Skip to content

Ramadhan 7

September 9, 2008

Dalam posting Ramadhan 6, aku telah ceritakan nostalgia kami sekeluarga menyambut kedatangan Ramadhan masa aku kecil-kecil dahulu. Ada satu lagi persediaan yang dibuat tetapi ini adalah peringkat kampung, bukan peringkat keluarga. Persediaan ini perlu dibuat memandangkan kampung aku ketika itu tiada surau atau balaisah. Setiap hampir tibanya Ramadhan penduduk kampung aku (32 keluarga semuanya) akan berpakat mendirikan balaisah yang akan digunakan untuk solat tarawikh.

Tapak balaisah itu tidak tentu, ada tahunnya jauh dari rumah aku, tetapi biasanya dibuat berhampiran dengan rumah ku. Ini adalah kerana ayah aku akan menjadi imam setiap malam semasa solat isyak dan solat tarawikh. Balaisah itu tidaklah besar tetapi cukup untuk menampung semua penduduk kampung aku daripada 32 keluarga yang ada.

Masa itu peruntukan dari kerajaan tiada lagi untuk bina surau yang kekal walau pun negara sudah merdeka beberapa tahun. Oleh itu penduduk kampung yang kreatif serta berkemahiran hidup dikampung akan menggunakan kreativiti dan skill mereka membina balaisah itu. Peruntukan wang tiada, tetapi bahan tersedia banyak disekitar kampung.

Pada hari yang ditetapkan dalam bulan Syaaban penduduk kampung aku akan bergotong royong pergi meramu (mencari) rotan dihutan yang agak jauh dari kampung, lebih kurang setengah jam berjalan. Rotan akan dibawa kembali ketempat dimana balaisah akan dibina. Rotan itu akan dibelah dan diraut mengikut keperluan. Ada rotan akan dijadikan penyirat atap, ada rotan diraut untuk menjadi pengikat gelgar, kasar jantan, pengikat lantai. Semua rautan rotan ini mempunyai saiz dan panjang yang berbeza.

Pada hari yang lain sekumpulan penduduk akan ke belukar yang tidak jauh dari rumah kami untuk mencari kayu untuk dibuat tiang, alang, kasar, kasar jantan, tunjuk langit, belebas dinding, gelgar dan lain-lain keperluan kayu. Sekumpulan lain pula akan pergi mencari atap dan menganyamnya. Atap dibuat daripada daun pedor (bertam). Manakala lantai biasanya dibuat daripada batang pinang yang dibelah atau pelepah pedor yang besar atau mungkin juga buluh.

Apabila semua peralatan sudah ada, bermulah kerja-kerja mendirikan balaisah. Sudah pasti ia tidak siap dalam masa satu hari. Yang pasti balaisah akan siap sebelum menjelang Ramadhan. Proses kerja bermula dengan mengali lubang tiang dan memasang bahagian atas seperti bahagian alang, atap dan bumbung. Atap dibuat daripada daun pedor yang dianyam. Atap dipasang dua cara. Kalau nak tahan lama atap akan diikat atau disirat pada kasar. Kerja memasang atap agak lama. Kalau nak mudah, atap akan disirat pada rotan jelujur disebut sirat jelujur. Setelah ikatan jelujur siap atap akan dinaikan ke bumbung dan dilepaskan kebawah.

 Kemudian bahagian lantai dipasang dengan menyusun gelegar diatas balak yang diikat dengan rotan kepada tiang. Diatas balak akan diletakkan gelegar yang disusun pada jarak satu kaki setengah antara satu dengan lain. Diatas gelgar akan disusun lantai yang menggunakan batang pinang yang telah dibelah empat dan dibuang empulurnya. Lantai akan disusun rapat dan diikat dengan rotan pada gelegar. Setelah bahagian lantai dan atap siap barulah bahagian dinding dan tingkap akan dipasang. Dinding boleh dibuat menggunakan buluh atau batang pedor yang dikeluarkan empulurnya. Buluh atau pedor akan dianyam menggunakan corak siku keluang.  Bahagian tingkap panjang juga dibuat.

Biasanya balaisah ini boleh digunakan sepanjang tahun atau mungkin lebih dua tahun dengan memerlukan proses membaiki sekira ada kerosakan. Dari segi kosnya memang tiada. Semua peralatan tidak perlu dibeli tetapi diproses dari sumber semula jadi. Pembinaan balaisah ini adalah satu contoh penggunaan bahan asli yang tidak memerlukan kos. Selain itu tikar mengkuang akan digunakan sebagai hamparan dalam balaisah. Tikar didermakan oleh setiap keluarga. Tikar mengkuang adalah hasil kerja tangan kaum ibu. Mereka mendapatkan bekalan mengkuang yang sememangnya banyak dikampung aku.

Dengan siapnya balaisah ini tersiratlah semangat gotong royong demi mendapat kebahagian di dunia (hidup harmoni dikalangan penduduk kampung) dan kebahagian diakhirat (melalui amalan ibadah sepanjang ramadhan di balaisah yang dibina bersama-sama).   Hari ini semangat ini sudah tiada lagi kerana kampung aku sudah mempunyai surau kekal yang diberi dari peruntukan kerajaan. Sekian dulu untuk enteri ini. TQ

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: