Lompat ke isi kandungan

Sorotan Tentang Kampung Al Quran

Disember 27, 2014

Berikut adalah beberapa pendapat tentang Kampung Al Quran. Pendapat ini dipetik daripada tulisan yang dikumpul semasa idea Kampung Al Quran dikemukakan kepada mereka.

Bagi mereka Kampung Al Quran adalah sebuah kampung di mana;
1. Seluruh penduduknya boleh membaca Al Quran dengan betul dari segi makhraj huruf dan hukum tajwidnya.
2. Setiap keluarga berusaha untuk mempastikan ahli keluarganya boleh membaca dan memahami Al Quran. Oleh itu tiada sesiapa di dalam kampung ini yang buta Al Quran.
3. Penduduk kampung umumnya boleh memahami isi kandungan Al Quran dan selalu dibaca didalam solat fardhu. [Oleh kerana Bahasa Arab bukan bahasa pertuturan kita seharian maka untuk memahami kandungan Al Quran, setiap rumah perlu mempunyai sekurang-kurangnya terjemahan Al Quran]
4. Program pengisian ilmu berkaitan Al Quran sentiasa dijalankan dan disertai oleh sebahagian besar penduduk kampung ini dan mereka menjadikan Al Quran sebagai sumber rujukan untuk menjalani kehidupan mereka.
5. Daripada aktiviti pengisian ilmu itu lahirlah masyarakat yang berakhlak dengan akhlak Al Quran. Gaya hidup penduduk kampung selari dengan apa yang saran atau diajar oleh Al Quran.

Mengikut pendapat yang dicatit di atas boleh disimpulkan bahawa Kampung Al Quran adalah sebuah kampung di mana seluruh penduduknya pandai membaca Al Quran dengan betul, memahami kandungan Al Quran serta mengamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Al Quran yang difahami dijadikan rujukan dalam setiap langkah kehidupan di dunia sehingga mertabat mereka diangkat oleh Allah SWT.

Daripada Omar Bin Al Khattab r.a., Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran”. (Hadis Riwayat Muslim)

Mengambil pengajaran daripada hadis ini, kita mengharapkan agar seluruh penduduk kampung ini diangkat martabatnya disisi Allah SWT akibat daripada mempelajari, memahami, mengajarkan dan mengamalkan ajaran Al Quran. Sekiranya ada yang enggan mempelajari Al Quran ditakuti nanti Allah SWT akan merendahkan martabatnya di sisi Allah SWT.

Semoga dengan semaraknya aktiviti belajar dan mengajar Al Quran, ramai penduduknya yang mampu menjadi Qari, ada pula yang menjadi penghafaz Al Quran (Hafiz dan Hafizah) dan terdapat dikalangan penduduk kampung yang mampu menjadi mufassir, maka hasrat dan cita-cita menjadikan kampung ini kampung Al Quran akan terzahir dan menjadi realiti.

Perlu diingatkan bahawa untuk membina masyarakat kampung ini menjadi masyarakat yang membaca, memahami dan menghayati Al Quran bukanlah semudah saya menulis makalah ini. Ada pepatah Cina menyebut bahawa “Andai inginkan kebahagiaan setahun, semailah benih; andai ingin kebahagiaan sepuluh tahun, tanamlah pokok; dan andai inginkan kebahagiaan seratus tahun didiklah manusia.”

Kita ingin mengwujudkan kebahagiaan yang berpanjangan di kalangan penduduk kampung ini. Oleh itu kita perlu mendidik anak-anak kampung kita agar apabila mereka dewasa nanti mereka menjadi manusia yang tergolong dikalangan insan yang menjadi Qari, Hafiz atau Mufassir. Ketika itu sesiapa yang ingin belajar perkara yang berkait dengan Al Quran boleh datang ke kampung kita dengan memilih mana-mana rumah. Setiap rumah di kampung ini mempunyai insan-insan yang mahir dalam apa-apa bidang yang berkait dengan Al Quran.

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: “Sesiapa membaca al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Mengambil pengajaran dari hadis ini, ibubapa masa ini perlulah berusaha memujuk dan memupuk anak-anak mereka agar mahu belajar Al Quran. Setelah belajar perlu pula beramal dengan apa yang terkandung dalam Al Quran. Sekiranya ini berlaku bukan sahaja si anak akan mendapat manfaat tetapi lebih-lebih lagi ibubapanya akan beroleh keuntungan pada hari kiamat nanti.

Perlu diingat apabila kiamat berlaku, matahari sudah musnah, tiada cahaya yang menerangi persekitaran kita ketika itu. Oleh hal demikian ibubapa yang dipakai mahkota akibat anaknya mengamalkan Al Quran akan mempunyai penyuluh ketika orang lain berada dalam gelap gelita. Wahai saudara sekelian marilah kita membuat persediaan bermula hari ini dengan menggalakkan anak-anak belajar Al Quran, membaca Al Quran serta mengamalkan ajaran Al Quran.

Allah SWT juga memberi jaminan ganjaran kepada ahli keluarga bagi Hafiz al Quran sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan bahawa ibu bapa bagi penghafaz Al Quran akan dimuliakan di akhirat termasuk sepuluh orang ahli keluarga yang turut menumpang syafaat memasuki syurga.

Sabda Rasulullah lagi, maksudnya : “Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah SWT memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Semoga kita semua mendapat pengajaran dan kelebihan dalam menjadikan tempat tinggal kita, kampung kita sebagai Kampung Al Quran. Wallah wa’lam.

Kampung Al Quran

Disember 26, 2014

KAMPUNG AL QURAN
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi (s.a.w.)” (Hadis Riwayat Imam Malik).
Hadis ini mengandungi:
(1) Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w. yang kekal abadi.
(2) Kitab Allah dan sunnah Nabi s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia.

Pertama: Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w.:
Baginda s.a.w. tidak meninggalkan harta benda yang menjadi pusaka kepada waris-warisnya. Sebagai seorang Rasul, Baginda s.a.w. diberi mukjizat-mukjizat yang membuktikan kerasulannya dan mukjizat-mukjizat itu habis apabila berlalu masanya, tidak dapat disaksikan oleh orang-orang kemudian, kecuali satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat, yang lebih berguna dari harta benda, bukan sahaja untuk waris-warisnya bahkan untuk umat manusia seluruhnya dalam segala tempat dan segala zaman. Peninggalannya itu ialah “Kitab Allah Al Qur’an” yang diwahyukan kepada Baginda dan “Sunnah”nya yang meliputi, perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya) yang dirakam sebagai Hadis.

Kedua: Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia:
Jaminan keselamatan yang diberi melalui “Kitab Allah” dan “Sunnah RasulNya” itu ialah dengan jalan tiap-tiap seorang mengamalkan sendiri segala ajaran keduanya, iaitu menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya; bukan dengan jalan menyimpan keduanya di rumah untuk diambil berkat sahaja, bukan dengan jalan dibaca dengan tujuan yang lain daripada mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla dan bukan pula dengan cara menumpang amalan orang lain, walau pun di antara anak dengan ayah, atau di antara isteri dengan suami; tidaklah seperti keadaan keselamatan dalam alam nyata ini, yang biasanya seseorang yang lebih kuasanya boleh memberi perlindungan selamat kepada orang lain yang ia kehendaki. Usaha untuk mencapai keselamatan yang sejati ialah berpegang teguh kepada ajaran-ajaran kitab Allah dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w.

Menyedari hakikat bahawa kita berkehendak agar kita berbahagia dan berjaya di dunia dan di akhirat, maka kita perlulah mendampingkan diri kita dengan Al Quran serta mengambil teladan dari kehidupan Rasulullah s.a.w.
Mendamping diri dengan Al Quran serta Sunnah Rasulullah s.a.w. tidak boleh dibuat secara bersendirian, tetapi perlu diusaha bersama-sama dalam satu komuniti kampung. Bagaimanakah kita hendak mendampingkan diri kita dengan Al Quran serta Sunnah Rasulullah s.a.w.?

Bagi memudahkan usaha mendampingkan diri dengan Al Quran dan Sunnah Nabi kita perlu mempelajari, memahami serta menghayati ajaran dari al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Kalau kita teliti hadis Rasulullah s.a.w. kita akan bertemu dengan hadis yang bermaksud seperti berikut:.

Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu langkah permulaan untuk mendampingkan diri kita dengan Al Quran dan Sunnah Nabi ialah dengan mempelajari Al Quran jika kita tidak pandai dan mengajar Al Quran kepada orang lain sekiranya kita pandai. Agar dengan itu kita menjadi manusia yang baik di sisi Allah SWT.

Belajar seorang-seorang biasanya akan cepat bosan, kerana itu kita perlu belajar secara berjemaah yang melibatkan semua ahli komuniti, melibatkan seluruh warga kampung, sehingga seluruh kampung bersama-sama belajar Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Sehingga setiap rumah dikunjungi oleh malaikat.

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air.” Seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat tersebut?” Jawab Nabi s.a.w., ”Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran. Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.”

Apabila semua kita sudah pandai membaca Al Quran dan Hadis Nabi kita berusaha memahami apa yang dipelajari dan mengamalkannya, ketika itu Allah SWT akan menurunkan sakinah dan rahmat Nya kepada seluruh penduduk kampung yang dibarkati Nya.

Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata: “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut.” Maka Baginda SAW bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Untuk mencapai keadaan ini kita perlu berusaha menjadikan kampung kini sebuah kampung yang penduduknya sentiasa berusaha mempelajari, memahami dan menghayati Al Quran dan Sunnah Nabi yang kita panggil KAMPUNG AL QURAN.

Lagenda Gua Bama, Relong

Disember 15, 2014

1.O PENGENALAN
Bagi masyarakat tempatan (Penduduk Kampung Relong dan sekitarnya) Gua Bama (biasa juga disebut Gua Relong) tidak perlu dibuat pengenalan pengenalan lagi, malah beritanya tersebar melampaui perbatasan daerah dan negara. Namun demikian sedikit sahaja yang mengetahui cerita-cerita tertentu tentang gua ini, khususnya mengenai asal usulnya. Lantaran itu, disamping memberi sedikit gambaran gua ini kepada mereka yang ingin mengetahuinya, kami sertakan juga cerita lagenda mengenainya sekadar penyambung tradisi warisan belaka.

2.0 KEDUDUKAN
Terletak di sebelah timur Kampung Relong di atas kawasan kira-kira 20 ekar. Tingginya dianggarkan 800 kaki dari aras laut. Kalau memandu kereta dari Lipis ke Padang Tengku, bukit batu kapur ini dapat dilihat di sebelah kanan Jalan Persekutuan nombor 8. Terdapat dua bukit satu kecil (Jantan) dan satu lagi besar (Betina)

3.0 LAGENDA
Orang-orang dahulu (Jaman Rentu) mempunyai cerita (versi) tersendiri mengenai “kejadian” gua ini. Menurut ceritanya asal gua ini adalah dari dua buah “bangunan” (rumah?) [Kini dikenali dengan Gua Jantan – kecil dan Gua Betina – besar]. Satu ketika berlangsung majlis perkahwinan yang cukup istiadatnya di dua buah rumah itu. Ketika itu lalu suatu makhluk yang dikenali sebagai Sang Kelembai (setengah tempat mengelarnya Sang Gedembai) dan ditegurnya majlis itu, lalu rumah-rumah itu menjadi batu. Bukti adanya majlis perkahwinan itu dapat dilihat didalam gua dimana batu-batu yang menyerupai orang bersanding, gong, katil, dan bantal boleh dijumpai.

Batu yang ditegur oleh Sang Kelembai itu membesar seperti yang kita dapati sekarang. Lama kemudian gua ini didiami oleh sekumpulan manusia kira-kira 200 – 300 orang diketuai oleh Malik (dipercayai dari Indonesia). Kemudian mereka didatangi oleh peniaga Cina bernama Serajut Gigi bersama keraninya Ramalingam. Persitiwa berikutnya ialah bah besar. Diibaratkan gua itu tenggelam hanya nampak berbalam-balam (riang-riang) dan tempat yang berhampiran yang masih belum tengelam ialah Bukit Peninjau. Tempat yang belum tenggelam ialah sebesar serawan jala. Kesanalah mereka pindah. Dari lagenda itu timbullah pantun berikut:

Gua Bama nampak berbalam
Bukit Peninjau serawan jala
Macam mana hati tak goyang
Melihat adik menjeling manja

Bila banjir surut mereka yang menghuni Gua Bama kembali semula ke gua. Tidak lama kemudian sekumpulan penyamun / perompak yang diketuai oleh Haraman datang menyerang masyarakat yang mendiami Gua Bama ini dan tercetuslah peperangan. Lenyaplah kumpulan pertama penghuni Gua Bama. Generasi yang disurahkan di atas diganti pula oleh sepasang suami isteri Meradan (Medan) Salleh dan Mak Inang beserta empat orang puteri dan dibantu oleh Pendekar Yaman (penglima). Mereka mendiami kawasan sekitar gua. Dipercayai keturunan dari merekalah yang telah berkahwin dengan Tok Linggi (Pembuka Perkampungan Relong) dan pengikutnya sekitar tahun 1780’an.

Kehadiran Tok Linggi ini mempunyai bukti sejarahnya tersendiri dan bukan satu lagenda kerana masih terdapat makam Tok Linggi berhampiran Kuala Relong atau Bawah Binjai dan juga terdapatnya ‘terembe’ yang menunjukkan salsilah keturunan Tok Linggi hingga ke hari ini. Malah majoriti yang mendiami Kampung Relong dan sekitarnya adalah dari keturunan Tok Linggi ini.

Nama Bama ini berkait rapat dengan seekor harimau penjaga kawasan Relong dan sekitarnya yang bernama Bujang Bama. Pawang pertama yang memeliharanya ialah Pawang Tamat. Harimau ini bergilir-gilir dijaga oleh Pawang-pawang sehinggalah Bujang Bama mati di Nenggiri, Kelantan. Tempat Bujang Bama ini diambil alih oleh oleh Bujang Hitam dan Tok Keghuh (masih ada sehingga kini). Tetapi sebelum Bujang Bama penjaga gua ini dikatakan seekor beruk besar. Dia bertugas menjaga Gua Bama dan sekitarnya.

4.0 KEISTIMEWAAN DAN TEMPAT DIANGGAP MENARIK
Di puncak bukit batu kapur (Gua Bama) ini anda boleh mendapat pemandangan menyeluruh kawasan sekitarnya iaitu Kampung Relong, Bapong, Berchang dan Berang. Sekiranya bernasib baik atau anda seorang yang ‘istimewa’ anda boleh ketemu dengan padang rumput dan kolam mandi (tempat puteri bersiram). Anda juga boleh menjelajah dan bertemu dengan sesuatu yang menarik.

Di bawah, pertamanya, berhampiran di kaki tangga besi antara dua bukit batu kapur, terdapat satu lubang kecil (di gua Jantan) yang hanya boleh dimasuki oleh seorang yang sederhana saiz badannya. Lubang itu adalah bukaan kepada satu gua yang di dalamnya terdapat tempat orang bertapa. (Gua ini dinamakan Gua Bertapa) Manakala di belakang bukit batu kapur ini terdapat satu lubang gua yang besar yang diberi nama Gua Bama. Di sebelah kanan pintu gua terdapat tempat pembaringan Bujang Bama. Di sebelah dalamnya pula terdapat batu seperti orang bersanding, gong, katil dan susunan bantal, tetapi untuk sampai ke situ perlu membawa lampu suluh kerana keadaanya gelap. Di sebelah kiri pintu gua terdapat struktur seperti seekor gajah dan di dasar gua kita boleh bertemu dengan struktur seperti kura-kura. Oleh kerana itu lubang gua ini juga diberi nama lapang muzium. Mungkin masih ada lagi perkara yang belum dijumpai dan diketahui. Selain dari dua nama gua yang dinyatakan di atas (Gua Bertapa dan Gua Bama) terdapat beberapa gua yang lain iaitu, Gua Kepayang, Gua Gelap, Gua Belimbing dan Gua Mengesot.

5.0 BAGAIMANA KE SANA
Jika anda dari Kuala Lipis, kira-kira di Bukit Bapong anda boleh melihat bukit batu kapur itu di sebelah kanan dan bila sampai ke Km 289 KB anda boleh membelok ke kanan memasuki jalan kecil terus ke kaki Gua Bama. Papan tanda di tepi jalan memudahkan pengunjung.

Perjalanan ke puncak mungkin mengambil masa sekitar 20 – 30 minit. Perjalanan dipermudahkan dengan adanya tangga simen sehingga ketangga besi antara dua bukit batu kapur (Gua Jantan [kecil] dan Gua Betina [besar]. Selepas tangga besi anda ada dua pilihan sama ada menaiki tangga dan terus ke puncak bukit batu kapur atau turun ke belakang bukit untuk pergi ke Gua Muzium. Satu struktur batu tergantung pada bukit batu kapur yang kecil menjadi tanda mengapa bukit batu kapur itu dinamakan Gua Jantan. Manakala banyak lubang yang terdapat pada bukit batu kapur yang besar menjadi tanda mengapa dinamakan Gua Betina.

6.0 MASA DEPAN GUA INI
Kita percaya dan menyokong untuk gua ini dikekalkan sebagai sumber keindahan alam yang apabila dirosakkan tidak boleh lagi diganti. Selama 10 tahun yang lalu (tahun 60’an) sebahagian kecil gua ini telah cacat kerana aktiviti pemacahan batu (kuari) dan kecacatan ini paling jelas dan kesannya akan berkekalan. Kita tentunya tidak mahu melihat ada lagi percubaan dibuat untuk menodai gua kesayangan kita ini. Dalam pertimbangan apa sekalipun faktor sentimental, keindahan alam sekitar, flora dan fauna janganlah dikorbankan demi kepentingan kebendaan kerana makna pembangunan juga termasuk pembangunan rasahati dan pembangunan insan seutuhnya.

Bukit batu kapur, Gua Bama ini, selain menjadi tarikan pelancungan juga boleh menjadi lokasi kajian sejarah ‘purba’ dan tapak kajian flora yang bernilai perubatan. Telah ada kajian dilakukan kepada spesies tumbuhan yang endemik hidupnya di atas batu kapur. Satu spesies, Paraboea caerulescens telah dijumpai di atas bukit batu kapur ini. Pokok herba yang unik ini menimbunkan kalsium di daunnya.

Di sekitar Gua Bama ini terdapat banyak pokok herba yang bernilai untuk tujuan perubatan. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam. Terdapat dua jenis pokok unik iaitu pokok sepang, yang air rebusan batangnya boleh dijadikan perisa dan pewarna minuman dan pokok kepayang, yang buahnya boleh dibuat cembang kepayang dan juga menghasilkan minyak kepayang.

7.0 PENGHARGAAN
Pihak penyusun merakamkan setinggi penghargaan kepada orang perseorangan yang berkerjasama bagi membolehkan kami menulis risalah ini, tanpa mereka kemungkinan besar usaha ini tidak berhasil.
“Bagi mereka yang belum pernah menaiki bukit batu kapur ini, mengapa tidak mencubanya dan beritahulah kawan anda, mungkin dia juga bercita-cita untuk menaikinya. Membaca risalah ini masih belum membuat anda mengenali gua ini. Cara mengenalinya ialah mencuba sendiri. Selamat mendaki!!

Dari Kami
Zahari Haji Uda
Abd Hamed Haji Akob
Yusof Ibrahim
Ogos 1977.

Berita dari Penjara Mesir

November 30, 2014
November 25 at 10:02am ·

Allahu Rabbi

 Alwi Muda's photo.
Alwi Muda's photo.
Alwi Muda added 2 new photos.

** TARBIYYAH PENJARA BAGI SEORANG ULAMA **

Salah seorang ulama besar di Mesir Dr Solah Sultan telah dipenjarakan di Mesir sejak rampasan kuasa oleh tentera di sana pada tahun 2013. Baru-baru ini beliau ada menulis sebuah surat berkenaan pengalaman beliau di dalam penjara:

Allah SWT telah memberi hidayah kepada ku serta aku berasa gembira dengannya hingga akhirnya aku dikurniakan nikmat-nikmat berikut disini (penjara):

1-Aku telah khatam Al-Quran lebih daripada seratus kali di dalam bacaan Solat, bacaan yang banyak mempengaruhi akal aku, memandu hari aku serta merubah tindakan aku.

2- Aku telah mendapat ijazah dalam periawayatan Hadis Bukhari, ini adalah cita-cita aku sejak sekian lama.

3- Aku telah membaca ratusan kitab berkenaan tafsir, fiqh, usul fiqh, bahasa dll yang mana bacaan tersebut kebiasaannya aku memerlukan tempoh 5 tahun untuk baca.

4- Aku telah menulis buku berkenaan manhaj alquran dan tafsir, iman dan akhlak, fiqh dan fatwa serta 50 kisah daie qudwah di seluruh dunia.

5- Aku telah mengenali perlbagai kelompok pemuda yang beriman serta teguh keazaman dan cita-citanya. Liqa bersama-sama mereka adalah syurga kedua disini setelah syurga berkhalwat bersama Allah SWT.

6- Aku telah dikurniakan mereka yang berada disekeliling aku yang aku merasakan mereka seperti adik beradik, saudara kandung aku.

7- Aku bernazar untuk berpuasa pada siang hari sepanjang aku disini kerana aku yakin doa orang yang berpuasa tidak akan ditolak serta sentiasa mustajab.

8- Aku berdoa setiap malam sebelum aku tidur supaya Allah SWT tidak mengharamkan di dalam mimpi aku apa yang dihalang untuk besi penjara ini. Lalu Allah SWT menerima doa aku ini sehingga aku bermimpi menunaikan solat di masjid, menziarahi persatuan Islam di serata dunia timur dan barat, menghadiri perbincangan syara serta ilmiah di pelusuk dunia.

9- Aku menjaga kesihatan makan minum aku serta aku melakukan riadah harian hinggakan aku yakin sebahagian rutin riadah aku tidak mampu dilakukan oleh kebanyakan mereka yang berumur 20-an.

Tidaklah penjara bagiku melainkan aku berasa ianya memberi kebaikan pada kami dan keburukan pada mereka (orang-orang zalim), mengangkat darjat kami dan terus menghina kedudukan mereka.

Penjara bagi aku telah mengurniakan dua cahaya bagiku iaitu: Cahaya kesabaran itu suatu perkara yang indah serta cahaya kesabaran itu dengan terus teguh istiqamah.

Bergembiralah wahai saudaraku, ahli keluargaku, sesungguhnya cita-cita mendahului perbuatan maka sesungguhnya kemenangan itu hampir. Demi Allah, aku tidak pernah berdoa untuk kamu siang dan malam sebanyak mana seperti yang aku doakan di dalam penjara ini, aku merasakan tempoh bilangan doa sebegini adalah seperti 10 tahun jika aku di luar sana. Lalu janganlah kamu lupa doa untuk kami yang dizalimi disini.

16 November 2014
Syiekh Dr Solahuddin Sultan

Bertatih Dijalan Dakwah 10

November 4, 2014

Disamping melaksanakan dakwah dikalangan anak-anak murid, aku tidak lupa peranan aku di Kampong Relong. Ketika aku kembali ke Kampong Relong, pihak Masjid Relong telah mengadakan ceramah ringkas seusai solat Jumaat setiap minggu. Antara penceramahnya ialah Imam (Ustaz Muhammad Mandsak), Ustaz Sirajuddin Haji Uda, Ustaz Mohd Yatim Said, Ustaz Tajuddin Mat, ayah aku (Ibrahim bin Bilal Ishak) dan lain-lain lagi, Kemudian Ustaz-ustaz ini berpindah atau tinggal berjauhan dari Relong.

Pada bulan April 1978, ayah aku meninggal dunia. Oleh kerana penceramah yang hendak digilirkan tak ramai maka ada cadangan untuk meminta aku menggantikan giliran aruah ayah aku. Aku menyanggupinya. Oleh itu aku diberi peluang berceramah selepas solat Jumaat semenjak tahun 1978 sehingga aku meninggalkan kampung tahun 1983 untuk menyambung pengajian ku di UPM. Sekembalinya aku semula ke kampung tahun 1986 aku menyambung kembali ceramah ku sehingga 1992, apabila aku ditukarkan ke Bentong. Apabila kau kembali tahun 1994 aku sambung kembali tugas berceramah sehingga akhir tahun 1999. Ceramah seusai solat Jumaat diberhentikan akibat tekanan politik ketika itu.

Aku juga menjadi penganjur kursus dakwah di Masjid Relong sekitar 1979 dengan menjemput penceramah seperti En Fadlulah Clive Wilmot (Ayah Wardina) juga Ustaz Abd Wahab Haji Zakaria (Al marhum), pensyarah UTM Kuala Lumpur. Kursus Dakwah itu difokusksn kepada remaja. Aku sering juga menganjur kursus-kursus kepada remaja anak kampung Relong sehingga tahun 2009. Walau pun begitu, malang bagi aku kerana dua perkara. Pertama tiada anak muda yang menyambung usaha aku untuk menganjurkan kursus dakwah bagi anak remaja. Kalau ada pun sekadar bersandar kepada Biro Tata Negara atau badan belia. Kedua anak-anak sudah tidak ramai ingin mengikut kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Walau pun aku tidak lagi berceramah seusai Solat Jumaat, tetapi aku juga diberi peluang menjadi pengacara majlis di Masjid Relong. Bermula tahun 2008 apabila Masjid mengeluarkan Buletin Masjid yang bernama “Suara Masjid Relong” aku adalah antara penulis buletin tersebut. Bermula tahun 2009 aku ditugaskan menjadi penerbit buletin Masjid itu. Pada mulanya aku menulis seorang diri sahaja, tetapi bermula 2010 aku mengajak dua anak muda (Ustaz Zulquarnain dan Ustaz Nasran) menjadi penulis dan kemudian tahun 2012 aku menambah seorang lagi penulis iaitu Sdra Abd Hamed Akob. Bermula tahun 2009 sehingga 2014 (kini) kami menulis untuk buletin Masjid setiap minggu. Itulah sumbangan kami kepada perkembangan ilmu pengetahuan di Kampung Relong.

Menyoroti pengalaman dipermulaan usaha dakwah di Kampong Relong, aku dapati tidak banyak penentangan dari orang-orang besar kampung. Memang ada sanggahan daripada orang-orang terentu tetapi ramai penentang dakwah ini mati akal apabila kita berhujah menggunakan Hadis dan ayat AlQuran.

Bertatih Dijalan Dakwah 9

Oktober 23, 2014

Pada 1 Jun 1977, bersama-sama Zahari Haji Uda, aku pergi melapor diri di SMK Padang Tengku, sebagai guru. Aku melapor awal dari tarikh yang disebut dalam surat (6 Jun 1977) kerana Guru Besar (Pengetua) meminta aku datang segera. Kerana SMK Padang Tengku perlukan seorang guru Sains bagi membantu murid-murid menghadapi SPM tahun 1978. Pada masa itu SMK Padang Tengku sedang membina sebuah Surau yang agak besar dan hanya dua buah sekolah di Pahang yang berusaha membuat surau besar iaitu SMK Padang Tengku dan SMK Mengkarak.

Adanya Surau Besar yang boleh menampung seluruh murid asrama menunjukkan bahawa pengurus sekolah serious dalam usaha dakwah kepada murid-muridnya. Ia jua menuntut komitmen daripada para guru untuk membantu usaha dakwah ini. Tak kiralah sama ada dia guru Pendidikan Islam atau guru biasa. Aku sendiri sudah bersedia untuk membantu GB dalam hal ini dengan pengalaman yang diceduk di kampus UPM Serdang dahulu. Bangunan surau dah ada tetapi pengisiannya bagaimana?

Apabila surau siap dan boleh diguna, aku ke sekolah sebelum subuh. Aku menaiki motosikal dari rumah aku di Kampung Berang ke sekolah sejauh (7 km). Setiap pagi, kalau tiada Imam surau atau Ustaz aku bertindak jadi Imam solat dan biasanya aku akan memberi tazkirah pendek (15 minit) untuk bekalan rohani para penghuni asrama. Tajuk-tajuk yang aku gunakan aku ambil dari dua buah buku yang bernah aku gunakan di kampus UPM dahulu, iaitu kitab Tanbihul Ghafilin dan Riadus Solehin. Inilah usaha pertama aku melebarkan pelaksanaan dakwah ditempat kerja.

Bagi menambah ilmu berkaitan al Quran khususnya bidang tajwid, aku bersama-sama Zahari Uda, belajar di Surau Bukit Berangan berguru kepada Ustaz Muhammad Mandak. Kehadiran aku dan Zahari menjadi bahan contoh kepada pemuda Kampung Relong ketika itu. Pernah Ustaz Muhammad menyebut kepada anak-anak muda Relong ketika itu agar mencontohi kami. Katanya “Kalau dua orang ini yang dah lulus Universiti, masih mahu belajar agama bagaimana kamu yang tak ada apa-apa kelulusan, apakah kamu tak nak belajar agama.” Ini namanya bertatih dalam dakwah lisan nul hal (perbuatan)

Di Surau Bukit Berangan, aku dan Zahari bukan sekadar belajar tajwid / al Quran tetapi kami belajar juga berdikir Maulud. Kehadiran kami di surau itu mengundang beberapa orang lain untuk turut serta belajar tajwid dan berdikir Maulud. Antaranya Cikgu Musa Hassan, Ustaz Mohd Noor Nong, Abang Mat dan lain-lain.

Tuan Guru Besar (Pengetua) mengajak aku dan Zahari berbincang tentang bagaimana nak galakkan pelajar perempuan menutup aurat, sekurang-kurangnya diwaktu persekolahan. Akhirnya aku diminta membuat penerangan kepada murid perempuan berkaitan kewajipan menutup aurat berdasarkan pendapat Mazahab Syafie. Kami berkonsi usaha mencari dana untuk membeli mini telekung. Setiap bulan kami menginfak RM50.00 seorang untuk membeli mini telekung yang akan diberikan kepada pelajar perempuan yang hendak memakainya diwaktu sekolah. Bagi murid Sekolah Menengah Padang Tengku cukup sekadar mereka memakai mini telekung dan seragam sekolah (Kain, Baju Kurung dan Stokin), mereka sudah menutup aurat. Oleh itu kempen memakai mini telekung di sekolah sudah menyamai kempen menutup aurat.

Bagi menyemarakkan lagi perjalanan dan kefahaman tentang Islam, Tuan GB bersama-sama dua orang pembantu makmal (Osman Nong Chik – Zul dan Mat Sains) dan beberapa orang pelajar lelaki telah dibawa ke Sungai Pencala (Arqam) untuk mendalami beberapa kefahaman dakwah. Sekembalinya mereka dari situ, perkembangan dakwah di SMKPT agak meriah. Aku pula ditugaskan untuk mengajar beberapa nasyid. Oleh kerana aku tidak mahir dalam bidang ini, aku meminta adik perempuan ku (seorang Ustazah) melatih anak-anak murid ku dalam bidang ini.

Selain itu, aku juga diminta menyusun latihan untuk penghuni asrama lelaki agar boleh melaungkan azan dengan betul. Aku tak ada ilmu dan kemahiran dalam bidang itu. Oleh itu aku meminta Ustaz Mohd Nor Nong, yang mengajar al Quran dan Fardhu Ain di asrama mengajar azan itu.  Nampaknya kerja aku lebih kepada mengatur dan menyusun kerja-kerja dakwah di dalam lingkunan sekolah.

Bersama-sama dengan GB dan rakan-rakan guru yang lain aku bertatih dijalan dakwah di persekitaran SMK Padang Tengku.

Bertatih Dijalan Dakwah 8

Oktober 21, 2014

Semasa saya masih belajar ditahun akhir Diploma Sains dengan Pendidikan di UPM, saya diundang oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Singapura (PMIUS) untuk memberi ceramah dalam kursus Dakwah yang mereka anjurkan. Sebelum mereka melaksanakan kursus Dakwah di Singapura, lima orang pemimpin PMIUS telah diundang untuk menghadiri Kursus Dakwah anjuran Persatuan Mahasiswa Islam UPM. Lima orang pemimpin PMIUS yang hadir  itu adalah tiga lelaki dan dua perempuan.

Daripada pengalaman mereka menghadiri kursus dakwah anjuran PMIUPM di Serdang selama seminggu dan dari interaksi waktu kursus, mereka memilih tiga orang pemimpin PMIUPM untuk memberi sumbangan dalam melaksanakan kursus Dakwah anjuran mereka. Saya diundang untuk menyampaikan dua ceramah dan juga membantu mengelola pelaksanaan kursus.

Sebelum kami dibawa ke tempat kursus, kami bermasyuarat dahulu di kampus US di Bukit Timah, Singapura. Mesyuarat itu bertujuan untuk menyelaraskan program yang dianjurkan. Apa yang memeranjatkan saya ialah ceramah seboleh-bolehnya disampaikan dalam Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, saya boleh berbahasa Inggeris tetapi banyak istilah yang berkaitan dengan Islam dalam BI saya tidak mahir menggunakannya.

Setelah selesai membuat persiapan, kami bergerak ke tempat kursus iaitu di sebuah masjid kampung di Timpanis (agaknya masjid itu sudah tiada masa kini). Ketika majlis suai kenal dijalankan saya dapati ada beberapa peserta yang tidak fasih berbahasa Melayu (Keturunan kacukan, India muslim), Ini bererti ceramah perlu disampaikan dalam BI dan campur-campur dengan BM.

Ceramah saya yang pertama berkaitan dengan kepentingan Solat dalam Islam. Penekanan kepada Rukun solat yang 13 itu. Tiada masalah dalam penyampian dan praktikal. Ada soalan berkaitan dengan pakaian ketika solat oleh peserta lelaki (saya jawab) dan soalan dari peserta perempuan dijawab oleh fasilitator perempuan yang datang bersama saya dari UPM.

Ceramah saya yang kedua adalah berkaitan dengan keistimewaan al Quran dalam memandu kehidupan manusia. Saya selalu menekankan bahawa al Quran adalah panduan yang ditanzilkan oleh Allah SWT untuk diikuti pengajarannya oleh manusia. Manakala Rasulullah SAW pula berperanan menterjemahkan al Quran kepada perlakuan dalam semua hal kehidupan manusia.

Semasa waktu soal jawab, seorang peserta perempuan, pelajar tahun tiga bidang undang-undang bertanyakan tentang peratuaran yang dinyatakan oleh al Quran berkaitan berhutang. Waktu itu saya sangat gelabah, takut tak berjumpa jawapan yang sesuai. Dalam pencarian ayat al Quran yang menjelaskan peraturan Islam berkaitan berhutang itu, saya secara tak sengaja terbuka selambaran al Quran terjemahan kepada ayat 282 Surah al Baqarah. Ayat yang terpanjang dalam al Quran (satu mukasurat – ikut Rasam Othmani). Ketika itu saya merasakan bahawa Allah SWT membantu saya menemukan ayat itu. Saya hanya perlu menyebut nombor ayat dan surah mana. Setelah peserta itu membaca terjemahan ayat itu, dia sangat berpuas hati bahawa persoalan yang berlegar dalam mindanya sudah terjawab.

Peristiwa itu membina satu keyakinan dalam diri saya, bahawa kalau kita ikhlas dalam sesuatu perkara Allah SWT, akan datang membantu kita dengan segera. Selain saya bersedia untuk berceramah berkaitan Islam dalam Bahasa Inggeris, saya juga dapat keyakinan, bahawa dalam melkasnakan dakwah kalau kita ikhlas dan yakin dengan pertolongan Allah SWT, pasti Allah akan membantu kita. Sekian TK. 

Bertatih Dijalan Dakwah 7

Oktober 8, 2014

Melaksanakan kerja-kerja dakwah di kampus pasti berbeza dengan berdakwah di kampung tempat kelahiran sendiri. Menyedari hakikat itu ada semacam perancangan dan persediaan untuk terjun ke medan dakwah di kampung-kampung. Sementelahan pula ramai nanti yang bakal bergraduat dari UPM akan berkerja di sektor pertanian dan pastinya bertembung dengan petani, pesawah, nelayan, penoreh getah dan sebagainya.

Antara aktiviti surau KK4 dalam hal ini adalah melatih beberapa amalan yang sering dibuat di kampung. Antara amalan yang dipilih selain menjadi imam solat berjemaah ialah memimpin majlis tahlil, memimpin majlis bacaan Yaa siin, berlatih bermarhaban, menghafal beberapa doa yang releven dengan apa-apa majlis keramaian. Saya tidak melepaskan peluang berlatih dalam hal ini.

