Skip to content

Raya Haji

November 29, 2009

Dua hari yang lalu seluruh umat Islam di Malaysia dan negara serantau merayakan Hari Raya Edul Adha. Posting kali ini nak ceritakan sedikit bagaimana kami orang kampung merayakan Edul Adha. Oleh kerana Edul Adha kali ini jatuh pada hari Jumaat maka kami sekampung tidak dapat melakukan penyembelihan korban pada hari berkenaan sebaliknya kami buat pada hari 11 Zulhijjah iaitu  hari Sabtu.

Walau bagaimana pun takbir raya tetap dikumandangkan semenjak maghrib 10 Zulhijjah sehingga asar 13 Zulhujjah (esok). Itulah yang disyariatkan kepada orang Islam. Semoga semua yang membanyakkan takbir dan tahmid sentiasa dirahmati Allah SWT. Itu menandakan kita menjadikan Hari Raya sebagi hari ibadah.

Tahun lepas 1429H warga Kampung Relong dapat menyembelih 15 ekor lembu tetapi tahun ini warga Relong dapat mengorbankan 13 ekor sahaja. Ini bukan menunjukkan kemerosotan tetapi sebenarnya ada peningkatan. Hari ini Ahad (12 Zulhijjah) ada dua ekor lagi lembu disembelih untuk korban dan digulai bagi kenduri oleh yang empunya binatang korban. Oleh itu jumlah yang dikorbankan masih lagi 15 ekor. Perlu dingatkan semua lembu yang dikorban ini adalah hasil pembelian oleh peserta korban tidak seekor pun yang di sumbang oleh mana-mana koperat atau YB.  Jangan pula ada yang menganggap kami mendapat sumbang dari orang kaya atau berada dari tempat lain.

Terdapat beberapa segi peningkatan yang sepatutnya dijadikan panduan untuk pengurusan dan penilaian masa depan. Pertama ialah peningkatan dari segi saiz binatang korban. Oleh kerana saiz beberapa ekor lembu adalah lebih besar maka harganya juga menjadi lebih besar. Kedua ialah dari segi pengurusan pada sebelum penyembelihan dan pada hari penymbelihan semakin baik. Ketiga ialah pengelibatan penduduk kampung semakin bertambah. Boleh dikatakan semua rumah kediaman di Relong mempunyai wakil semasa melakukan kerja-kerja penyembelihan, pengagihan dan seterusnya kerja-kerja lain. Keempat ialah penglibatan anak-anak muda dalam kerja-kerja penyembelihan korban sangat menggembirakan.

Alhamdulillah semua kerja yang bermula 8.30 pagi siap dilaksanakan pada pukul 12.30 petang. Kerja dimulakan dengan merempong lembu, menyembelih, menanggalkan kulit, mengasingkan daging, menimbang, membungkus dan disudahi dengan mengagih ikut kawasan perumahan. Hanya kerja-kerja membersih kawasan dan menanggalkan kemah dibuat selepas solat asar. Sebelum balik semua yang hadir dijemput makan tengahhari di dapur Masjid Kampung Relong. Sudah tentu menu utama ialah gulai masam tempoyak daging korban. Menu lain ialah sambal organ dalam disamping ada goreng kobis dan acar timun. Tahniah kepada kaum ibu yang menyumbang tenaga memasak. Itulah tanda kerjasama. Itulah perpaduan.

Sepanjang bekerja disediakan hidangan hari raya yang terdiri dari lemang, satay, nasi himpek, roti jala, berbagai kueh raya serta buah dokong dan langsat. Semua hadirin dijemput makan apabila sudah penat bekerja. Makan secara bergilir-gilir. Makanan ini dibawa sedikit seorang dari juadah hari raya dari rumah. Kepada semua penduduk Relong tahniah!!!

Kepada anak-anak Relong diperantauan yang balik kampung ketika raya juga diucapkan terima kasih dan syabas kerana menyumbang tenaga dan wang ringgit. Sesungguhnya kehadiran saudara saudari menjadikan silaturrahim semakin erat terikat dan terjalin kukuh. Kepada anak perantauan dari Relong yang tidak balik pada tahun ini, harap memasang niat untuk balik berhari raya Edul Adha tahun hadapan dengan menyertai korban atau kalau tidak boleh menyertai ibadat korban cukuplah menghadirkan diri untuk bersilaturrrahim. Sesungguhnya Kampung Relong mengalu-alukan kepulangan anda. Saudara mara mesra menanti.

Hari ini (Ahad) saya sudah menjalankan semula sumbangan sebagai pesara guru. Esok  sebahagian calon SPM akan menghadapi kertas Biologi 1, Biologi 2 dan Biologi 3.  Oleh itu saya telah meluangkan sedikit masa dari jam 9.00 pagi sampai 12.30 petang berbincang dengan calon-calon berkenaan. Perbincangan dibuat di SM Agama Padang Tengku.  Saya doakan semoga semua calon yang terlibat dapat menjawab Kertas Biologi dengan baik. Usaha telah dibuat, bimbingan telah disumbang, doa telah dikirim, motivasi telah diberi, semoga semuanya dibarkati.  Sekian TK.

Advertisements
No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: