama dan boleh dilalui oleh kenderaan biasa merupakan jalan tanah merah yang tidak bertar. Telah ada pengangkutan bas penumpang, maka perhubungan antara Relong dengan luar menjadi mudah.

Berbalik kepada pembayang maksud pantun tadi.

Gua Bama nampak berbalam

Bukit Peninjau serawan jala

Menunjukkan bahawa Bukit Peninjau lebih tinggi daripada Gua Bama. Bait pembayang pantun ini kononnya menggambarkan keadaan tanah Relong dan sekitarnya mengalami banjir besar. Ketika Gua Bama sudah tenggelam (nampak berbalam) Bukit Peninjau masih lagi timbul seluas serawan jala kalau di tebar. Ini merupakan pandangan orang tua dulu-dulu.

Saya cuba cari maklumat dari Google berkait dengan Bukit Peninjau, tiada maklumat diperolehi. Oleh itu sekiranya terdapat anak muda yang ingin membuat sumbangan bakti pengetahuan bolehlah menulis berkaitan bukit peninjau dengan memberi maklumat dari segi ketinggian, keluasan, titik rujukan dan lain-lain maklumat yang betul dari segi geografi.

Anak-anak muda semua perlu menginsafi bahawa leluhur (datuk nenek) kita yang membuka Kg Relong ini (tahun 1790 – tahun kedatangan Tok Linggi) atau sebelum dari tarikh itu telah berusaha dengan kudrat tulang empat kerat menggunakan kapak dan beliong untuk meneroka tanah di sekitar Kg Relong terutama di Bukit Peninjau ini. Semasa membuka hutan belentara ini sudah tentu mereka berhadapan dengan serangan binatang buas terutama harimau dll. Mungkin ada diantara anda yang punya cerita pengalaman datuk nenek yang menghadapi masalah ini. Apakah mungkin tanah yang ada ini nantinya tidak diteruskan pengurusannya. Jangan biarkan tanah lereng Bukit Peninjau ini menjadi semak dan kembali menjadi belantara.

Saya kongsikan satu cerita tentang beraninya orang Relong menghadapi harimau. Cerita ini saya perolehi dari Aruah ayah saya. Seorang yang mengusaha tanah di lereng Bukit Peninjau menanam jagung. Dia merebus jagungnya di cerang. Setelah jagungnya masak dia memasukkan jagung itu dalam gendung yang diikat pada pinggangnya. Dalam perjalanan pulang dia diterkam oleh seekor harimau. Harimau itu menekan peladang ini pada pokok berduri (seperti cucuh, pedor, salak dan rotan) atau pada reba. Setiap kali harimau itu membuat henyakan peladang itu akan meninggalkan setongkol jagung di tempat itu. Harimau itu akhirnya keletihan dan berhenti menghenyak peladang berkenaan.

Kini tiba giliran peladang itu pula merangkum kaki dan tangan harimau itu dan mengangkut harimau mengikuti laluan tadi. Apabila peladang itu nampak tongkol jagung dalam reba atau duri pedor, cucuh, salak atau rotan, peladang itu akan menghenyak harimau itu. Akhirnya harimau itu mengalah dan lari. Sudah pasti peladang itu mempunyai ilmu berkaitan harimau. Bagaimana dengan kita kalau bertemu harimau di dalam hutan.

Ada beberapa tempat di sebelah lembah bukit ini ditemui emas, seperti di ulu sawa dan lain-lain tempat. Mungkin boleh dibuat kajian tentang emas ini. Sebab kawasan lereng sebelah Kg Gua, Garok dan Berembang memang ada emas, takkanlah lereng sebelah Relong tidak ada emas. (kepada yang pandai mendulang, cuba buat eksperimen dengan mengambil tanah yang disodok oleh jentera yang membina CSR nanti dan ayak serta lenggang tanah itu, mungkin ada emas)

Sedikit masa lagi bukit peninjau ini akan di belah untuk membuat laluan CSR atau Lebuhraya Tulang Belakang. Tanah Bukit Peninjau di sepanjang CSR akan naik harganya. Orang kampung jangan terpedaya dengan tawaran yang tinggi kelak kita akan kehilangan tempat bertapak. Akhirnya kalau tidak berhati-hati, tanah air menjidi milik orang.

Kita ada dua pilihan;

  1. Membangunkan kawasan ini sebagai tempat rekrasi dan pelancungan bersama dengan Gua Bama
  2. Membangunan bidang agro pelancungan dengan menanam pokok buah buahan yang nantinya mudah memasarkan menggunakan infrastruktur CSR yang dikatakan akan membina RnR di Kg Relong.

Terima kasih kepada semua yg sudi mendengar Terima kasih semua yang menjayakan program eksplorasi ini.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: