Lompat ke isi kandungan

Kembara Tasik Chini

April 21, 2022

1.0 Persediaan

Pada kiriman wasap pada 15.1.22, telah dinyatakan oleh sahabat pengajur kembara bahawa saya ditugaskan sebagai Imam  semasa program berlangsung.

Antara tugas Imam ialah mengimamkan solat fardhu yang akan dibuat secara jamak qasar, mengimamkan Qiamulail serta memberi tazkirah subuh.

Bermula dari itu, saya memikirkan tentang apa yang perlu dibuat untuk qiamulail. Saya putuskan acara qiamulail terdiri dari

  • Solat tahajud, 2 rakaat dan 2 rakaat
  • Solat Taubat, 2 rakaat
  • Solat Hajat, 2 rakaat
  • Solat Witr, 3 rakaat (2 salam)
  • Qiamulail bermula 5.00 pagi dan akhir 6.08 minit pagi diikuti dengan azan subuh
  • Saya memikirkan sdra Hj Mahzan sebagai bilal (dia sememangnya seorang bilal ditempatnya)

Membuat persediaan bahan tazkirah untuk dua subuh. Bahan mestilah sesuai untuk peserta yang berumur 65 tahun ke atas kerana para peserta adalah dari golongan umur ini. Untuk tujuan ini saya memilih dua tajuk

  • Amalan ringan yang besar pahalanya (satu nota yang terdiri dengan 18 amalan ringan yang membawa pahala yang besar.) Nota ini dibuat edaran
  • Tiga Amalan Yang tidak terputus pahalanya walaupun sudah meninggal.

Selain itu isteri sibuk membuat persiapan alatan dan pakaian yang hendak dibawa untuk kembara 3 hari 2 malam.

Pada 21.3.22 membuat pemeriksaan ke atas kereta yang akan dibawa, Bezza CEH 1284.

2.0 Perjalanan ke PPTC, UKM

Jam 9.00 pagi 22.3.22 saya dan isteri memulakan perjalanan ke Tasik Chini. Walaupun saya orang Pahang, ini merupakan kali pertama bermusafir ke kawasan itu. Sebelum itu saya merayau di alam maya menggunakan google maps untuk melihat jalan yang boleh dilalui.

Saya akan melalui jalan dari rumah (Km 16, Kg Relong, Lipis) ke Kuala Lipis seterusnya ke Kerambit, Mela, Kuala Tembeling, Paya Teh, Jerantut Feri, Bandar Tun Razak Jengka mengambil jalan melalui Felda Jengka 15, Jengka 17, Jengka 18 Jengka 19 seterusnya memasuki Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) melalui exit Chenor.

Pada mulanya ingin mengikut laluan Chenor dengan menghilir ikut Sungai Pahang sehingga ke Kg Salong dan mengikuti jalan Bandar Chini ke Tasik Chini tetapi Dr Mush memaklumkan ada tanah runtuh di laluan itu. Oleh itu Laluan LPT diambil sehingga ke exit Gambang. Berhajat untuk berhenti di RnR Gambang, tetapi apabila sampai ke RnR Gambang didapati RnR tersebut di tutup sementara. Berhenti sebentar di stesen Petronas Gambang arah Timur. Tanpa diduga bertemu Saudara Yatim dan Dr Mush yang juga sedang berihat di situ. Perjalanan berikutnya saya mengekor kenderaan yang dipandu oleh Dr Mush sehingga ke Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) UKM di Tasik Chini.

Dari LPT melalui Plaza Tol Gambang Outbound, lalu di hadapan Kampus UMP dan seterusnya ke Lebuhraya Tun Razak (laluan Kuantan Segamat), melalui Lepar seterusnya menyemberangi Sungai Pahang, memasuki laluan 82, Paloh Hinai ke Jalan Batu Balik, ke Kuala Mentiga, Kampung Sepaku, Kampung Mambang, Kampung Sekepuh, Kampung Sepagar sehingga ke Kg Salong. Membelok ke kiri memasuki Jalan Bandar Chini di sebelah Stesen Minyak SMART. Ikut laluan kampung Gumam (penempatan orang Asal) sehingga bertemu semula jalan ke PPTC. Sampai di PPTC dan mendaftar di Pintu masuk PPTC seterusnya ke Asrama PPTC.

3.0 Perjalanan Balik

Pagi 24.3.22, selepas berkayak di Tasik Chini, kami memulakan perjalanan balik. Ada maklumat mengatakan laluan ke Chenor telah dibuka. Oleh kerana saya belum pernah melalui jalan ini maka saya hendak mencuba laluan ke Chenor.

Pemanduan dari PPTC ke laluan Bandar Chini kemudian membelok ke kiri menuju Kg Salong, berhenti mengambil petrol di Stesen Minyak SMART Salong. Mudik ke hulu ikut laluan C108 memalui kampung-kampung berikut, Kg Kinchir, Kg Semanggang, Kg Duri, Kg Melayu, Kg Kuala Chini (di sinilah air dari Tasik Chini masuk dan keluar – satu keadaan yang unik kepada sungai ini) kemudian kg Kuala Waw, Kg Pesagi, Kg Sawah, Kg Paya Ladang kemudian merentasi Jambatan Sungai Pahang ke Chenor seterusnya ke Pekan Awah, Felda Kampung Awah, Felda Sungai Nerek, Jengka 19, Jengka 18, Jengka 17, Jengka 15, Jengka 14 dan Bandar Tun Razak.

Seterusnya melalui jalan yang saya biasa lalu iaitu Jengka 11, Jengka 8, simpang Pulau Tawar, Jerantut Feri, kg Bukit Damar, Kg Paya Teh, Kuala Tembeling, Mela, Kerambit dan singgah di Bandar Lipis cari makanan seterusnya kembali ke rumah.

Menjejak Rakan 4

September 23, 2020

Usaha untuk mengesan rakan-rakan sepengajian Dip Sc Pendidikan 74-77 dibuat berdasarkan ingatan mereka yang sudah didalam kumpulan wasap. Cetusan pencarian berdasarkan gambar foto lama yang ada dalam simpanan masing masing. Gambar-gambar sangat membantu mengesan rakan rakan terutama gambar aktiviti permainan, jamuan, kumpulan perbincangan serta kumpulan praktikum semasa tahun dua dan tiga pengajian. Gambar-gambar itu dikirim ke dalam wasap dan ditonton oleh semua ahli agar ahli memberi respon.

Sumber kedua ialah senarai dan alamat rakan rakan yang menghadiri jamuan akhir tahun 77 sebelum pergi praktikum mengajar terakhir (tahun 3). Juga dari senarai para graduan Dip Sc Ed tahun 77. Kedua-dua sumber ini adalah disumbang oleh saudara Muhammad Suhaimy bin Hj Mohamad Sidek yang membuat salinan foto dan dikirimkan ke dalam wasap.

Kini ahli yang terkumpul sudah 107 orang. Perbincang, mengenang kembali zaman belajar dan hal-hal yang berkait dengan keluarga, pengalaman pahit manis dalam perkhidmatan serta keadaan kesihatan semasa sentiasa menjadi bahan perbincangan dalam kumpulan wasap ini. Ada dua orang rakan yang sedang mendapat rawatan iaitu sdra Kaswan Kasri di PPUM dan sdra Leman Hassan di Pusat Rawatan Swasta di Kuching.

Nampaknya rakan-rakan perlu mengambil masa lagi untuk mengenali antara satu dengan lain. Ada yang dah lupa bagaimana rupa wajah rakan. Perlu juga kepada gambar foto rakan masa muda dulu dan gambar foto terkini. Ada yang wajahnya banyak berubah tetapi ada juga yang masih tidak banyak berubah.

Tidak ketinggalan juga dibuat senarai sahabat-sahabat yang sudah mendahului kita semua. Dari tertubuhnya kumpulan wasap ini sekitar April 2018 hingga kini dua orang rakan ahli kumpulan wasap telah pergi mendahului kita. iaitu Sdra Sairan Othman dan sdra Azhar Hasan. Sementara itu lebih daripada 20 orang rakan telah pergi mendahului kita semua.

Dapat juga dikesan beberapa rakan sekelas bertemu jodoh semasa belajar dan selepas bergraduat antaranya Pasangan Hj Muhammad Draman dan Hjh Shahilah Salleh, Pasangan Muhammad Suhaimy Sidek dan Johara Nawawi, Pasangan Zohedi Tau dan Ainun Safariah, pasangan Allahyarham Ablah Hamzah dan Wan Zainun, pasangan Allahyarham Ahmad Dahari dan Nurul Huda serta pasangan Yaakob Ali dan Rahimah Mohammad. Pasangan ini adalah sesama Dip Sc Ed 74-77. Ada juga pasangan lain antara Dip Sc Ed ini dengan seniors atau junior atau pasangan Dip Sc Ed ini dengan kursus lain di UPM ini.

Oleh itu kepelbagaian yang ada memeriahkan lagi bincang-bincang, borak borak orang tua. Disamping itu masa kini pertemuan-pertemuan sesama ahli secara kecilan sentiasa berlaku dan dirancang. Silaturrahim semakin rapat bagi yang boleh bergerak. Semoga keadaan mesra dan bahagia ini berterusan selagi berkemampuan sama ada di alam nyata atau alam maya melalui fB atau kumpulan wasap atau PM secara peribadi.

Sekian dahulu kiriman kali ini.

Bukit Peninjau di Relong

September 17, 2020

Pembukaan: Pantuan

Gua Bama nampak berbalam

Bukit Peninjau serawan jala

Macam mana hati tak sayang

Melihat adik menjeling manja.

Bukit Peninjau merupakan titik tertinggi di Kampung Relong, yang merupakan satu banjaran yang menjadi sempadan antara Kampung Relong dan Kampung Gua, juga sempadan Mukim antara Mukim Telang dan Mukim Gua.

Seperti yang kita lihat sepanjang perjalanan mendaki tadi kita bertemu dengan kebun sawit dan juga getah. Dua-dua komoditi ini merupakan sumber ekonomi penduduk kampung kita. Sudah pasti di celah-celah sawit dan getah itu ditanam juga dengan pokok buah buahan seperti durian dll.

Sebelum Merdeka (1957), bukit Peninjau merupakan laluan utama bagi penduduk Relong untuk keluar ke tempat lain. Laluan yang dimaksudkan ialah dari Ulu Relong (dekat kubur) mendaki Bukit Peninjau dan turun ke Kg Belukar seterusnya ke Sungai Damar, Kg Gua dan ke Pekan Sahari Padang Tengku. Saya pernah menggunakan laluan ini ketika balik dari Kg Keledek. Menaiki keretapi di Bukit Betong ke Padang Tengku, singgah di Pekan Sahari Padang Tengku, berjalan kaki ke Kg Gua seterusnya ke Sungai Damar dan Kg Belukar dan mendaki Bukit Peninjau untuk turun ke Ulu Relong.

Satu lagi jalan keluar ialah melalui Bukit Batu Pengali di Kuala Sungai Teris, mengambil boat atau perahu menghilir sungai Telang ke Sungai Jelai. Di Sungai Jelai kalau mudik boleh ke Bukit Betong dan Kuala Medang, kalau menghilir boleh ke Padang Tengku atau Kuala Lipis. Saya pernah menggunakan laluan ini semasa pergi ke Kg Keledek untuk majlis perkahwinan kekanda saya Cikgu Mohamad Ludin Said. Kami berjalan kaki dari Ulu Relong ke Bukit Batu Pengali, menaiki boat melalui Kuala Teris, Kuala Telang menyusur mudik Sungai Jelai ke Bukit Betong dan berjalan kaki ke Kg Keledek.

Bagi penduduk Kg Bapong dan sekitar, mereka boleh menggunakan jalan Bapong Berembang ke kg Balik Gua. Oleh itu bolehlah dikatakan bukit peninjau menjadi laluan utama bagi penduduk Kg Relong untuk membawa hasil pertanian ke pekan sahari Padang Tengku.

Sejarah laluan ini.

Sebelum merdeka ada sekali Almarhum Sultan Abu Bakar datang melawat kampung Relong dan baginda berjalan kaki mengikuti laluan dari Padang Tengku ke Kg Gua, ke Sungai Damar, Kg Belukar dan mendaki Bukit Peninjau dan turun ke Ulu Relong seterusnya ke Kg Relong.

Semasa komunis mengganas di kawasan ini, seorang bapa saudara saya iaitu adik kepada emak saya (Akob bin Hj Chu) telah dibunuh oleh pengganas komunis di laluan bukit peninjau ini. Ingat komunis sentiasa cuba untuk mengambil Tanah Melayu ini dengan kekerasan dan diwaktu mereka kalah komunis berusaha mendapat Tanah Melayu ini secara penerokaan haram.

Laluan ini tidak diguna lagi apabila terbina jalan dari Cheneras ke Relong seterusnya ke Padang Tengku. Jalan dibina oleh RIDA (Rural and Industrial Development Authority) selepas merdeka. Laluan Cheneras, Relong, Padang Tengku adalah laluan track sahaja. Hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda yang ketika itu dari jenama Land Rover. Jalan ini dirintis oleh sekumpulan anak muda yang di ketuai oleh Chu Daud bin Mat Amin.

Tahun 1961 laluan kedua pula di buat dengan membesarkan laluan pertama dan boleh dilalui oleh kenderaan biasa merupakan jalan tanah merah yang tidak bertar. Telah ada pengangkutan bas penumpang, maka perhubungan antara Relong dengan luar menjadi mudah.

Berbalik kepada pembayang maksud pantun tadi.

Gua Bama nampak berbalam

Bukit Peninjau serawan jala

Menunjukkan bahawa Bukit Peninjau lebih tinggi daripada Gua Bama. Bait pembayang pantun ini kononnya menggambarkan keadaan tanah Relong dan sekitarnya mengalami banjir besar. Ketika Gua Bama sudah tenggelam (nampak berbalam) Bukit Peninjau masih lagi timbul seluas serawan jala kalau di tebar. Ini merupakan pandangan orang tua dulu-dulu.

Saya cuba cari maklumat dari Google berkait dengan Bukit Peninjau, tiada maklumat diperolehi. Oleh itu sekiranya terdapat anak muda yang ingin membuat sumbangan bakti pengetahuan bolehlah menulis berkaitan bukit peninjau dengan memberi maklumat dari segi ketinggian, keluasan, titik rujukan dan lain-lain maklumat yang betul dari segi geografi.

Anak-anak muda semua perlu menginsafi bahawa leluhur (datuk nenek) kita yang membuka Kg Relong ini (tahun 1790 – tahun kedatangan Tok Linggi) atau sebelum dari tarikh itu telah berusaha dengan kudrat tulang empat kerat menggunakan kapak dan beliong untuk meneroka tanah di sekitar Kg Relong terutama di Bukit Peninjau ini. Semasa membuka hutan belentara ini sudah tentu mereka berhadapan dengan serangan binatang buas terutama harimau dll. Mungkin ada diantara anda yang punya cerita pengalaman datuk nenek yang menghadapi masalah ini. Apakah mungkin tanah yang ada ini nantinya tidak diteruskan pengurusannya. Jangan biarkan tanah lereng Bukit Peninjau ini menjadi semak dan kembali menjadi belantara.

Saya kongsikan satu cerita tentang beraninya orang Relong menghadapi harimau. Cerita ini saya perolehi dari Aruah ayah saya. Seorang yang mengusaha tanah di lereng Bukit Peninjau menanam jagung. Dia merebus jagungnya di cerang. Setelah jagungnya masak dia memasukkan jagung itu dalam gendung yang diikat pada pinggangnya. Dalam perjalanan pulang dia diterkam oleh seekor harimau. Harimau itu menekan peladang ini pada pokok berduri (seperti cucuh, pedor, salak dan rotan) atau pada reba. Setiap kali harimau itu membuat henyakan peladang itu akan meninggalkan setongkol jagung di tempat itu. Harimau itu akhirnya keletihan dan berhenti menghenyak peladang berkenaan.

Kini tiba giliran peladang itu pula merangkum kaki dan tangan harimau itu dan mengangkut harimau mengikuti laluan tadi. Apabila peladang itu nampak tongkol jagung dalam reba atau duri pedor, cucuh, salak atau rotan, peladang itu akan menghenyak harimau itu. Akhirnya harimau itu mengalah dan lari. Sudah pasti peladang itu mempunyai ilmu berkaitan harimau. Bagaimana dengan kita kalau bertemu harimau di dalam hutan.

Ada beberapa tempat di sebelah lembah bukit ini ditemui emas, seperti di ulu sawa dan lain-lain tempat. Mungkin boleh dibuat kajian tentang emas ini. Sebab kawasan lereng sebelah Kg Gua, Garok dan Berembang memang ada emas, takkanlah lereng sebelah Relong tidak ada emas. (kepada yang pandai mendulang, cuba buat eksperimen dengan mengambil tanah yang disodok oleh jentera yang membina CSR nanti dan ayak serta lenggang tanah itu, mungkin ada emas)

Sedikit masa lagi bukit peninjau ini akan di belah untuk membuat laluan CSR atau Lebuhraya Tulang Belakang. Tanah Bukit Peninjau di sepanjang CSR akan naik harganya. Orang kampung jangan terpedaya dengan tawaran yang tinggi kelak kita akan kehilangan tempat bertapak. Akhirnya kalau tidak berhati-hati, tanah air menjidi milik orang.

Kita ada dua pilihan;

  1. Membangunkan kawasan ini sebagai tempat rekrasi dan pelancungan bersama dengan Gua Bama
  2. Membangunan bidang agro pelancungan dengan menanam pokok buah buahan yang nantinya mudah memasarkan menggunakan infrastruktur CSR yang dikatakan akan membina RnR di Kg Relong.

Terima kasih kepada semua yg sudi mendengar Terima kasih semua yang menjayakan program eksplorasi ini.

Menjejak Rakan3

September 2, 2020

Tujuan mengwujudkan kumpulan wasap Dip Sc Ed 74-77 UPM adalah untuk mempertemukan kembali rakan rakan sepengajian yang telah tamat berkerja (guru – kebanyakannya) dalam satu kumpulan interaksi.

Selain itu mengeratkan silaturrahim setelah berpisah lebih dari empat dekad dalam kesibukan memikul amanah kerjaya masing-masing.

Juga untuk berkongsi pengalaman kerjaya, kehidupan dan suka duka yang telah dilalui semenjak bergraduat pada tahun 1977. Mudah-mudahan interaksi semasa tua ini boleh mengasyikkan perjalanan hidup yang hampir kepenghujung.

Disamping berkongsi persediaan untuk menuju ke alam abadi. Semoga persediaan dibuat boleh melayakkan kita semua menjadi teman akrab Rasulullah SAW di alam abadi nanti.

Setakat ini telah terkumpul 95 orang anggota. Dalam pada itu seorang sahabat dari Kedah telah kembali kerahmatullah. Sdra Azhar Hassan telah mendahului kami.

Kini kumpulan ini sedang berkongsi suka duka pengalaman yang sedang dilalui. Sahabat-sahabat teruslah menulis, membuat coretan serta mempamirkan kreativiti dalam bidang kumputer untuk tatapan sahabat. Cukut setak ini untuk kali ini. TK

Menjejak Rakan 2

Julai 27, 2020

Alhamdulillah selepas kehadiran Saudara Che Hassan diikuti dengan kedatangan Shahul, Sowi dan Saerah maka nama-nama rakan yang lain menyusul. Oleh kerana saya mempunyai satu group lagi iaitu group wasap Bacelor Sains (kep) Biologi maka saya telah membawa masuk rakan rakan seangkatan daripada Dip Sc Ed (Moe 74) kedalam group Dip Sc Ed ini. Antara nama yang dibawa masuk ialah Zulkapli Shahidan, Zulkifli Yaacob, Razali Mat Omar, Razali Baharom, Yassin Salleh, Mohamad Hj Deraman. Sdra Mohammad Draman membawa masuk isterinya Hjh Shahilah.

Kemudian usaha menambah berterusan dibuat dengan kemasukan sdra Yahaya Daud dan isteri (Rokiah Azian Kamaruddin), Zohedi Tau dan isteri (Ainun), Saudara Ahmad Hamid (Bang Man). Pertambahan seterusnya dibuat oleh ahli wanita melalui kumpulan lepasan Sekolah Menengah Kolam Air KL. Maka masuklah Noraini Amarjan, Harison Daud, Sariah Sidek dan Wan Noraini.

Saya berusaha menjejak rakan yang bersama menanda kertas SPM. Sdri Normah Jantan dapat dihubungi. Melalui beliau dapat dibawa masuk Datuk Seri Dr Musrifah Idris, Siti Fatimah Pilus, Lela Ibrahim, Suhaimi dan Isteri (Johara)

Saya membuat panggilan telefon kepada sdra Zakaria Iberahim dan meminta beliau membantu mencari. Dari beliau dapat dimasukkan Dr Safinah Saad. Saya juga meminta Sdra Zohedi Tau mencari rakan penal dan pemerika SPM iaitu Sdra Ashaari Mat Dali dan berjaya. Penggilan telefon dari Sdra Raja Kamarul Baharin kpd saya membolehkan dua rakan dibawa masuk iaitu Sdri Halimah Ismail dan Sdri Nor Akmal Ismail. Disamping itu rakan rakan dalam kumpulan terus memberi maklumat, Seterusnya dibawa masuk Siti Rahmah Buhairah, Siti Raudah Moh, Sdra Jalil Ahmad.

Berhenti di sini dulu.

Menjejak Rakan

Julai 24, 2020

November 2018 seorang rakan lama sesama belajar di UPM tahun 74 – 77 telah mengajak saya untuk menjejak rakan sekursus, Diploma Sains dengan Pendidikan. Saya setuju. Akhirnya kami berlima Raja Ahmad Shah, Khusairi, Ariffin Tabrani, Saya dan Sairan Othman berkongsi harapan untuk mengumpulkan rakan rakan sekursus.

Bergebanglah kami sesama kami malah tanpa menyedari bahawa sdra Sairan Othman telah kembali kerahmatullah Disember 2019. Nasib menyebalahi kami apabila kami dapat mengesan seorang rakan Sdra Che Hassan Mansor tiga minggu yang lalu.

Dengan bantuan Che Hassan maka kumpulan wasap ini telah berkembang menjadi 65 orang sehingga petang tadi. Ketika yang sama kami mendapat berita bahawa lebih 10 orang dari rakan kami telah kembali menemui ilahi. Kini usaha menjejak rakan diteruskan.

Sebagai makluman kumpulan ini terdiri daripada pelajar Diploma Sains dgn Pendidikan di UPM yang memasuki UPM tahun 1974 dan bergraduat di tahun 1977. Pada masa mendaftar jumlahnya ialah 250 orang. Pada masa bergraduat 127 orang. Selain dari sebahagiannya dipromote ke ijzah terdapat juga yang tercicir sepanjang perjalanan. Ada juga yang bertukar pengajian ke Universiti lain.

Cukup dulu untuk kiriman ini.

Dilindungi: Menyambung semula kiriman.

Ogos 22, 2018

Kandungan ini dilindungi kata laluan. Untuk melihatnya sila masukkan kata laluan di bawah.

12 Amalan Sunah Bulan Ramadhan Dari Rasulullah SAW

Mei 26, 2017

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [QS. Al-Baqarah (2): 183]

Berikut ini adalah amalan-amalan yang dianjurkan selama bulan Ramadhan sesuai sunnah Rasulullah SAW:

  1. Menyegerakan Berbuka Puasa

Apabila telah datang waktu berbuka puasa, hendaklah menyegerakan berbuka, kerana didalamnya terdapat banyak kebaikan. Rasulullah SAW bersabda :

 “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

  1. Melaksanakan Makan Sahur

Daripada Amru bin al-Aas RA bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Perbezaan diantara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (HR. Muslim).

“Makan sahurlah karena sesungguhnya pada sahur itu terdapat barakah.” (HR. Bukhari dan Muslim)

  1. Membaca Al-Qur’an (Tilawah)

Ayat Al-Qur’an diturunkan pertama kali pada bulan Ramadhan. Maka tidak heran jika Rasulullah SAW sering dan lebih banyak membaca Al-Qur’an di bulan Ramadhan dibandingkan di bulan-bulan lain.

Imam Az-Zuhri berkata, “Apabila datang Ramadhan, maka kegiatan utama kita selain berpuasa adalah membaca Al-Qur’an.” Bacalah dengan tajwid yang baik dan tadabburi, pahami, dan amalkan isinya. Insya Allah, kita akan menjadi insan yang barakah. Buatlah target untuk diri sendiri. Jika di bulan-bulan lain kita khatam membaca Al-Qur’an dalam dua bulan, maka misalnya di bulan Ramadhan kita boleh memasang target satu kali khatam. Lebih baik lagi jika ditambah dengan menghafal satu juz atau surat tertentu. Hal ini boleh juga dijadikan program utama bersama keluarga.

  1. Memberikan Makanan Berbuka Puasa (Ith’amu ath-tha’am)

“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu” (Shohih Nasa’i dan Tirmidzi)

Amal ibadah mulia ini dapat kita manfaatkan bersama tetangga atau anak-anak yatim yang bermukim disekitar rumah kita. Memberikan makanan ini hanya satu contoh yang dapat kita terapkan dalam hal berbagi rezki kepada sesama umat. Hal ini juga perlu dibiasakan, agar setelah selesai bulan Ramadhan, hal ini tidak punah begitu saja.

  1. Berdakwah

Jangan sia-siakan kehadiran Ramadhan kali ini. Sepanjang bulan Ramadhan kita punya kesempatan berdakwah karena pastinya suasana Ramadhan sudah sangat terasa dimana-mana dan tiap orang siap menerima nasihat.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar ; merekalah orang-orang yang beruntung” (QS. Al-Imran [3] : 104)

Namun pastikan jika kita memberi nasihat haruslah ada dalilnya. Sesuai dengan sabda Rasulullah saw: “Barangsiapa menunjuki kebaikan, baginya pahala sebagaimana orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun.”

  1. Solat Tarawih (Qiyamul Ramadhan)

Ibadah sunnah yang khas di bulan Ramadhan adalah solat tarawih (qiyamul ramadhan). Yang paling penting diingat ialah solat tarawih mesti dapat dilakukan walau di rumah sekali pun.

Rasulullah SAW pernah merasa khawatir karena takut solat tarawih dianggap menjadi solat wajib kerana semakin hari semakin banyak yang ikut solat berjamaah di masjid sehingga beliau akhirnya melaksanakan solat tarawih sendiri di rumah.

  1. I’tikaf

Inilah amaliyah Ramadhan yang selalu dilakukan Rasulullah SAW. I’tikaf adalah berdiam diri di masjid dengan niat beribadat kepada Allah SWT. Abu Sa’id Al-khudri meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW. pernah beri’tikaf pada awal Ramadhan, pertengahan Ramadhan, dan paling sering di 10 hari terakhir bulan Ramadhan.

Sayangnya, ibadah ini dianggap berat oleh kebanyakan orang Islam, jadi sedikit yang mengamalkannya. Hal ini dikomentari oleh Imam Az-Zuhri, “Aneh benar keadaan orang Islam, mereka meninggalkan i’tikaf padahal Rasulullah tidak pernah meninggalkannya sejak beliau datang ke Madinah sampai beliau wafat.”

  1. Lailatul Qadar

Dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang istimewa: lailatul qadar, malam yang penuh barakah. Malam itu nilainya lebih daripada seribu bulan. Rasulullah SAW amat menjaga-jaga untuk boleh meraih lailatul qadar. Maka, Beliau menyuruh kita mencarinya di malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Kenapa? Karena, “Barangsiapa yang solat pada malam lailatul qadar berdasarkan iman dan ihtissab, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” Begitu kata Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Bahkan, untuk mendapatkan malam penuh barakah itu, Rasulullah SAW. mengajarkan kita sebuah doa. , “Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii” (Ya Allah, Engkaulah Pemilik Ampunan dan Engkaulah Maha Pemberi Ampun. Ampunilah aku).

  1. Umrah

Jika Anda punya rezeki cukup, pergilah umrah di bulan Ramadhan. Karena, pahalanya berlipat-lipat. Rasulullah SAW. berkata kepada Ummu Sinan, seorang wanita Anshar, agar apabila datang bulan Ramadhan, hendaklah ia melakukan umrah, karena nilainya setara dengan haji bersama Rasulullah SAW. (HR. Bukhari dan Muslim)

  1. Bertaubat

Selama bulan Ramadhan, Allah SWT membukakan pintu ampunan bagi seluruh hambanya. Karena itu, bulan Ramadhan adalah kesempatan emas bagi kita untuk bertaubat kembali ke fitrah kita. Lakukanlah solat sunat taubat dan banyakkan istighfar.

  1. Zakat Fitrah

Zakat fitrah wajib dibayarkan sebelum hari Ramadhan berakhir oleh umat Islam, baik lelaki-perempuan, dewasa maupun anak-anak. Tujuannya untuk mensucikan orang yang melaksanakan puasa dan untuk membantu fakir miskin.

  1. Sedekah

Ibnu Abbas RA, berkata : “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadhan. Rasulullah SAW ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus. (HR Bukhari dan Muslim) Hadits ini diriwayatkan pula oleh Ahmad dengan tambahan: “Dan beliau tidak pernah dimintai sesuatu kecuali memberikannya. “

Itulah beberapa amalan ibadah mulia yang diajarkan oleh Nabi besar kita Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan. Semoga kita dapat mengerjakan semua amalan ibadah tersebut dengan niat ikhlas dan mengharap redha HANYA dari Allah SWT. Amiin. Wallah wa’lam.

 

SELAMAT DATANG KE MADRASAH RAMADHAN

Mei 14, 2017

Alhamdulillah, bersyukur kita kerana masih dipanjangkan umur, untuk dipertemukan lagi dengan Ramadhan kali ini. Semoga kita sama-sama dapat manfaatkan bulan mulia penuh barkah ini dengan mempertingkatkan amalan supaya lebih dekat kepada Pencipta kita, Allah SWT.

Tujuh atau Lapan hari lagi kita akan berpuasa. Bagi yang biasa melakukan puasa sunat, mungkin tiada masalah untuk menghadapi bulan Ramadhan ini. Tapi bagaimana pula dengan mereka yang sebaliknya? Bagi mereka yang jarang sekali menunaikan ibadah puasa sunat, mungkin mereka akan merasa sedikit kepayahan dalam berjuang melaksanakan puasa wajib Ramadhan.

Jadi apa pula ubat yang dapat memberi suntikan semangat kepada kita supaya dapat menjalani puasa dan ibadat Ramadhan ini dengan penuh kecergasan, agar tidak kehabisan tenaga, tidak patah semangat di tengah perjalanan dan juga tidak tersungkur di tengah musim atau di penghujungnya.

Marilah sama-sama kita hayati perkara-perkara berikut yang mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk mendapatkan suntikan semangat dalam melaksanakan kewajipan berpuasa ini dengan jayanya bagi meraih TAKWA:

(1) Ikhlas dalam menjalani ibadat puasa kerana Allah SWT.

Ikhlas merupakan kunci penerimaan semua ibadat dan taufik Ilahi. Segala ibadah yang dilakukan ikhlas kerana Allah SWT pastinya akan diberikan ganjaran setimpalnya dari Allah SWT. Dengan wujudnya rasa ikhlas kerana Allah SWT semata-mata, insha Allah segala amal ibadah kita akan dipermudahkan-Nya. Firman Allah yg bermaksud: “Pada hal mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya…” ( Al-Bayyinah: 5)

(2) Menyedari hakikat betapa banyaknya pahala yang menunggu buat orang-orang yang berpuasa, antaranya:

  1. Di Hari Qiamat nanti, ianya dapat memberi syafaat kepada orang yang berpuasa supaya dapat masuk ke Syurga.
  2. Adanya satu pintu di Syurga yang dinamakan Ar-Ryan, yang mana hanya orang yang berpuasa sahaja yang dibenarkan masuk ke Syurga melalui pintu itu.
  3. Puasa Ramadhan menghapuskan semua dosa sebelumnya.
  4. Di bulan Ramadhan, semua pintu Syurga dibuka, dan semua pintu neraka ditutup.
  5. Doa orang yang berpuasa tidak ditolak oleh Allah SWT.
  6. Para Bidadari berdoa untuk mendapat para suami dikalangan orang yang berpuasa.

(3) Mengetahui keberkatan bulan Ramadhan, antaranya:

  1. Dapat merasai kekuatan iman bagi mereka yang berpuasa.
  2. Dapat merasa kekuatan jasmani walaupun tidak makan dan tidak minum sepanjang hari.
  3. Dapat merasa keuntungan masa (sehari beramal dalam bulan Ramadhan rasanya tidak tertampung oleh amal seminggu dalam bulan yang lain).
  4. Keberkatan bulan Ramadhan, kerana bulan yang telah diturunkan padanya Al-Qur’an.

(4) Mengetahui kelebihan bulan Ramadhan, antaranya:

  1. Di sisi Allah SWT, bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum dari bau kasturi.
  2. Malaikat beristighfar untuk orang yang berpuasa.
  3. Allah menghiasi Syurga-Nya setiap hari dalam bulan Ramadhan.
  4. Malam Al-Qadar yang pahala dan berkat ibadat padanya melebihi seribu bulan.
  5. Pengampunan Allah SWT kepada orang yang berpuasa di malam terakhir Ramadhan.

(5) Mengetahui usaha para sahabat dan para solihin terdahulu dalam melakukan ketaatan di sepanjang Ramadhan.

  1. Mereka mengetahui kelebihan bulan Ramadhan dan berusaha dengan penuh daya menghidupkan malam-malamnya dengan melaksanakan solat sunat tarawih, solat sunat witir, dan membaca serta bertadarus Al-Qur’an.
  2. Rasulullah SAW bersama para sahabat berpuasa dan berperang dalam bulan Ramadhan, iaitu Perang Badar dan Perang Pembukaan Makkah.
  3. Para sahabat seperti Hamzah Abd Mutalib, Abdullah bin Abi ‘Atik serta Khalid Al Walid mengetuai peperangan dizaman Rasulullah SAW.

(6) Mengetahui Ramadhan merupakan bulan menguji kesabaran.

Dalam menjalani ibadah puasa, kita dikehendaki menahan diri daripada makan, minum, serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Ini bermakna kita diuji dengan tahap kesabaran supaya dapat menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang kebiasaanya kita lakukan. Sangat beruntunglah mereka yang berjaya dalam ujian itu.

Itulah Ramadhan, bulan yang menjanjikan kelebihan dan keberkatan, bulan yang menjanjikan pahala yang berlipatganda, bulan yang menjanjikan keampunan perbuatan dosa dan kesalahan sebelumnya. Itulah madrasah Ramadan yang akan membukan pintunya. Institusi pendidikan Rabbani yang menjanjikan kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Setiap muslim yang mukallaf diwajibkan memasukinya. Setiap orang yang telah terdidik di madrasah Ramadan ini terjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

Graduan-graduan yang lulus dari madrasah Ramadhan akan menjadi:

(a) Insan yang bertaqwa, kemuncak iman seorang hamba kepada penciptanya,pemangkin diri yang menujahnya kearah mencintai kebaikan dan menjauhkan diri dari kejahatan.

(b) Insan yang penyabar, insan yang sudah teruji daya ketahanan dirinya, tidak akan mudah terdorong oleh pujukan syaitan, tidak akan mudah terdorong oleh nafsu serakahnya.

(c) Insan yang punya semangat jihad yang tinggi, mampu menerima tanggungjawab dan amanah membangunkan agama dan ummat.

(d) Insan yang insaf, terpanggil dengan kesusahan orang lain, merasa prihatin dengan jeritan fakir miskin lantas tangan kanannya menghulurkan bantuan tanpa disedari oleh tangan kirinya.

(e) Insan yang bersih hatinya dari melintasi fantasi durjana. Bersih anggotanya dari kerja-kerja berdosa dan sia-sia. Tunduk matanya dari memandang perkara-perkara haram yang terlarang. Kelu lidahnya dari menutur perkataan buruk dan terkutuk. Tuli telinganya dari mendengar siulan dan dendangan irama neraka.  Kaku kakinya dari melangkah ke dunia durjana dan pendek  tangannya dari meraih perkara yang bukan haknya.

Jadi, gunakanlah segala kesempatan di sepanjang Ramadhan ini untuk membina jati diri, keazaman yang murni  dan ketaqwaan yang hakiki. Semoga Ramadhan tahun ini memberikan kita sejuta erti dalam mencari keredhaan Allah SWT, meluruskan jalan ke taman Syurga yang abadi, memperkasakan lagi sifat kehambaan kita kepada Ilahi. Wallah wa’lam

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN

Mei 8, 2017

Sesungguhnya, Ramadhan merupakan bulan jaminan kemenangan yang sudah pasti bagi setiap pejuang. Bukan menang berlawan, berperang atau bertaruh, tetapi lebih dari itu, kemenangan yang pasti di bulan Ramadhan adalah merupakan kemenangan terbesar buat mereka yang “menghidupkan” Ramadhan dengan sebenar-benarnya.

Kemenangan yang dimaksudkan di sini tidak lain tidak bukan ialah kemenangan ke atas syaitan, kemenangan ke atas nafsu syahwat, dan juga kemenangan ke atas sebarang kejahatan. Kerana itulah juga, kehadirannya disambut dengan perancangan yang teratur. Bukan rancangan mengatur menu makanan dan hidangan, bukan rancangan menempah pakaian hari raya yang akan menjelang, tetapi persediaan iman, persediaan doa dan persediaan ilmu.

Segala perancangan hendaklah dibuat dengan rapi, dan haruslah merangkumi pelbagai aspek. Perancangan ini amatlah penting kerana ianya akan digunapakai di sepanjang Ramadhan, bagi meraih keuntungan yang dijanjikan, iaitu “Taqwa”, teman setia seorang hamba dalam perjalanan menemui Tuhannya. Maksud firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.Baginda Rasulullah SAW ketika menyambut kehadiran bulan yang mulia ini ada bersabda (maksudnya): “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, selamat datang Ramadhan!” (Riwayat Al-Baihaqi).

Menceritakan tentang kegembiraan menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak, At-Tabrani meriwayatkan daripada Anas R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. sering berdoa sebelum ketibaan Ramadhan, bermula daripada masuknya bulan Rejab. Antara doa yang selalu diucapkan baginda ialah (maksudnya): “Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”.
Apabila mendekati bulan Ramadhan yang mulia, maka Rasululllah S.A.W kerap mengulang penghujung doa tersebut, “Allahumma Ballighna Ramadhan” (Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan). Maka tidak hairanlah jika kedengaran bergemanya di serata dunia doa orang-orang yang beriman, “Allahumma Balllighna Ramadhan”, mendoakan agar dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah SAW dididik dengan tema yang agung ini- “Allahumma Ballighna Ramadhan”. Kesannya, mereka menanti dan menyambut Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Dan kemudiannya, selama enam bulan selepas Ramadhan pula, mereka menangis kerana berlalunya Ramadhan sambil memperbanyakkan berdoa agar Allah SWT menerima semua amalan yang telah mereka kerjakan sepanjang Ramadhan. Ini bererti, benih ketaqwaan Ramadan bercambah dalam hati dan jiwa mereka. Sedangkan kita?? Bagaimanakah halnya dengan kita?

Jika kebiasaannya tetamu yang datang berkunjung ke rumah disambut dengan penuh gembira, malah persiapan lebih awal dibuat bagi menyambut ketibaannya, maka begitulah juga “layanan” dan sambutan yang perlu kita berikan kepada bulan Ramadhan. Kedatangan bulan mulia ini sebagai “tetamu” agung umat Islam turut membawa bersamanya keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat. Dengan kelebihan-kelebihan yang dimiliki bulan Ramadhan ini, maka wajarlah ianya dijadikan pendorong kepada kaum muslimin untuk menggandakan amal ibadat mereka, dan pastinya kegembiraan menyelubungi mereka yang benar-benar beriman.

Lalu bagaimanakah caranya kita harus menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Apakah yang perlu kita lakukan? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramadhan kali ini. Persediaan ini haruslah merangkumi setiap aspek, baik jasmani mahupun rohani, fizikal dan juga spiritual. Banyak persediaan yang boleh kita rancangkan dan lakukan, termasuklah:

IMAN:

  1. Bertaubat dengan taubat yang bersungguh-sungguh.
  2. Berazam meninggalkan segala maksiat.
  3. Sentiasa berdoa “Allahumma Ballighna Ramadhan”.
  4. Perbanyakkan puasa di bulan Syaaban.
  5. Membaca Al-Qur’an (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).
  6. Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).
  7. Berzikir setiap masa.
  8. Membaca Al-Ma’thurat pagi dan petang.

ILMU:

  1. Mempelajari hukum-hukum dan perkara-perkara yang bersangkutan dengan ibadah puasa, agar ibadah puasa itu dapat dijalankan dengan betul dan diterima oleh Allah SWT.
  2. Membaca buku-buku penyucian jiwa.
  3. Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.
  4. Mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal, sebagai persediaan solat samada sebagai imam atau makmum di bulan Ramadhan.

DAKWAH:

  1. Bersedia untuk memberi tazkirah atau ceramah tentang kelebihan bulan Ramadhan.
  2. Meluangkan masa menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid samada sebagai penceramah atau pendengar.
  3. Mengingatkan orang lain tentang kepentingan membuat persediaan bagi menyambut kedatangan Ramadhan.
  4. Menyediakan risalah atau majalah kecil untuk orang ramai tentang persediaan menyambut Ramadhan.

KEAZAMAN:

  1. Membuka dan memulakan amalan baru yang jauh lebih baik dari sebelumnya.
  2. Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.
  3. Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.
  4. Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya.
  5. Sentiasa berlapang dada.
  6. Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.

JIHAD:

  1. Merealisasikan matlamat “bersungguh-sungguh melawan nafsu”.
  2. Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (pakaian, tidur).
  3. Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.
  4. Menahan syahwat dari perkara yang haram.
  5. Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.

“Allahumma Ballighna Ramadhan” merupakan doa dan harapan, menunjukkan betapa hamba-hamba yang soleh mengidam dan tamakkan limpahan Allah (Rahmat, Keampunan dan Pelepasan dari Neraka) dalam bulan ini. Para ulamak dan solihin terdahulu bersiap menunggu kedatangan Ramadhan bagi tujuan mengharapkan keampunan Allah pada sepanjang Ramadhan. Oleh itu, kita hendaklah menghargai bulan Ramadhan yang bakal tiba beberapa hari lagi ini dan tidak mensia-siakannya dengan membiarkannya berlalu tanpa dimanfaatkan. Semoga Ramadhan tahun ini lebih bermakna dari Ramadhan yang sebelumnya…   Wallah wa’lam.