Majlis Tahlil bukanlah perkara asing dikalangan masyarakat Melayu, sesorang yang ingin menjadi pemimpin perlu tahu mengemudi atau mengetuai majlis tahlil ini dari permulaan membaca al fatihah sehingga bertahlil (beratib) kemudian membacakan doa yang sesuai dengan majlis itu, sama ada doa selamat, doa arwah, doa kesyukuran dan sebagainya. Sebenarnya perkara ini tidak sukar sebabnya kita boleh memegang buku panduan tahlil dan mengikutinya selankah demi selangkah. Cuma yang perlu adalah pemimpin mesti fasih dengan tertib bacaan dan lancar dengan bacaan yang berkaitan. Pembacaan doa perlu lancar dan kuat, oleh itu suara mesti tidak serak. Untuk sampai ketahat boleh mengetuai majlis tahlil ini latihan berterusan diperlukan. Perkara yang ssma juga diperlukan bagi memimpin Majlis Membaca Yaa Sinn.

Bagi marhaban (terutama di Johor), ada rakan-rakan yang tinggal di KK4 yang pandai dan mampu mengajar cara dan bacaan Marhaban. Ini kerana mereka semenjak kecil lagi terdedah dengan budaya itu.  Merekalah yang memimpin kumpulan belajar marhaban itu yang dibuat waktu hujung minggu. Bagi aku agak sukar untuk mengikutinya tetapi aku perlu ambil tahu.

Membaca rawi perlu ada suara yang sedap dan kuat selain mesti lancar membaca Kitab Barzanji karangan Imam Jaafar al Barzanji. Perkara ini ada diajarkan oleh pelajar yang pandai dalam bidang ini di Surau KK2. Aku juga sekadar ambil tahu dan berminat juga untuk belajar kerana ada kaitan dengan Dikir Maulud di kampung aku.

Kelas tajuid juga ada dibuat di Surau KK2 oleh seorang sahabat sekelas aku yang berasal dari Terengganu. Aku ikuti kelas ini tetapi tak dapat membuat penumpuan. Aku berharap aku dapat belajar ilmu tajuid ini semasa aku sudah bekerja nanti sebab ada Ustaz di kampung aku yang mahir dalam bidang ini.

Apa yang aku pelajari dan aku alami semasa bermukim di Serdang ini adalah merupakan pembelajaran tak formal bagi diri aku tetapi ia akan membawa impak yang besar apabila aku keluar ke medan ketika bertugas sebagai seorang guru Sains. Inilah bekalan yang ku bawa pulang sebagai bahan penting dalam usaha aku bertatih dijalan Dakwah. Sekian TK

Bertatih Dijalan Dakwah 6

Oktober 4, 2014

Hari ini 9 Zulhijjah 1435 H, mengikut takwim Hijrah di Malaysia, (Saudara Muslim yang mengerjakan haji sudah berada pada 10 zulhijjah, mereka satu hari lebih awal dari kita di Malaysia) Walau pun ketika saya menulis ini orang-orang yang mengerja haji sudah melepasi mabiq di Muzdalifah dan berada di Mina, malah sebahagiannya sudah pergi melontar Jamrah Aqabah untuk melakukan tahlul awal. Mungkin sebahagiannya sudah kembali ke Mekah untuk melakukan Tawaf ifadhah dan Saie yang diikuti dengan tahlul awal dengan menggunting rambut atau bercukur.  Semoga mereka mendapt haji mabrur.

Ketika belajar di UPM sekitar tahun 70’an dahulu, aku masih ingat satu peristiwa di malam raya Aidil Adha ini, aku tak balik kampung sebaliknya menyambut kemerihan aidil adha bersama rakan di KK4. Seusai solat Isyak di surau KK4, kami keluar kejalan raya dihadapan dewan makan melaungkan takbir hari raya. Kami bergerak melintasi KK3 dan KK2 seterusnya sehingga ke jalan utama dan menlintasi KK1 dan masuk semula ke simpang menuju KK4 melintasi St Annie Chapel dan padang kawat Palapes.

Di padang kawat dekat St Annie Chapel itu satu peristiwa berlaku, dimana beberapa couple bertempiran lari apabila grombolan takbir kami menghampiri mereka. Mereka yang berdua-duaan ini pastinya orang Melayu Islam. Itulah anak Melayu Islam, mereka tak faham erti sambutan Hari Raya, yang sewajarnya membuat aktiviti memungut pahala dengan takbir, tasbih, tahmid dan doa sebaliknya mereka menambah dosa mendekati zina.

Alhamdulillah, malam itu secara tak sengaja sambil bergembira bertakbir raya, kami ahli jemaah surau KK4 melakukan satu perkara yang sangat disuruh agama itu mencegah kemungkaran. Ada beberapa peristiwa sebelum itu dimana para pegawai keselamatan universiti (Pak Guard) bertemu dengan banyak seluar dalam wanita tertinggal dicelah-celah pokok pagar di sekitar padang kawad itu. Wanita mana pula yang meninggalkan atau menjemur seluar dalam di situ. Jadi persolan itu terjawab apabila kumpulan takbir raya kami melalui tempat itu.

Aku memahami erti dakwah melalui ayat Al Quran dari surah Ali Imran ayat 104, yang bermaksud, “Dan hendaklah diantara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh (agar membuat) yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” Ayat ini antara ayat yang aku hafal bersama-sama satu hadis yang terkenal yang bermaksud, “Apabila kamu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah dicegah dengan tangan, kalau tidak mampu cegahlah dengan lisan, kalau tak mampu cegahlah dengan hati itulah selemah-lemah iman.”

Aku mahu menjadi salah seorang yang termasuk dalam golongan yang melaksanakan amar maaruf nahi mungkar, yang dijanjikan oleh Allah SWT sebagai orang yang berjaya disisiNya. Sesungguhnya laungan takbir pada malam raya itu mampu menghalau syaitan-syaitan yang sedang merasuk anak-anak muda yang sedang mabuk nafsu.

Bermula dari waktu maghrib 10 zulhijjah sehingga solat asar 13 zulhijjah adalah waktu bagi kita disunatkan melaungkan takbir raya. Berapa ramaikah anak-anak muda dan bapak-bapak tua yang sama-sama melantunkan takbir raya. Lantunan takbir itu mampu menghalau syaitan dan iblis dari merasuk anak cucu Adam terutama dimusim orang bergembira menyambut hari raya.

Berapa ramai pula yang mampu memahami erti daripada laungan takbir itu. Jadikan laungan takbir itu sebagai laungan membawa semangat. Dimana laungan takbir raya itu bermaksud: “Allah Maha Besar dengan segala kebesaran, Segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, Dan Maha Suci Allah sepanjang pagi dan petang. Tiada Tuhan selain Allah dan kami tidak menyembah selain kepada-Nya dengan memurnikan agama Islam meskipun orang kafir, munafiq dan musyrik membencinya. Tiada Tuhan selain Allah dengan ke Esaan-Nya. Dia menepati janji, menolong hamba dan memuliakan bala tentara-Nya serta melarikan musuh dengan ke Esaan-Nya. Tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar. Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah.”

Semoga laungan itu menjadikan kita bersemangat dan menginsafi bahawa kita ada Allah yang sentiasa memenagkan kita sekiranya kita patuh kepadaNya. Semoga Allah SWT memimpin aku yang bertatih dijalan Dakwah. Sekian TK

Bertatih Dijalan Dakwah 5

Oktober 1, 2014

Semasa aku masih belajar di kampus UPM (1974 – 1977), aku banyak terlibat dengan gerak kerja dakwah dalam berbagai bentuk. Dikiriman yang lalu aku cuma menyebut tugas aku sekembalinya dari kursus Dakwah. Kerja dakwah ini adalah kerja berterusan dan pelbagai bentuk.

Disinilah aku mengenal alat-alat pencetakan atau alat pendua jenama Gestatner. Aku menganggotai unit penerbitan di PMIUPM dan antara kerja aku ialah menaip makalah pada kertas stensilan dan kemudian mencetaknya menggunakan mesen pendua. Biasanya cetakan dibuat hampir lima ratus salinan, yang kemudiannya diedar ke kolej kediaman (4 kolej kediaman masa itu). Kemahiran yang aku perolehi masa itu sebenarnya sangat menolong semasa aku bertugas sebagai guru.

Aku juga pernah mengambil kesempatan untuk menyampaikan tazkirah pendek antara waktu kuliah kepada rakan-rakan sekelas tentang beberapa isu, seperti isu menutup aurat, isu solat berjemaah dan isu coupling (berdua-duaan antara teruna dara yang belum berkahwin). Walau pun tindakan aku ini ada yang menyokong tetapi ada juga yang menentang. Itu adat berdakwah, buat ajelah. Kadang-kadang aku buat person to person approach semasa ada peluang. Akibatnya ada beberapa rakan siswi yang agak ranggi meminta aku membuat sekongan terhadap permohonan mereka mengikuti kursus dakwah.

Oleh kerana aku salah seorang AJK pemilih peserta kursus, sudah tentu aku terlibat dalam mesyuarat pemilihan peserta. Aku masih ingat lagi aku disergah oleh seorang orang kuat siswi dalam AJK pemilihan kerana memberi sokongan yang kuat kepada seorang rakan siswi dari kelas aku. Walau bagaimana pun sokongan dan hujah aku diterima dan rakan aku yang agak ranggi itu dapat pergi mengikuti kursus dakwah di Masjid Negara. Alhamdulillah, selepas mengikuti kursus itu dia tidak ranggi lagi sebaliknya berpakaian menutup aurat dengan baik dan kemudiannya aktif dalam kerja-kerja dakwah dikampus sehingga keluar kampus dan menjadi guru.

Aku juga terlibat dalam pengurusan projek terutamanya projek anak angkat di Batu Hampar Merbok Kedah. Aku bertindak sebagai setiausaha projek itu. Aku antara perancang projek berkenaan. Semasa kami melaksana projek berkenaan berlaku pristiwa Baling, dimana penduduk dari Weng berarak ke Pekan Baling kerana membantah harga getah yang sangat murah (27 sen sekati). Pihak PMIUPM meminta aku dan Pengarah Projak untuk mencari berita yang sahih berkaitan peristiwa itu. Aku bersama Pengarah projek pergi ke Weng, tetapi sebaik sampai dan minum teh di kedai, ada SB mengikut kami. Selepas mendapat beberapa maklumat kami menaiki teksi ke Baling dan terus kembali ke Merbok. Pengalaman ini mengajar aku beberapa perkara, antaranya bukan mudah mendapatkan maklumat yang tepat. Dalam kerja-kerja begini SB sentiasa mengekor kita. Pengalaman ini berterusan sehingga aku menjadi Setiausaha ABIM Daerah Lipis.

Aku juga terlibat secara langsung dengan pengurusan surau di Kolej Kediaman. Ada semacam sekatan dari pihak tertentu agar tidak membenarkan azan dikumandangkan oleh setiap surau Kolej Kediaman. Kami di Kolej Kediaman Ke empat (KK4) tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara untuk azan. Pada mulanya kami membeli alat amplifier untuk pembesar suara surau. Kemudian didapati amplifier hilang tetapi speaker ada. Apabila disiasat kami dimaklumkan pihak pengurusan Kolej atas arahan Pengetua Kolej mengambil amplifier surau kami. Takdirnya seorang rakan kami pandai membuat amplifier. Kami beri dia RM50.00 untuk membeli komponen elektronik untuk di pasang. Selepas itu amplifier itu dirampas juga. Pok Ya Elektronik buat lagi yang baru, dirampas lagi. Akhiarnya Pok Ya Elektronik skrew komponen eloktronik yang berkaitan pada dinding. Kali ini mereka tak berani nak usik. Dengan itu selamatlah amplifier kami.

Aku juga terlibat dalam memanggil penceramah luar atau pensyarah UPM untuk berceramah di Kolej Kediaman. Pengalaman mengundang penceramah ini memahirkan aku dalam usaha yang sama ketika bertugas sebagai guru sekolah dan AJK Masjid. Oleh itu semua pengalaman di kampus dulu banyak manfaatnya bagi membantu aku Bertatih Dijalan Dakwah. Sekian TK.