Lompat ke isi kandungan

Bertatih dijalan Dakwah 4

September 18, 2014

Awal tahun 1974, sementara menunggu keputusan HSC, aku bertugas sebagai Guru Sementara di SMK Kg Budu (SMK Panglima Garang Abdul Samad). Aku mengajar darjah peralihan dan tingkatan 1. Aku tinggal dalam dorm bersama-sama penghuni asrama tetapi makan di rumah guru bujang. Aku mengajar sesi petang. Oleh itu waktu pagi aku pergi ke pasar di Benta untuk membeli sayur dan ikan. Pagi sebelum subuh aku mengaji al Quran di surau menggunakan “speaker” untuk mengejutkan para penghuni asrama. Aku akan menjadi imam solat subuh berjemaah kalau tiada Ustaz yang datang ke suaru.

Aku dipilih sebagai Guru Sementara di SMK Kg Budu ini kerana Guru Besarnya adalah guru BM aku semasa tingkatan Empat dan Lima di SM Clifford. Tahun 1974 itu sudah bermula riak-riak kecil kesedaran dakwah di Malaysia, tetapi impaknya belum menyeluruh. Mungkin badainya sudah bermula di bandar tetapi orang kampung masih sepi seperti tiada apa-apa perubahan.

Bulan Mei 1974 aku diterima masuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pertanian Malaysia. Semasa Minggu Orientasi bagi kemasukkan kami, kami menerima banyak imput tentang kesedaran Islam. Disinilah kami berkenalan dengan kuliah subuh dan kuliah maghrib. Masa itu Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) agak kuat di kampus UPM. Maka banyak acara kampus diwarnai oleh kesedaran Islam. Bermula dari Minggu Orientasi, kuliah subuh dan kuliah maghrib setiap hari di surau Kolej Kediaman masing-masing, solat berjemaah setiap waktu dan lain-lain aktiviti keagamaan menjadikan hati ini terpaut dengan kesedaran untuk bersama dalam arus kebangkitan Islam kontemporeri.

Setiap cuti semester ada kursus dakwah dianjurkan oleh PMIUPM bertempat sama ada di Masjid Serdang (dekat MARDI) atau di Institut Latihan Dakwah, Masjid Negara. Produk dari kursus-kursus dakwah inilah yang kemudiannya menjalankan berbagai aktiviti keIslaman di kampus UPM. Aku termasuk dalam kumpulan ini.

Aku berkursus di Masjid Serdang selama dua minggu. Biaya kursus diperolehi dari YADIM. Acara perasmian kursus dibuat oleh Pengerusi YADIM ketika itu, Tan Sri Syed Nasir Ismail dan salah satu ceramahnya diberikan oleh Timbalan Pengerusi YADIM iaitu Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat. (TGNA). Pelajar lelaki tidur dianjung masjid manakala pelajar perempuan tidur dalam masjid. Acara harian bermula jam empat pagi, mandi dan diikuti dengan solat tahajud, witr dan tasbih yang dibuat sendiri-sendiri. Solat subuh berjemaah. Solat Isyrak, Solat Dhuha. Kuliah subuh, kuliah Dhuha, solat zohor, makan, kuliah zohor, solat asar, rehat. makan, solat maghrib, kuliah maghrib, solat isyak dan kuliah. Begitulah setiap hari selama dua minggu. Makan dalam talam untuk menjimatkan masa bagi membasuh pinggan mangkuk. Masak makanan sendiri ikut giliran bertugas. Pelajar perempuan yang uzur akan dihantar ke asrama Institut Latihan Islam di Masjid Negara kerana satu lagi kursus berjalan di sana.

Keluar dari kursus inilah aku membina jatidiri untuk terlibat secara aktif dalam gerakan dakwah di kampus. Aku bertugas sebagai salah seorang Imam di surau Kolej Kediaman Keempat, aku juga menjawat jawatan penting dalam PMIUPM dan PMUPM. Aku juga menjadi wakil PMIUPM ke PKPIM dan Persatuan Mahasiswa Islam Asia Tenggara (PMIAT). Dari sini bermulalah usaha dakwah dengan lebih meluas lagi.

Antara tugas Imam surau Kolej Kediaman ialah memberi tazkirah selepas solat subuh dan solat maghrib. Disinilah aku mula berkenalan dengan buku Tanbihul Ghafilin dan Riadus Solihin. Kedua-dua buku ini aku pelajari dan kemudiannya aku bacakan kandungannya kepada ahli jemaah dari kulit ke kulit. Sambil-sambil aku membaca untuk ahli jemaah, aku juga dapat banyak manfaatnya.  Ada masanya aku minta sahabat lain untuk membaca apa-apa bahan yang berkaitan dengan Islam semasa tazkirah maghrib dan subuh ini.

Dari kursus, latihan dan pengalaman-pengalaman di kampus UPM inilah aku bertatih dijalan dakwah. Sekian TK

Bertatih dijalan Dakwah 3

September 9, 2014

Musafir mencari ilmu setelah tamat tingkatan lima. Tinggal di SABS Kuantan, mengaji di tingkatan enam, bersua dengan teman-teman baru dari seluruh Negeri Pahang dan juga dari Terengganu dan Kelantan. Asrama tiada bilik solat, kalau nak solat laksanakan dalam dorm. Setiap dorm ada ruang untuk solat sama ada nak buat berjemaah atau buat sendiri-sendiri. Membaca surah yaasin beramai-ramai adalah sesuatu yang asing di asrama ketika itu.

Semasa di tingkan enam atas, berlaku beberapa peristiwa yang sangat kuat dalam ingatanku. Ketika pelajar tingkatan empat dari beberapa sekolah di sekitar Daerah Kuantan masuk asrama dan bersekolah di SABS, aku bertanya mereka sama ada mereka pandai solat atau tidak. Aku dapati ramai yang tak pandai solat, malah ada yang tak tahu baca fatihah atau mengucap dua kalimah syahadah. Aku menengking beberapa orang pelajar yang terlibat, aku sedih kerana mereka tak tahu bersolat dan bersyahadah.

Akibat dari itu, peristiwa itu diadukan kepada Pengetua. Aku bersama ramai pelajar senior yang lain kena rotan. Tetapi ramai pelajar membantah kenapa aku yang bertanyakan tentang solat dan hal-hal asas tentang agama pun dirotan juga. Di satu majlis khas yang dibuat di asrama Pengetua meminta maaf atas kesilapan dia merotan aku.

Beberapa orang pelajar yang menunggu keputusan SPM telah pergi berkursus di ITM Syah Alam dua bulan. Apabila mereka kembali dan memasuki Tingkatan Enam Rendah, mereka membawa satu kesedaran baru tentang potensi kebangkitan dan kesedaran Islam. Adik-adik ini datang berbincang dengan aku tentang apa yang patut dibuat. Aku mengajak mereka menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Islam SABS. Kemudiannya kami mendapatkan nasihat dari beberapa orang guru Muslim dan akhirnya tertubuhlah PPI SABS.

Dimesyuarat penubuhan PPI SABS aku diminta memberi sedikit penerangan tentang pentingnya PPI ini. Aku cuba mencari hujah dan dalil dari Al Quran dan Hadis. Di Perpustakaan SABS lah aku mula berjumpa terjemahan al Quran dan beberapa buku hadis bertulis rumi. Bermula dari peristiwa itulah aku cenderong mencari buku-buku Islam baik dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Antara buku yang aku beli ialah satu terjemaahan al Quran dalam Bahasa Inggeris yang dikarang oleh seorang Inggeris yang memeluk Islam, Mohammad Marmaduke Pickthall. Nama buku yang diterbit oleh  A Mentor Book itu ialah “The Meaning of the Glorious Koran”.

Selain dari peristiwa ini ada kenangan manis yang perlu dinukilkan disini. Oleh kerana aku ada kebolehan lebih sedikit dalam hal agama ini, maka setiap kali ada majlis-majlis yang bercorak keagaman anjuran sekolah-sekolah di sekitar Bandar Kuantan, akulah yang dittugas untuk menjadi wakil Asrama atau Sekolah. Pernah beberapa kali aku ke SM Agama Al Ihsan, Kuantan dan SMART II, di Alor Akar mewakili pelajar SABS ke majlis agam anjuran mereka. Kalau kita minta pelajar lain pergi, mereka takut. Aku beri tahu nak takut apa? Mereka yang menganjur minta kita hadir sahaja dan bukan surah berceramah agama atau mengaji al Quran. Tetapi yang pasti setiap program mesti ada makan. Jadi kita jangan segan, makanlah!!

Dari penyediaan yang dibuat oleh ayah sejak kecil hingga membina keberanian menjadi imam solat di asrama, juga menubuhkan PPI di SABS, maka tetanamlah semangat dan kesedaran Islam dalam diri. Perlu dingat bahawa perkataan Dakwah adalah asing waktu itu..

Sekian TK

Bertatih dijalan Dakwah 2

September 7, 2014

Hidup di Asrama
Sepanjang pengajian di sekolah rendah, aku tinggal bersama ibu ayah di kampung kelahiran aku. Contoh tauladan yang ditunjukkan oleh ayah, ibu sertang abang kakak menjadi ikutan. Begitu juga perangai dan gelagat masyarakat keliling menjadi cerminan diri.
Apabila tamat sekolah rendah aku memasuki sekolah menengah dan tinggal di asrama. Di asrama terdapat sebuah surau 30 kaki X 30 kaki. Biasanya waktu maghrib ramai yang berjemaah. Masa itu (tahun 1966), mana ada lagi gerakan dakwah seperti sekarang. Tiada juga kursus dakwah. Hanya yang ada bimbingan seorang Ustaz yang datang sebulan sekali ke asrama.
Waktu magrib biasanya kami solat berjemaah, kalau senior yang jadi imam tiada, hampir semua ahli jemaah akan keluar dari surau kerana takut jadi imam. Hendak tak hendak di satu ketika, aku kuatkan diri menjadi imam solat maghrib itu. tetapi bila sampai bab wirid selepas solat aku buat wirid “Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan “Allah hu akbar” sahaja. Bila sampai masa berdoa aku bantai dalam bahasa melayu sahaja.
Menyedari keadaan itu bila aku balik kampung aku terpaksa menceritakan perkara itu kepada ayah aku dan kemudiannya aku belajar dari belaiu kaedah yang betul membaca doa dan membawa tahlil.
Tahun kedua aku tinggal diasrama, aku dah biasa jadi imam solat maghrib dan isyak, untuk jadi imam solat Subuh aku tak berani lagi sebab ada doa qunut. Apatah lagi waktu subuh sememangnya tiada yang turun ke suaru untuk bersolat.
Berlalulah begitu kehidupan aku di asrama dari tahun Remove Class hingga ke tingkatan lima. Ada satu masalah yang aku kira cukup membelenggu aku ketika itu. Aku boleh baca Al Quran, tetapi makna apa yang dibaca tak tahu. Cari rujukan baik dalam tulisan rumi atau tulisan jawi pun tak ada. Di Perpustakaan di rak buku-buku melayu hanya ada novel dan beberapa buku. Hanya satu almari sahaja buku melayu, Buku terjemahan al Quran tiada. Daif sungguh masa itu.
Kalau aku nak cari makna apa-apa yang berkaitan agama aku terpaksa balik ke rumah di kampung bertanyakan ayah hal berkenaan. Ayah tetap membantu. Itulah peranan ayah dalam menyediakan aku sebagai anak yang peka kepada perkembangan Islam dalam diri.
Sekian TK

Bertatih dijalan Dakwah 1

September 3, 2014

Penyediaan diri

Semenjak kecil aku didik oleh ayah aku dalam beberapa perkara. Ayah aku adalah seorang guru al Quran di kampung aku. Setiap malam ramailah anak-anak kampung aku lelaki dan perempuan datang belajar di rumah aku mengaji al Quran. Oleh itu aku sempatlah membuka Mukadam sambil mengenal alif, ba, ta… bersama-sama anak remaja kampung aku. Bertolak dari situlah aku mula mengaji al Quran, bermula dengan mengenal dan menamat Juz Amma serta kemudiannya naik ke al Quran, sehingga beberapa Juz sebelum aku meninggalkan rumah untuk duduk di asrama. Kebolehan mengaji al Quran ini merupakan aset kepada aku semasa aku mula melangkah remaja.

Ayah aku juga seorang tukang rumah. Kadang kala aku mengikut ayah ke tempat kerja terutama semasa dia dan rakan-rakannya membina masjid Kampung Relong, bermula 1952 hingga 1963. Dari situ aku berkenalan dengan  rakan ayah seperti Ayah Haji Tuan (Haji Uda bin Itam), Pak Ambong Mat (Mat bin Harun), Pak Lang Pilus, Tok Siak Aji dan lain-lain rakan seangkatan dengan dia. Sebahagian mereka adalah bekas pelajar pondok di Pasir Mas (Kuala Lipis) serta bekas pelajar pondok di Kelantan. Satu keistimewaan ayah aku ialah dia merupakan orang yang akan ikut menghantar anak kampung belajar di pondok-pondok di Kelantan atau ke Sekolah Agama di Pekan Pahang, Oleh itu aku terdidik sebagai orang yang condong kepada pengajian agama dan aku juga sangat berminat hendak berkhidmat menghantar orang pergi belajar ke pondok atau sekolah agama.

Ayah aku juga seorang Pawang, pandai menjampi dan mengubat orang gila, luka dan beberapa penyakit pelik yang lain. Oleh itu dia sentiasa on call, kadang-kadang ada orang datang ke rumah jam 2.00 pagi minta pertolongan berubat, terutamanya bagi orang gila. Ayah pergi bantu, walau pun tengah malam. Khidmatnya kepada masyarakat sentiasa berlaku. Aku juga berminat membantu masyarakat bila dewasa nanti.

Ayah aku juga tergolong sebagai pemimpin masyarakat, kerana beliau berkhidmat sebagai khatib dan Imam masjid Relong semenjak 1948 disamping bersama-sama lepasan pondok yang lain membangun masyarakat dari segi sosial, agama dan juga politik.

Ayah aku juga seorang petani; penanam padi dan pengusaha kebun getah. Dia meneroka tanah yang agak luas berbelas ekar yang memenuhi satu bukit, Bukit Sawar Jut di Kampong Berang, seberang rumah aku. Masa aku kecil dahulu mana ada TV. Di rumah aku ada radio, kami sekeluarga selalu juga mendengar drama radio. Antara drama radio yang famous ialah “Kebun Pak Awang”, kesah hidup orang kampung bertani.

Kalau diwaktu yang terluang ayah suka membaca. Ayah tidak ketinggalan membeli majalah DIAN dan PENGASUH, kedua-duanya dalam tulisan jawi. Buku-buku cerita juga dibeli. Buku Tafsir al Quran karya Ustaz Ahmad Sonhaji Muhammad juga menjadi koleksi beliau. Aytah suka membaca dengan suara yang agak kuat, sehingga seluruh rumah boleh mendengar apa yang dibaca. Kehadiran buku, majalah dan tafsir al Quran serta ayah baca dengan suara yang kuat, mendidik aku menjadi peminat buku dan aku juga meminati program pencarian ilmu melalui pembacaan.

Dengan latar belakang keluarga aku, yang dipimpin oleh ayah aku ini aku membesar dan menyedia diri untuk bertatih dijalan Dakwah dan kepimpinan desa aku.

Sekian TK.

Buah Kejijak

Ogos 1, 2014
Buah Kejijak yang diambil dari Kampong Berang

Buah Kejijak yang diambil dari Kampong Berang

Sedang dipijak

Sedang dipijak

Biji Kejijak setelah dibersihkan lulunya

Biji Kejijak setelah dibersihkan lulunya

Biji akan dipotong untuk mendapatkan isinya yang boleh dimakan

Biji akan dipotong untuk mendapatkan isinya yang boleh dimakan

Isi didalam biji itulah yang dimakan. Rasanya lemak seperti rasa isi kelapa

Isi didalam biji itulah yang dimakan. Rasanya lemak seperti rasa isi kelapa

 Siri gambar di atas menunjukkan buah Kejijak diproses mengeluarkan biji di dalamnya. Pokok Kejijak ini bersaiz besar dua pemelok atau lebih dan pokok berdahan rendang. Daun hijau sebesar tapak tangan. Buahnya seperti yang ditunjukkan pada gambar pertama. Untuk mendapatkan buahnya, kita perlu menunggu gugur. Mungkin kulit diluar sudah busuk tetapi isi di dalamnya masih boleh diguna atau dimakan.

Biji perlu dibersihkan daripada lulu yang berlendir dan mempunyai bau seakan-akan bau bacang. Ada orang yang pandai memproses lulunya untuk mengeluarkan minyak, tetapi masa kini orang yang pandai dalam bidang ini mungkin sudah tiada. Biji yang dibersih boleh dipotong untuk mendapatkan isinya atau biji itu boleh direbus sebelum isi putuh dikeluarkan.

Bengkel Eksplorasi Terembe Tok Linggi

Jun 29, 2014

Assalam mualaikum wr wbt.

Selamat menjalani Puasa Ramadhan 1435 H, kepada semua pembaca blog ini.

Hari ini saya menjadi panel kepada bengkel di atas. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk menyemarakan semangat generasi muda agar sentiasa berminat dan peka kepada salah satu bahan sejarah yang penting yang masih ada di Kampung Relong. Tok Linggi orang yang membuka Kampung Relong sekitar 1795 M dikatakan merupakan keturunan Raja. Mempunyai tujuh orang anak iaitu Ali, Imam Munah, Alas, Amat, Mamat, Timah dan Salleh. Ali dan Salleh tiada jurai keturunan dalam terembe itu. Oleh itu yang mempunyai jurai keturunan di Kampung Relong dan sekitarnya datang dari keturunan Imam Munah, Alas, Amat, Mamat dan Timah.

Kebanyakan jenerasi yang ada adalah pada peringkat keturunan yang ke Tujuh. Saya sendiri adalah keturunan ke Tujuh, walau pun begitu mereka yang baru lahir mungkin keturunan ke 12.

Terembe ini telah dimulakan oleh Imam Talib (Genarasi ke 4) Teremba  asal yang ditulis atas kulit kambing itu telah disalin dan dikemas kini dari masa ke masa.

Bengkel yang diadakan adalah untuk memasukkan maklumat baru agar terembe itu nanti menjadi pengikat silaturrahim dikalangan cucu cicik Tok Linggi.

Dulu selai dari dikemaskini oleh mereka yang pandai menulis (JAWI), terdapat juga mereka yang boleh mensurahkan secara lisan terembe itu. Generasi yang boleh mensurah secara lisan kini tingga seorang sahaja. Oleh itu perlu ada kaedah penyimpanan cara lain terutama menggynakan kemahiran Teknologi Maklumat. Bengkel hari ini cuba meneroka lebih jauh aspek ini.

Semoga akan ada generasi muda yang berminat kearah ini,

Menolong Allah?

Jun 4, 2014

Assalam mu alaikum wr wbt. Artikel ini saya ambil dari blog abuzaynab ibnu najib

Bagaimana cara menolong Allah? Sesetengah dari kita akan mula bertanya, mengapa Allah SWT mahu hambaNya menolongnya? Ini lanjutan dari firman Allah di dalam ayat berikut:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللهَ يَنْصُرْكُمْ وَ يُثَبِّتْ أَقْدامَكُمْ
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Surah Muhammad ayat 7)

Di sudut tafsir al-Quran, maksud ayat ini ialah:
يا أيها الذين صدقوا الله ورسوله ، إن تنصروا الله ينصركم بنصركم رسوله محمدا – صلى الله عليه وسلم – على أعدائه من أهل الكفر به وجهادكم إياهم معه لتكون كلمته العليا ينصركم عليهم ، ويظفركم بهم ، فإنه ناصر دينه وأولياءه
1. Ath Thobari mengatakan bahawa maknanya “Wahai orang yang membenarkan Allah dan para rasulNya, jika kamu menolong Allah nescaya Allah menolong kalian dengan pertolongan kalian terhadap apa yang dibawakan Rasulullah shallallahu alaihi wasallam iaitu mengatasi golongan kuffar, berjihad di jalan-Nya agar kalimat-Nya tinggi terhadap musuh-musuh-Nya. Maka makna pertolongan Allah kepada hamba-Nya adalah bantuan-Nya kepadanya sedangkan makna pertolongan hamba-Nya kepada Allah adalah jihad orang itu dijalan-Nya untuk meninggikan kalimat-Nya.” (Tafsir At Thobari juz XVII hal 651)

وقال قطرب : إن تنصروا نبي الله ينصركم الله ، والمعنى واحد
2. al Qurthubi mengatakan bahawa maknanya adalah orang yang menolong agama dan nabi-Nya. (al Jami’ li Ahkamil Qur’an juz XII hal 386)

Menolong bukan bererti Allah lemah
Menolong yang dimaksudkan ialah menolong agamanya, makna pertolongan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya adalah menolong manhaj dan dakwah-Nya. Meneguhkan kedudukanmu ialah meneguhkan iman, taqwa, darjat dan kedudukan di sisi Allah. Allah mampu sahaja meranapkan gereja, berhala dan menghancurkan kezaliman serta maksiat dengan bala bencanaNya sebagaimana yang pernah Allah berikan kepada umat terdahulu. Kaedah meminta tolong ini kerana Allah cuba bersikap berlembut sesuai dengan sifatnya yang Latif itu. Firman Allah:

