Skip to content

Bertatih dijalan Dakwah 4

September 18, 2014

Awal tahun 1974, sementara menunggu keputusan HSC, aku bertugas sebagai Guru Sementara di SMK Kg Budu (SMK Panglima Garang Abdul Samad). Aku mengajar darjah peralihan dan tingkatan 1. Aku tinggal dalam dorm bersama-sama penghuni asrama tetapi makan di rumah guru bujang. Aku mengajar sesi petang. Oleh itu waktu pagi aku pergi ke pasar di Benta untuk membeli sayur dan ikan. Pagi sebelum subuh aku mengaji al Quran di surau menggunakan “speaker” untuk mengejutkan para penghuni asrama. Aku akan menjadi imam solat subuh berjemaah kalau tiada Ustaz yang datang ke suaru.

Aku dipilih sebagai Guru Sementara di SMK Kg Budu ini kerana Guru Besarnya adalah guru BM aku semasa tingkatan Empat dan Lima di SM Clifford. Tahun 1974 itu sudah bermula riak-riak kecil kesedaran dakwah di Malaysia, tetapi impaknya belum menyeluruh. Mungkin badainya sudah bermula di bandar tetapi orang kampung masih sepi seperti tiada apa-apa perubahan.

Bulan Mei 1974 aku diterima masuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pertanian Malaysia. Semasa Minggu Orientasi bagi kemasukkan kami, kami menerima banyak imput tentang kesedaran Islam. Disinilah kami berkenalan dengan kuliah subuh dan kuliah maghrib. Masa itu Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) agak kuat di kampus UPM. Maka banyak acara kampus diwarnai oleh kesedaran Islam. Bermula dari Minggu Orientasi, kuliah subuh dan kuliah maghrib setiap hari di surau Kolej Kediaman masing-masing, solat berjemaah setiap waktu dan lain-lain aktiviti keagamaan menjadikan hati ini terpaut dengan kesedaran untuk bersama dalam arus kebangkitan Islam kontemporeri.

Setiap cuti semester ada kursus dakwah dianjurkan oleh PMIUPM bertempat sama ada di Masjid Serdang (dekat MARDI) atau di Institut Latihan Dakwah, Masjid Negara. Produk dari kursus-kursus dakwah inilah yang kemudiannya menjalankan berbagai aktiviti keIslaman di kampus UPM. Aku termasuk dalam kumpulan ini.

Aku berkursus di Masjid Serdang selama dua minggu. Biaya kursus diperolehi dari YADIM. Acara perasmian kursus dibuat oleh Pengerusi YADIM ketika itu, Tan Sri Syed Nasir Ismail dan salah satu ceramahnya diberikan oleh Timbalan Pengerusi YADIM iaitu Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat. (TGNA). Pelajar lelaki tidur dianjung masjid manakala pelajar perempuan tidur dalam masjid. Acara harian bermula jam empat pagi, mandi dan diikuti dengan solat tahajud, witr dan tasbih yang dibuat sendiri-sendiri. Solat subuh berjemaah. Solat Isyrak, Solat Dhuha. Kuliah subuh, kuliah Dhuha, solat zohor, makan, kuliah zohor, solat asar, rehat. makan, solat maghrib, kuliah maghrib, solat isyak dan kuliah. Begitulah setiap hari selama dua minggu. Makan dalam talam untuk menjimatkan masa bagi membasuh pinggan mangkuk. Masak makanan sendiri ikut giliran bertugas. Pelajar perempuan yang uzur akan dihantar ke asrama Institut Latihan Islam di Masjid Negara kerana satu lagi kursus berjalan di sana.

Keluar dari kursus inilah aku membina jatidiri untuk terlibat secara aktif dalam gerakan dakwah di kampus. Aku bertugas sebagai salah seorang Imam di surau Kolej Kediaman Keempat, aku juga menjawat jawatan penting dalam PMIUPM dan PMUPM. Aku juga menjadi wakil PMIUPM ke PKPIM dan Persatuan Mahasiswa Islam Asia Tenggara (PMIAT). Dari sini bermulalah usaha dakwah dengan lebih meluas lagi.

Antara tugas Imam surau Kolej Kediaman ialah memberi tazkirah selepas solat subuh dan solat maghrib. Disinilah aku mula berkenalan dengan buku Tanbihul Ghafilin dan Riadus Solihin. Kedua-dua buku ini aku pelajari dan kemudiannya aku bacakan kandungannya kepada ahli jemaah dari kulit ke kulit. Sambil-sambil aku membaca untuk ahli jemaah, aku juga dapat banyak manfaatnya.  Ada masanya aku minta sahabat lain untuk membaca apa-apa bahan yang berkaitan dengan Islam semasa tazkirah maghrib dan subuh ini.

Dari kursus, latihan dan pengalaman-pengalaman di kampus UPM inilah aku bertatih dijalan dakwah. Sekian TK

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: