Lompat ke isi kandungan

Lagenda Gua Bama, Relong

Disember 15, 2014

1.O PENGENALAN
Bagi masyarakat tempatan (Penduduk Kampung Relong dan sekitarnya) Gua Bama (biasa juga disebut Gua Relong) tidak perlu dibuat pengenalan pengenalan lagi, malah beritanya tersebar melampaui perbatasan daerah dan negara. Namun demikian sedikit sahaja yang mengetahui cerita-cerita tertentu tentang gua ini, khususnya mengenai asal usulnya. Lantaran itu, disamping memberi sedikit gambaran gua ini kepada mereka yang ingin mengetahuinya, kami sertakan juga cerita lagenda mengenainya sekadar penyambung tradisi warisan belaka.

2.0 KEDUDUKAN
Terletak di sebelah timur Kampung Relong di atas kawasan kira-kira 20 ekar. Tingginya dianggarkan 800 kaki dari aras laut. Kalau memandu kereta dari Lipis ke Padang Tengku, bukit batu kapur ini dapat dilihat di sebelah kanan Jalan Persekutuan nombor 8. Terdapat dua bukit satu kecil (Jantan) dan satu lagi besar (Betina)

3.0 LAGENDA
Orang-orang dahulu (Jaman Rentu) mempunyai cerita (versi) tersendiri mengenai “kejadian” gua ini. Menurut ceritanya asal gua ini adalah dari dua buah “bangunan” (rumah?) [Kini dikenali dengan Gua Jantan – kecil dan Gua Betina – besar]. Satu ketika berlangsung majlis perkahwinan yang cukup istiadatnya di dua buah rumah itu. Ketika itu lalu suatu makhluk yang dikenali sebagai Sang Kelembai (setengah tempat mengelarnya Sang Gedembai) dan ditegurnya majlis itu, lalu rumah-rumah itu menjadi batu. Bukti adanya majlis perkahwinan itu dapat dilihat didalam gua dimana batu-batu yang menyerupai orang bersanding, gong, katil, dan bantal boleh dijumpai.

Batu yang ditegur oleh Sang Kelembai itu membesar seperti yang kita dapati sekarang. Lama kemudian gua ini didiami oleh sekumpulan manusia kira-kira 200 – 300 orang diketuai oleh Malik (dipercayai dari Indonesia). Kemudian mereka didatangi oleh peniaga Cina bernama Serajut Gigi bersama keraninya Ramalingam. Persitiwa berikutnya ialah bah besar. Diibaratkan gua itu tenggelam hanya nampak berbalam-balam (riang-riang) dan tempat yang berhampiran yang masih belum tengelam ialah Bukit Peninjau. Tempat yang belum tenggelam ialah sebesar serawan jala. Kesanalah mereka pindah. Dari lagenda itu timbullah pantun berikut:

Gua Bama nampak berbalam
Bukit Peninjau serawan jala
Macam mana hati tak goyang
Melihat adik menjeling manja

Bila banjir surut mereka yang menghuni Gua Bama kembali semula ke gua. Tidak lama kemudian sekumpulan penyamun / perompak yang diketuai oleh Haraman datang menyerang masyarakat yang mendiami Gua Bama ini dan tercetuslah peperangan. Lenyaplah kumpulan pertama penghuni Gua Bama. Generasi yang disurahkan di atas diganti pula oleh sepasang suami isteri Meradan (Medan) Salleh dan Mak Inang beserta empat orang puteri dan dibantu oleh Pendekar Yaman (penglima). Mereka mendiami kawasan sekitar gua. Dipercayai keturunan dari merekalah yang telah berkahwin dengan Tok Linggi (Pembuka Perkampungan Relong) dan pengikutnya sekitar tahun 1780’an.

Kehadiran Tok Linggi ini mempunyai bukti sejarahnya tersendiri dan bukan satu lagenda kerana masih terdapat makam Tok Linggi berhampiran Kuala Relong atau Bawah Binjai dan juga terdapatnya ‘terembe’ yang menunjukkan salsilah keturunan Tok Linggi hingga ke hari ini. Malah majoriti yang mendiami Kampung Relong dan sekitarnya adalah dari keturunan Tok Linggi ini.

Nama Bama ini berkait rapat dengan seekor harimau penjaga kawasan Relong dan sekitarnya yang bernama Bujang Bama. Pawang pertama yang memeliharanya ialah Pawang Tamat. Harimau ini bergilir-gilir dijaga oleh Pawang-pawang sehinggalah Bujang Bama mati di Nenggiri, Kelantan. Tempat Bujang Bama ini diambil alih oleh oleh Bujang Hitam dan Tok Keghuh (masih ada sehingga kini). Tetapi sebelum Bujang Bama penjaga gua ini dikatakan seekor beruk besar. Dia bertugas menjaga Gua Bama dan sekitarnya.

4.0 KEISTIMEWAAN DAN TEMPAT DIANGGAP MENARIK
Di puncak bukit batu kapur (Gua Bama) ini anda boleh mendapat pemandangan menyeluruh kawasan sekitarnya iaitu Kampung Relong, Bapong, Berchang dan Berang. Sekiranya bernasib baik atau anda seorang yang ‘istimewa’ anda boleh ketemu dengan padang rumput dan kolam mandi (tempat puteri bersiram). Anda juga boleh menjelajah dan bertemu dengan sesuatu yang menarik.