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Hajj ayat 40)

Untuk huraian lebih jelas lagi, lihat petikan hadis berikut:
حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ حَاتِمِ بْنِ مَيْمُونٍ حَدَّثَنَا بَهْزٌ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَبِي رَافِعٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَا ابْنَ آدَمَ مَرِضْتُ فَلَمْ تَعُدْنِي قَالَ يَا رَبِّ كَيْفَ أَعُودُكَ وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ قَالَ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ عَبْدِي فُلَانًا مَرِضَ فَلَمْ تَعُدْهُ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّكَ لَوْ عُدْتَهُ لَوَجَدْتَنِي عِنْدَهُ يَا ابْنَ آدَمَ اسْتَطْعَمْتُكَ فَلَمْ تُطْعِمْنِي قَالَ يَا رَبِّ وَكَيْفَ أُطْعِمُكَ وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ قَالَ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّهُ اسْتَطْعَمَكَ عَبْدِي فُلَانٌ فَلَمْ تُطْعِمْهُ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّكَ لَوْ أَطْعَمْتَهُ لَوَجَدْتَ ذَلِكَ عِنْدِي يَا ابْنَ آدَمَ اسْتَسْقَيْتُكَ فَلَمْ تَسْقِنِي قَالَ يَا رَبِّ كَيْفَ أَسْقِيكَ وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ قَالَ اسْتَسْقَاكَ عَبْدِي فُلَانٌ فَلَمْ تَسْقِهِ أَمَا إِنَّكَ لَوْ سَقَيْتَهُ وَجَدْتَ ذَلِكَ عِنْدِي

“Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Hatim bin Maimun; Telah menceritakan kepada kami Bahz; Telah menceritakan kepada kami Hammad bin Salamah dari Tsabit dari Abu Rafi’ dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Hai anak Adam! Aku sakit, mengapa kamu tidak menjenguk-Ku?” Jawab anak Adam; “Wahai Rabbku, bagaimana mengunjungi Engkau, padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Allah Ta’ala berfirman: “Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si Fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu kunjungi dia kamu akan mendapati-Ku di sisinya?” “Hai, anak Adam! Aku minta makan kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku makan?” Jawab anak Adam; “Wahai Rabbku, Bagaimana mungkin aku memberi engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Allah Ta’ala berfirman: “Apakah kamu tidak tahu, bahawa hamba-Ku si Fulan minta makan kepadamu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi-Ku?” “Hai, anak Adam! Aku minta minum kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku minum?” Jawab anak Adam; “Wahai Tuhanku, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum, padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Allah Ta’ala menjawab: “Hamba-Ku si Fulan minta minum kepadamu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah, seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi-Ku.’ (Hadis Riwayat Muslim, turut diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam sahihnya, Imam Bukhari di dalam Kitab Adabul Mufrad, Thabarani dalam Kitab Makarim al-akhlak dan Imam Baihaqi di dalam kitab Al-asma wa-as-sifat)

Maka, di sini dapatlah kita jelaskan dengan pemahaman kita seperti berikut. Cara menolong Allah ialah:

1. Berjihad fisabilillah
Apabila seruan jihad dilaungkan yang menuntut kita agar berjihad pada jalan Allah, hendaklah kita bersegera membantu Allah pada jalan ini bagi memartabatkan agama Islam dari diperlekehkan oleh orang kafir.
Bukan bermaksud Islam agama pengganas, tetapi jihad biarlah kerana mempertahankan agama Allah apabila tercabar dan dihina.

2. Menyebarkan ajaran Islam
Orang-orang yang kafir selalu menghalangi manusia dari jalan Allah, maka inilah yang dituntut agar kita berusaha menolong Allah untuk menyebarkan ajaran Islam, mesej al-Quran dan jalan yang lurus kepada orang yang belum mengenali Islam atau di negara yang masih lagi penduduknya kafir.
Menyebarkan ajaran Islam boleh jadi dengan seruan dakwah, penulisan, berblog dan pengaruh media massa. Mungkin harta dan masa kita dihabiskan begitu sahaja pada pendapat diri kita sendiri, tetapi Allah telah janjikan sesuatu yang baik buat kita.

3. Bersedekah dan infak
Orang kristian telah sanggup membiayai missionary mereka berbillion dolar setahun bagi tujuan menyebarkan kekufuran aqidah triniti mereka.
Sedangkan umat Islam kedekut untuk membiayai dakwah para da’i dan ulama. Dengan ini, Allah meminta kita menolong untuk kita membantu mereka yang menguruskan hal dakwah Islamiah agar dapat terus ikhtiar hidup (survive) di mana mereka pergi.
Janganlah anggap kekayaan membawa ke kubur, melihat zakat sebagai satu hukuman zalim dan melihat sedekah sebagai satu yang merugikan harta. Telah Allah jelaskan bahawa darjat kita akan diangkatkan insya Allah.

4. Membantu sekolah agama dan tahfiz
Orang kafir sanggup menyumbang berbillion setahun untuk sekolah mubaligh, kuil dan tokong mereka tetapi malangnya sikap itu tidak ada di dalam diri umat Islam.
Malah ramai yang hafiz al-Quran terpaksa keluar bekerja dengan kelulusan akademik yang rendah yang sudah tentu kerjayanya dari pagi hingga ke malam yang akan mengakibatkan para penghafal al-Quran terlupa hafazannya. Seharusnya kita membiayai mereka yang hafal 30 juzuk al-Quran, membiayai sekolah rendah agama, sekolah menengah agama dan sekolah tahfiz.
Dengan membantu Allah pada jalan ini, nescaya darjat kita diangkat di sisiNya.

5. Membersihkan nama Allah yang telah tercemar oleh kerana Yahudi dan Nasrani (kristian). Dan juga tidak berlaku syirik terhadap Allah.
Sudah beribu tahun nama Allah dicemari oleh Yahudi dan Nasrani. Sebagai contoh, Yahudi berkata Uzair anak Allah, Nasrani berkata Isa anak Allah. Mereka juga berkata sesuatu yang bukan milik Allah, tidak meletakkan nama Allah pada tempat yang betul malahan menyebarkan fitnah terhadap Allah. Inilah tugas kita untuk membantu Allah. Dan pada ayat ke-8 surah Muhammad pula, Allah berfirman:

وَ الَّذينَ كَفَرُوا فَتَعْساً لَهُمْ وَ أَضَلَّ أَعْمالَهُمْ
Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah membinasakan amal-amal mereka.

wallahu a’lam
Catatan oleh abuzaynab ibnu najib

Selamat Hari Guru 2014

Mei 16, 2014

Assalam mualaikum wr wbt.

Jom ajak anak-anak kita untuk menghargai GURU-GURU mereka.

Alhamdulillah, Insya Allah, hari ini adalah hari kita bersama-sama menghargai para pendidik seluruh negara iaitu pada 16 mei 2014. Saya suka mengingatkan tema sambutan Hari Guru 2014 ialah “GURU : PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI”

Saya sangat teruja untuk mencanangkan kepada seluruh ibu bapa mengapa WAJAR kita menghargai guru. Sedar atau tidak ada beberapa perkara yang kita sebagai ibu bapa terlepas pandang tentang kehebatan seorang guru ketika bersama dengan anak-anak kita. Suara hati ini sekadar sekelumit perkongsian pengalaman sebagai guru serta mengendalikan program motivasi keibubapaan dan pelajar.

1. Guru mengabdikan masa yang lebih lama bersama-sama anak kita kurang lebih lebih 7 hingga 10 jam sehari berbanding masa kita dengan anak-anak mereka sendiri malahan kita sendiri pun hanya meluangkan masa antara 30min hingga 3 jam sehari bersama-sama anak kita.

2. Guru tidak akan berhenti mengajar dan memandang anak-anak kita dengan penuh pengharapan walaupun mereka tahu di depan mereka ada pelajar yang pernah melawan mereka, menipu, tidak menyiapkan tugasan dan lebih-lebi lagi pelajar yang pernah menentang mereka dengan kekerasan. Bagaimana kita? Cukuplah sekali kita ditipu dan terus tidak mempercayai orang yang suka menipu. Kan berbeza dengan naluri seorang guru.

3. Saya pernah melaksanakan satu program SMART solat selama 10 siri sepanjang tahun bersama pelajar sesi petang yang mana pada siri akhir saya meminta semua pelajar lelaki memeluk saya seperti mereka memeluk ayah sendiri dan pelajar perempuan memeluk guru perempuan seperti ibu mereka sendiri. Wallahi ikhwah sekelian, hampir semuanya menangis ketika memeluk guru kerana sebenarnya mereka telah lama tidak mendapat pelukan kasih sayang daripada seorang ayah dan ibu. Saya berfikiran perlu kita sebagai ibu bapa memberi pelukan yang luar biasa kepada anak-anak setiap hari seolah-olah itulah pelukan dan ciuman kita yang terakhir.

Yang ingin saya tegaskan, ada waktunya guru telah membantu ibu bapa berperanan seperti kita malahan lebih lagi daripada kita ketika mana kita mungkin “leka dan alpa” tentang keperluan kasih sayang anak-anak yang semakin memuncak apabila mereka meningkat dewasa. Malahan Allah turut menyebut tentang kemuliaan guru. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah : 129, yang bermaksud. “Tuhan kami telah membangkitkan kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami, menyampaikan kepada kami ayat-ayat MU dan mengajarkan kami Kitab dan hikmah serta menyucikan jiwa kami. sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Agong dan Maha Bijaksana”.

Rupa-rupanya daripada ayat ini Allah SWT meletakkan kedudukan guru sangat mulia di dalam Islam sehingga dirakamkan di dalam Al Quran kerana Nabi SAW juga seorang guru.
Sedikit ingatan buat sahabat seperguruan, berdasarkan ayat di atas, Allah SWT mengingatkan kita TIGA amanah sebagai seorang guru agar pengurusan kerja kita selari dengan matlamat yang disebut sebagai Management by Objective (MBO).

1. Memberi kefahaman kepada anak-anak didik kita tentang ilmu Al Quran.
2. Menyampaikan ilmu dengan hikmah dan bijaksana.
3. Berusaha memastikan pengajaran guru mampu membersihkan jiwa anak-anak didik kita daripada syirik, munafiq, dosa dan maksiat serta kembali bertuhankan Allah SWT yang satu secara sempurna.

Berbalik kepada peranan ibu bapa bersama-sama dengan anak untuk menghargai guru pada hari ini. Bukanlah satu kewajipan untuk memberi hadiah atau pun kad kepada guru, namun didiklah anak sekurang-kurangnya ucapkan terima kasih. Ajar anak ketika ucapkan selamat hari guru, berikan kata-kata peransang kepada guru. Contohnya “cikgu, saya doakan cikgu bahagia dunia akhirat” ataupun “cikgu, saya sayang cikgu”. Mungkin juga boleh disebut “cikgu, terima kasih bimbing saya untuk masuk ke dalam syurga.”

