Bersahur
Daripada Anas, bahawasanya Nabi SAW, bersabda ia: “Makan sahur sekelian kamu, maka bahawasanya pada sahur itu ada berkat. (Hasan Sahih).
Hadis ini menekankan bahawa orang yang berpuasa itu hendaklah makan sahur. Ijma’ Ulamak mengatakan bahawa sahur itu sunat. Ertinya bersahur itu dapat menambah pahala apatah lagi nilai perbuatan sunat di bulan Ramadhan menyamai nilai satu fardhu dibulan yang lain. Sunat juga mentakhirkan sahur. Adapun berkat makan sahur itu pada zahirnya adalah bagi menguatkan kita ketika berpuasa, merajinkan dan memberi cergas akan badan. Hasilnya kita bertambah suka berpuasa kerana sahur meringankan beban puasa.
Berkat bersahur pada amalannya selain itu ialah memberikan kita peluang berjaga malam untuk berzikir, berdoa, bertaubat, bersolat serta membaca Al Quraan pada malam-malam di bulan Ramadhan. Bersahur itu juga membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi. Bersahur juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Ertinya apabila kita berbuat sesuatu mengikut sunnah Rasulullah SAW mak kita akan diberikan ganjaran pahala juga.
Allah SWT telah mensyariatkan sahur bagi orang Islam ketika hendak melakukan puasa pada hari esoknya bagi menggalakkan umat Islam bangun waktu dinihari. Bangun sahur bukan sekadar untuk makan tetapi juga untuk mengambil peluang melakukan zikrullah, membanyakkan tasbih, tahmid, solat tahjud, membanyakkan istighfar, bertaubat serta membaca Al Quraan. Kalau orang masa ini boleh bangun malam sewaktu ada siaran langsung pertandingan bola sepak piala dunia, mengapa tidak sepanjang Ramadhan ini kita ambil peluang ini untuk membanyakkan pahala. Umumnya ramai yang boleh bangun waktu malam untuk tujuan yang lain selain daripada beribadat kepada Allah SWT. Semoga umat ini dapat mengambil contoh dan tauladan dari Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang dapat memanfaatkan waktu mlam untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Jadilah umat Islam masa kini seperti yang digambarkan kepada umat Islam masa dahulu sebagai “Ruhban nu laili fursan nun nahar” (Ahli ibadat di waktu malam dan singa yang berani diwaktu siang).
Makan sahur itu dikira beribadat, juga zikrullah, tasbih, tahmid, tahajud serta membaca Al Quraan juga ibadat. Oleh itu bersahur itu memberi peluang umat Islam berlumba-lumba beribadat bagi mendapatkan Lailatul Qadar yang diyakini ada pada salah satu malam di bulan Ramadhan.
Kepada mereka yang belajar sama ada untuk mengambil peperiksaan atau apa-apa ujian, bangun bersahur memberi peluang untuk mendapatkan masa bagi melakukan ulangkaji. Apatah lagi belajar itu juga dikira ibadat apabila diniatkan sebagai ibadat. Belajar atau mencari ilmu itu adalah wajib atau fardhu kepada setiap orang Islam. Melakukan satu perkara fardhu di bulan Ramadhan akan diberikan ganjaran menyamai 70 kali ganda melakukan amalan fardhu di bulan yang lain. Oleh itu melakukan ulangkaji sepanjang Ramadhan dikira sebagai beribadat serta menambah berkat kepada usaha pencarian ilmu pengetahuan dan mendapat ganjaran pahala 70 kali ganda berbanding di bulan yang lain. Semoga sahur yang kita lakukan sepanjang Ramadhan tahun ini memberi kita berkat yang berlipat kali ganda.
Semoga kita sentiasa dipandu oleh Allah SWT dalam melalui latihan Ramadhan tahun ini. Sekian TK.