Di bawah, pertamanya, berhampiran di kaki tangga besi antara dua bukit batu kapur, terdapat satu lubang kecil (di gua Jantan) yang hanya boleh dimasuki oleh seorang yang sederhana saiz badannya. Lubang itu adalah bukaan kepada satu gua yang di dalamnya terdapat tempat orang bertapa. (Gua ini dinamakan Gua Bertapa) Manakala di belakang bukit batu kapur ini terdapat satu lubang gua yang besar yang diberi nama Gua Bama. Di sebelah kanan pintu gua terdapat tempat pembaringan Bujang Bama. Di sebelah dalamnya pula terdapat batu seperti orang bersanding, gong, katil dan susunan bantal, tetapi untuk sampai ke situ perlu membawa lampu suluh kerana keadaanya gelap. Di sebelah kiri pintu gua terdapat struktur seperti seekor gajah dan di dasar gua kita boleh bertemu dengan struktur seperti kura-kura. Oleh kerana itu lubang gua ini juga diberi nama lapang muzium. Mungkin masih ada lagi perkara yang belum dijumpai dan diketahui. Selain dari dua nama gua yang dinyatakan di atas (Gua Bertapa dan Gua Bama) terdapat beberapa gua yang lain iaitu, Gua Kepayang, Gua Gelap, Gua Belimbing dan Gua Mengesot.

5.0 BAGAIMANA KE SANA
Jika anda dari Kuala Lipis, kira-kira di Bukit Bapong anda boleh melihat bukit batu kapur itu di sebelah kanan dan bila sampai ke Km 289 KB anda boleh membelok ke kanan memasuki jalan kecil terus ke kaki Gua Bama. Papan tanda di tepi jalan memudahkan pengunjung.

Perjalanan ke puncak mungkin mengambil masa sekitar 20 – 30 minit. Perjalanan dipermudahkan dengan adanya tangga simen sehingga ketangga besi antara dua bukit batu kapur (Gua Jantan [kecil] dan Gua Betina [besar]. Selepas tangga besi anda ada dua pilihan sama ada menaiki tangga dan terus ke puncak bukit batu kapur atau turun ke belakang bukit untuk pergi ke Gua Muzium. Satu struktur batu tergantung pada bukit batu kapur yang kecil menjadi tanda mengapa bukit batu kapur itu dinamakan Gua Jantan. Manakala banyak lubang yang terdapat pada bukit batu kapur yang besar menjadi tanda mengapa dinamakan Gua Betina.

6.0 MASA DEPAN GUA INI
Kita percaya dan menyokong untuk gua ini dikekalkan sebagai sumber keindahan alam yang apabila dirosakkan tidak boleh lagi diganti. Selama 10 tahun yang lalu (tahun 60’an) sebahagian kecil gua ini telah cacat kerana aktiviti pemacahan batu (kuari) dan kecacatan ini paling jelas dan kesannya akan berkekalan. Kita tentunya tidak mahu melihat ada lagi percubaan dibuat untuk menodai gua kesayangan kita ini. Dalam pertimbangan apa sekalipun faktor sentimental, keindahan alam sekitar, flora dan fauna janganlah dikorbankan demi kepentingan kebendaan kerana makna pembangunan juga termasuk pembangunan rasahati dan pembangunan insan seutuhnya.

Bukit batu kapur, Gua Bama ini, selain menjadi tarikan pelancungan juga boleh menjadi lokasi kajian sejarah ‘purba’ dan tapak kajian flora yang bernilai perubatan. Telah ada kajian dilakukan kepada spesies tumbuhan yang endemik hidupnya di atas batu kapur. Satu spesies, Paraboea caerulescens telah dijumpai di atas bukit batu kapur ini. Pokok herba yang unik ini menimbunkan kalsium di daunnya.

Di sekitar Gua Bama ini terdapat banyak pokok herba yang bernilai untuk tujuan perubatan. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam. Terdapat dua jenis pokok unik iaitu pokok sepang, yang air rebusan batangnya boleh dijadikan perisa dan pewarna minuman dan pokok kepayang, yang buahnya boleh dibuat cembang kepayang dan juga menghasilkan minyak kepayang.

7.0 PENGHARGAAN
Pihak penyusun merakamkan setinggi penghargaan kepada orang perseorangan yang berkerjasama bagi membolehkan kami menulis risalah ini, tanpa mereka kemungkinan besar usaha ini tidak berhasil.
“Bagi mereka yang belum pernah menaiki bukit batu kapur ini, mengapa tidak mencubanya dan beritahulah kawan anda, mungkin dia juga bercita-cita untuk menaikinya. Membaca risalah ini masih belum membuat anda mengenali gua ini. Cara mengenalinya ialah mencuba sendiri. Selamat mendaki!!

Dari Kami
Zahari Haji Uda
Abd Hamed Haji Akob
Yusof Ibrahim
Ogos 1977.

No comments yet

Tinggalkan komen