Ikutlah apa-apa perkataan sekalipun asalkan menghargai guru dan mampu anak-anak kita ucapkan. Mungkin juga kad hari guru sebagai wakil suara hati ibu bapa yang tidak mampu disampaikan dengan kata-kata.
Percayalah, kata-kata apresiasi ini mampu meleraikan segala keletihan, penat jerih para guru yang mengajar anak-anak kita bertahun-tahun, memberi ketenangan jiwa yang penuh dengan gundah gulana malahan mampu melengkapkan dan memberi kepuasan hati seorang guru apabila dituturkan dengan penuh keikhlasan.

Buat para penyampai ilmu, duduk di mana pun posisi kita, mungkin sebagai pendakwah di surau, masjid, pensyarah kolej dan universiti, ustaz atau ustazah, mengajar Al Quran di rumah atau ibu bapa yang mendidik anaknya, sedarilah kita semua bernaung di bawah beberapa nama yang sentiasa di sebut oleh anak-anak didik kita sebagai GURU, CIKGU, MUALLIM, MURABBI, MUADDIB atau MURSYID asalkan tugasan kita menyampai serta mendidik manusia cinta kepada Allah SWT.

Saya petik satu kata hikmah buat para guru…
“Sekeras mana pun hati anak-anak didik kita, percayalah akan ada satu tangan yang akan menarik kita masuk ke dalam syurga”

Berbahagialah menjadi seorang guru.
Buat semua, setiap hari merupakan hari untuk menghargai guru.
SELAMAT HARI GURU 2014

Sekian TK.

Mencari Guru

Mei 15, 2014

Assalam mualaikum wr wbt,

Dalam kiriman ini, saya ingin berbicara tentang pengalaman kami untuk mencari guru yang hafal al Quran. Sesebuah sekolah tidak akan dinamakan sekolah jika syarat ini tidak dipenuhi: Pertama mesti ada murid. Kedua mesti ada guru dan Ketiga mesti ada tempat (bagi yang nombor tiga ini, mungkin tidak perlu jika persekolahan alam siber dilaksanakan.

Oleh kerana kami membuat Maahad Tahfiz (Sekolah Tahfiz), sudah tentulah kami memerlukan guru yang hafaz al Quran untuk mengajar murid-murid kami.

Bagi saya, mencari guru yang hafaz al Quran merupakan keutamaan dalam sistem persekolahan kami. Oleh kerana kami akan memulakan Program Tahfiz Separuh Masa yang akan dibuat di Masjid Relong bermula awal 2012, kami meminta jasa baik sahabat kami Drs Haji Wan Aminuddin Wan Abd Hamid untuk mencari di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, beliau dapat seorang guru hafiz. Ustaz itu dibawa ke Maahad (ketika pembelajarannya dibuat di Masjid – sementara bangunan asrama belum siap). Kemudian selepas beberapa bulan Ustaz itu berhenti. Katanya dia nak berkhidmat sebagai Imam Masjid di Selangor. Kami dapat ganti dari Indonesia (Kediri – Jawa), tetapi dia enggak bisa dalam semua hal, akhirnya VISA ditamatkan dan dia dihantar pulang ke Indonesia.

Buat sementara waktu khidmat anak tempatan diguna. Ustaz Abd Halim Md Isa dan Muhammad Ilman Yusof menjadi guru sementara sebelum Ustaz Naqiuddin Al Hafiz (pelatih IPG TAA) memberi khidmat sehingga akhir tahun 2012. Terlaksanalah program Separuh Masa. Pembelajaran pada waktu petang Isnin, Selasa, Khamis dan Jummat dari 2.30 petang hingga 5.00 petang.

Bangunan asrama akhirnya dapat dibina setelah tapak yang sesuai ditemuai dan tuan tanah bersetuju. Maka terbinalah bangunan asrama dua tingkat bersebelahan Surau Bukit Berangan (Tapak yang menjadi pencetus pendidikan formal di Relong). Awal 2013 asrama dapat digunakan. Program Tahfiz Sepenuh Masa akan dilaksana. Maka usaha mencari guru dibuat sebelum 2013 datang. Haji Zahari dan Abd Hamed pergi ke Maahad Tahfiz Sungai Badak, Jerantut, kalau ada yang dah hafiz dapat menolong – Tiada. Kemudian kami ke Sungai Salan, Jumpa Maulana Jauhari. Akhirnya dapat seorang dari Yaman. Tapi tak tahan lama. Bersama-sama Hafiz dari Yaman ini kami ambil juga anak tempatan, Ustaz Fairuz tetapi selepas tiga bulan dia dapat kerja tetap. Sebenarnya program Separuh Masa masih berjalan di Surau Bukit Berangan yang diajar oleh Ustaz Mohd Noor, Ustazah Zaleha Ismail bersama-sama Ustaz Ihsan Idris mengikut jadual tahun lepas.

Kami dapat guru, dari Batu Embun Jerantut, Berkhidmatlah dia dari April 2013 hingga kini. Bila murid bertambah, kami perlu guru ditambah. Semasa pelajar di Mesir di evakuasi tahun 2013 dahulu kami mendapat seorang guru dari Maahad Subro Mesir, Ustaz Shafik, tetapi akhir tahun dia balik ke Mesir menyambung pengajian.

Awal tahun 2014, murid bertambah kerana ada penggambilan baru!! Kami cari guru. Tanpa diduga Ustaz dari Kuala Lumpur datang untuk berkhidmat bermula Februari 2014 tetapi akhir April Menarik diri. Walau bagaimana pun seorang rakan beliau dari Thailand, Ustaz Radzi datang berkhidmat awal Mac 2014. Kini kami ada dua orang guru. Cukup dahulu buat sementara kerana murid ada 14 orang. Walau pun begitu kami masih mahu menambah seorang lagi guru Hafiz… Sekian kiriman ini TK

Perancangan Allah SWT – sambungan1

Mei 3, 2014

Awal 2013 seorang guru Hafiz dari Yaman datang berkhidmat di Maahad Kami. Tapi selepas sebulan berkhidmat dia buat perangai. Dia menuntut berbagai kemudahan daripada pengurusan Maahad. Sementara itu untuk membantu kami berkomunikasi dengan Arab Yaman ini kami juga mengambil seorang Ustaz Lepasan Azhar bagi mengajar di Program Separuh Masa, tetapi kerana ustaz ini mendapat tawaran kerja dari FELDA, dia meninggalkan kami.

Ustaz Hafiz dari Yaman ini sempat berkhidmat beberapa bulan sahaja, sebelum dia berpindak ke Maahad lain. Untuk menggantikan beliau kami mendapat khidmat dari seorang anak muda dari Jerantut, Dia mula berkhidmat di Maahad pada awal April 2013. Ustaz muda ini dapat memberikan khidmat yang baik dan semasa pelajar dari Al Azhar diminta balik ke Malaysia kami mendapat khidmat tambahan dari seorang pelajar Maahad Subro, Mesir. Walau bagaimana pun di meninggalkan maahad di akhir tahun 2013 untuk kembali menyambung pengajian ke Mesir.

Pihak Pengurusan Maahad merasakan bahawa kita memerlukan bangunan tambahan untuk aktiviti pembelajaran. Kami merancang membina satu bangunan dua tingkat dibahagian belakang Surau Bukit Berangan, Relong. Jangkaan kosnya RM 300 ooo.00. Usaha pencarian dana dibuat dan bangunan dijangka siap sebelum Ramadhan 1435 (atau bulan Jun 2014). Kini bangunan dua tingkat itu sudah 90% siap. Apabila siap nanti, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan di buat di bangunan dua tingkat ini.Bangunan dua tingkat ini juga akan menempatkan bilik Pejabat Maahad. Apabila bangunan dua tingkat ini siap nanti, seluruh bangunan lama maahad akan dijadikan asrama yang boleh menampung maksimumnya 40 orang pelkajar. Ini adalah rancangan masa hadapan.

Sempena sambutan 100 tahun Sekolah Clifford, kami menganjurkan majlis  Sepagi Bersama Ustaz Haji Idris Haji Uda (Guru Pendidikan Islam pertama yang berkhidmat di SM Clifford dari tahun 1962 hingga 1988). Semasa majlis itu berjalan Yang Berhormat Ahli Parlimen Lipis (YB Dato’ Haji Abdul Rahman Mohammad) telah mengistiharkan bantuan untuk membina satu bangunan Dewan berharga RM 50 000.00 dari peruntukan Ahli Parlimen tahun 2014. Sehingga kini kami masih menunggu terzahirnya satu dewan di Maahad Tahfiz kami. Terima kasih YB.

Pada ketika yang sama kami juga memikirkan untuk membina satu cawangan maahad bagi menenpatkan pelajar perempuan. Tapak tanah telah diwakafkan oleh seorang yang sangat rapat dengan kami khususnya Bendahari Maahad. Lokasi Maahad Hafizah adalah di Sungai Batu, Relong. Terima kasih kepada keluarga di Sungai Batu yang mewakafkan tapak Maahad Hafizah. Buat masa ini kerja-kerja penyediaan tapak sudah 100% siap. Bangunan surau Sungai Batu sedang dibuat penubahsuaian (renovation). Insya Allah proses pengubahsuaian itu akan selesai sebelum Ramadhan 1435 tiba. Buat masa ini penduduk Sungai Batu menggunakan Markas PAS cawangan Relong sebagai surau sementara. Bagunan asrama Hafizah akan dimulakan pembangunannya selepas Hari Raya Puasa 1435 nanti. Anggaran kos melebihi RM 400 000.00. Ramai orang suka menbuat jariah mereka dan ramai juga yang membantu mendapatkan bantuan kepada maahad. Kami ucapkan terima kasih. Syukur kepada Allah SWT.

Seorang sahabat telah mewakafkan satu Lot tanah, tapak rumah kepada Maahad. Tanah itu hanya beberapa meter sahaja dari tapak Maahad Hafizah. Sebenarnya kami mencari tapak rumah untuk kami bina rumah guru, sibuk kami bertanya kepada penduduk satempat, kalau-kalau ada yamng hendak mewakafkan tanah bagi kami membina dua unit rumah guru.  Tanpa diduga sahabat itu telah menawarkan Lot tapak rumah kepada kami, pucuk dicita ulam mendatang, kecil tapak tangan tapak rumah kami tadahkan. Terima kasih sahabat atas jariah yang diberi. Insya Allah dalam tahun 2015 kami akan mula membina dua unit rumah guru dan setiap unit ada tiga bilik. Cukup dahulu setakat ini, Insya Allah bersambung lagi…