Lompat ke isi kandungan

Kampung Al Quran

Disember 26, 2014

KAMPUNG AL QURAN
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi (s.a.w.)” (Hadis Riwayat Imam Malik).
Hadis ini mengandungi:
(1) Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w. yang kekal abadi.
(2) Kitab Allah dan sunnah Nabi s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia.

Pertama: Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w.:
Baginda s.a.w. tidak meninggalkan harta benda yang menjadi pusaka kepada waris-warisnya. Sebagai seorang Rasul, Baginda s.a.w. diberi mukjizat-mukjizat yang membuktikan kerasulannya dan mukjizat-mukjizat itu habis apabila berlalu masanya, tidak dapat disaksikan oleh orang-orang kemudian, kecuali satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat, yang lebih berguna dari harta benda, bukan sahaja untuk waris-warisnya bahkan untuk umat manusia seluruhnya dalam segala tempat dan segala zaman. Peninggalannya itu ialah “Kitab Allah Al Qur’an” yang diwahyukan kepada Baginda dan “Sunnah”nya yang meliputi, perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya) yang dirakam sebagai Hadis.

Kedua: Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia:
Jaminan keselamatan yang diberi melalui “Kitab Allah” dan “Sunnah RasulNya” itu ialah dengan jalan tiap-tiap seorang mengamalkan sendiri segala ajaran keduanya, iaitu menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya; bukan dengan jalan menyimpan keduanya di rumah untuk diambil berkat sahaja, bukan dengan jalan dibaca dengan tujuan yang lain daripada mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla dan bukan pula dengan cara menumpang amalan orang lain, walau pun di antara anak dengan ayah, atau di antara isteri dengan suami; tidaklah seperti keadaan keselamatan dalam alam nyata ini, yang biasanya seseorang yang lebih kuasanya boleh memberi perlindungan selamat kepada orang lain yang ia kehendaki. Usaha untuk mencapai keselamatan yang sejati ialah berpegang teguh kepada ajaran-ajaran kitab Allah dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w.

Menyedari hakikat bahawa kita berkehendak agar kita berbahagia dan berjaya di dunia dan di akhirat, maka kita perlulah mendampingkan diri kita dengan Al Quran serta mengambil teladan dari kehidupan Rasulullah s.a.w.
Mendamping diri dengan Al Quran serta Sunnah Rasulullah s.a.w. tidak boleh dibuat secara bersendirian, tetapi perlu diusaha bersama-sama dalam satu komuniti kampung. Bagaimanakah kita hendak mendampingkan diri kita dengan Al Quran serta Sunnah Rasulullah s.a.w.?

Bagi memudahkan usaha mendampingkan diri dengan Al Quran dan Sunnah Nabi kita perlu mempelajari, memahami serta menghayati ajaran dari al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Kalau kita teliti hadis Rasulullah s.a.w. kita akan bertemu dengan hadis yang bermaksud seperti berikut:.

Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu langkah permulaan untuk mendampingkan diri kita dengan Al Quran dan Sunnah Nabi ialah dengan mempelajari Al Quran jika kita tidak pandai dan mengajar Al Quran kepada orang lain sekiranya kita pandai. Agar dengan itu kita menjadi manusia yang baik di sisi Allah SWT.

Belajar seorang-seorang biasanya akan cepat bosan, kerana itu kita perlu belajar secara berjemaah yang melibatkan semua ahli komuniti, melibatkan seluruh warga kampung, sehingga seluruh kampung bersama-sama belajar Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Sehingga setiap rumah dikunjungi oleh malaikat.

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air.” Seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat tersebut?” Jawab Nabi s.a.w., ”Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran. Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.”

Apabila semua kita sudah pandai membaca Al Quran dan Hadis Nabi kita berusaha memahami apa yang dipelajari dan mengamalkannya, ketika itu Allah SWT akan menurunkan sakinah dan rahmat Nya kepada seluruh penduduk kampung yang dibarkati Nya.

Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata: “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut.” Maka Baginda SAW bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Untuk mencapai keadaan ini kita perlu berusaha menjadikan kampung kini sebuah kampung yang penduduknya sentiasa berusaha mempelajari, memahami dan menghayati Al Quran dan Sunnah Nabi yang kita panggil KAMPUNG AL QURAN.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: