Lompat ke isi kandungan

Kembara Tasik Chini

April 21, 2022

1.0 Persediaan

Pada kiriman wasap pada 15.1.22, telah dinyatakan oleh sahabat pengajur kembara bahawa saya ditugaskan sebagai Imam  semasa program berlangsung.

Antara tugas Imam ialah mengimamkan solat fardhu yang akan dibuat secara jamak qasar, mengimamkan Qiamulail serta memberi tazkirah subuh.

Bermula dari itu, saya memikirkan tentang apa yang perlu dibuat untuk qiamulail. Saya putuskan acara qiamulail terdiri dari

  • Solat tahajud, 2 rakaat dan 2 rakaat
  • Solat Taubat, 2 rakaat
  • Solat Hajat, 2 rakaat
  • Solat Witr, 3 rakaat (2 salam)
  • Qiamulail bermula 5.00 pagi dan akhir 6.08 minit pagi diikuti dengan azan subuh
  • Saya memikirkan sdra Hj Mahzan sebagai bilal (dia sememangnya seorang bilal ditempatnya)

Membuat persediaan bahan tazkirah untuk dua subuh. Bahan mestilah sesuai untuk peserta yang berumur 65 tahun ke atas kerana para peserta adalah dari golongan umur ini. Untuk tujuan ini saya memilih dua tajuk

  • Amalan ringan yang besar pahalanya (satu nota yang terdiri dengan 18 amalan ringan yang membawa pahala yang besar.) Nota ini dibuat edaran
  • Tiga Amalan Yang tidak terputus pahalanya walaupun sudah meninggal.

Selain itu isteri sibuk membuat persiapan alatan dan pakaian yang hendak dibawa untuk kembara 3 hari 2 malam.

Pada 21.3.22 membuat pemeriksaan ke atas kereta yang akan dibawa, Bezza CEH 1284.

2.0 Perjalanan ke PPTC, UKM

Jam 9.00 pagi 22.3.22 saya dan isteri memulakan perjalanan ke Tasik Chini. Walaupun saya orang Pahang, ini merupakan kali pertama bermusafir ke kawasan itu. Sebelum itu saya merayau di alam maya menggunakan google maps untuk melihat jalan yang boleh dilalui.

Saya akan melalui jalan dari rumah (Km 16, Kg Relong, Lipis) ke Kuala Lipis seterusnya ke Kerambit, Mela, Kuala Tembeling, Paya Teh, Jerantut Feri, Bandar Tun Razak Jengka mengambil jalan melalui Felda Jengka 15, Jengka 17, Jengka 18 Jengka 19 seterusnya memasuki Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) melalui exit Chenor.

Pada mulanya ingin mengikut laluan Chenor dengan menghilir ikut Sungai Pahang sehingga ke Kg Salong dan mengikuti jalan Bandar Chini ke Tasik Chini tetapi Dr Mush memaklumkan ada tanah runtuh di laluan itu. Oleh itu Laluan LPT diambil sehingga ke exit Gambang. Berhajat untuk berhenti di RnR Gambang, tetapi apabila sampai ke RnR Gambang didapati RnR tersebut di tutup sementara. Berhenti sebentar di stesen Petronas Gambang arah Timur. Tanpa diduga bertemu Saudara Yatim dan Dr Mush yang juga sedang berihat di situ. Perjalanan berikutnya saya mengekor kenderaan yang dipandu oleh Dr Mush sehingga ke Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) UKM di Tasik Chini.

Dari LPT melalui Plaza Tol Gambang Outbound, lalu di hadapan Kampus UMP dan seterusnya ke Lebuhraya Tun Razak (laluan Kuantan Segamat), melalui Lepar seterusnya menyemberangi Sungai Pahang, memasuki laluan 82, Paloh Hinai ke Jalan Batu Balik, ke Kuala Mentiga, Kampung Sepaku, Kampung Mambang, Kampung Sekepuh, Kampung Sepagar sehingga ke Kg Salong. Membelok ke kiri memasuki Jalan Bandar Chini di sebelah Stesen Minyak SMART. Ikut laluan kampung Gumam (penempatan orang Asal) sehingga bertemu semula jalan ke PPTC. Sampai di PPTC dan mendaftar di Pintu masuk PPTC seterusnya ke Asrama PPTC.

3.0 Perjalanan Balik

Pagi 24.3.22, selepas berkayak di Tasik Chini, kami memulakan perjalanan balik. Ada maklumat mengatakan laluan ke Chenor telah dibuka. Oleh kerana saya belum pernah melalui jalan ini maka saya hendak mencuba laluan ke Chenor.

Pemanduan dari PPTC ke laluan Bandar Chini kemudian membelok ke kiri menuju Kg Salong, berhenti mengambil petrol di Stesen Minyak SMART Salong. Mudik ke hulu ikut laluan C108 memalui kampung-kampung berikut, Kg Kinchir, Kg Semanggang, Kg Duri, Kg Melayu, Kg Kuala Chini (di sinilah air dari Tasik Chini masuk dan keluar – satu keadaan yang unik kepada sungai ini) kemudian kg Kuala Waw, Kg Pesagi, Kg Sawah, Kg Paya Ladang kemudian merentasi Jambatan Sungai Pahang ke Chenor seterusnya ke Pekan Awah, Felda Kampung Awah, Felda Sungai Nerek, Jengka 19, Jengka 18, Jengka 17, Jengka 15, Jengka 14 dan Bandar Tun Razak.

Seterusnya melalui jalan yang saya biasa lalu iaitu Jengka 11, Jengka 8, simpang Pulau Tawar, Jerantut Feri, kg Bukit Damar, Kg Paya Teh, Kuala Tembeling, Mela, Kerambit dan singgah di Bandar Lipis cari makanan seterusnya kembali ke rumah.

No comments yet

Tinggalkan komen